Tun Hasan Temenggung ialah anak kepada Tun Mutakhir iaitu Bendahara Melaka. Berbeza dengan ayahnya yang sukakan “hadiah”, Tun Hasan Temenggung pula sebaliknya. Beliau seorang yang mementingkan agama dan sesekali tidak akan menerima atau meminta hadiah jauh sekali rasuah daripada mana-mana saudagar mahupun pembesar. Tugas beliau ialah menjaga urusan perdagangan di Melaka. Jadi jika beliau seorang yang jahat pasti beliau boleh menjadi kaya dengan kerjanya itu. 
Sikap Tun Hasan Temenggung yang tidak sukakan rasuah itu telah menyebabkan anak buahnya itu tidak dapat mencari duit lebih. Tetapi kadang kala anak buahnya itu, akan menggunakan alasan kedudukan kedai yang tidak betul. Oleh itu, anak buahnya akan merentangi tali untuk membetulkan semula kedudukan kedai tersebut agar tidak termasuk dalam “rizab jalan”. Semasa merentangkan tali tersebut, anak buah Tun Hasan Temenggung dengan sengaja dan tidak jujur akan merentangi tali tersebut masuk ke mana-mana kawasan kedai.
Jika tali tersebut terkena kedai maka kedai tersebut perlu dirobohkan namun kebanyakan saudagar tersebut lebih rela membayar seberapa jumlah tertentu bagi mengelakkan kedainya daripada dirobohkan. Dan sudah pasti kegiatan anak buahnya ini tanpa pengetahuan Tun Hasan Temenggung.
Pada era Kesultanan Melayu Melaka juga ada seorang pedagang kaya iaitu Ali Manu Nayan. Kebanyakan pembesar dan Orang-Orang Kaya di Melaka pada waktu itu suka meminta rasuah daripada Ali Manu Rayan kecuali Tun Hasan Temenggung seorang sahaja sehinggakan Ali Manu Nayan ini sendiri menawarkan rasuah kepada Tun Hasan Temenggung. 
Kata Ali Mani Nayan, jika Tun Hasan Temenggung berdiri sahaja dihadapan kedainya, dia akan memberikan Tun Hasan Temenggung 10 tahil emas!. Namun, Tun Hasan Temenggung hanya berkata “ Nuni Haram Jadah! aku hendak engkau beri makan sedekah ( rasuah )?. Jika pada bapak-bapakmu yang lain bolehlah”.
Tun Hasan Temenggung harus dijadikan idola oleh kita orang Melayu. Beliau seorang yang tegas dalam mempertahankan prinsip menolak rasuah dikala orang lain dengan sewenang-wenangnya meminta rasuah. 
Selain itu, Tun Hasan Temenggung juga mempunyai jasa besar di dalam dunia fesyen Melayu. Beliau telah bertindak melabuhkan baju Melayu yang sebelumnya singkat, beliau juga memanjangkan lengan baju dan juga membesarkan pangkal tangan. Sebelum baju Melayu ini diubahsuai oleh Tun Hasan Temenggung, untuk membuat baju Melayu ini hanya memerlukan kain sebanyak 4 hasta sahaja.
Bayangkan dengan 4 hasta kain sudah tentu banyak bahagian badan yang terjojol keluar. Selain baju Melayu, Tun Hasan Temenggung juga telah mereka semula baju kurung dengan melabuhkan dan melonggarkan baju tersebut. 
Malangnya, seorang yang setia dan berbakat ini telah dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana fitnah daripada Raja Mandeliar dan Si Kitol. Hukuman bunuh tersebut telah dijatuhi oleh Sultan Mahmud terhadap 4 orang iaitu Bendahara Seri Maharaja Tun Mutakhir, Tun Hasan Temenggung, Seri Nara Diraja ( ayah Tun Ali ) dan Tun Ali ( suami Tun Fatimah). 
Walaupun Tun Hasan Temenggung dihukum bunuh sebagai seorang “pengkhianat” namun keturunannya iaitu Paduka Raja Tun Mamad telah muncul kembali dalam sejarah dengan menjawat jawatan Bendahara Johor  yang ke-18 semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Syah I dan Sultan Mahmud Syah II ( Marhum Mangkat Dijulang ).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *