Kerja menjahit sama dengan kerja memandu, fikir lelaki Cina yang terserlah kedut di raut wajahnya yang dimamah usia itu. Itulah bandingan yang dirasakan paling dekat dengan dirinya.
Di sebelah, isterinya juga sibuk menjahit. Entah apa difikirkan isterinya, biarkanlah. Sekarang dia sedang memikirkan serius analogi itu yang pernah dizahirkan pelanggan istimewanya beberapa tahun lalu.
Lelaki Cina itu mengangguk-angguk. Memang benar kata-kata pelanggan istimewanya. Kerja menjahit macam memandu kereta. Kalau lama tidak memandu, tangan jadi kekok, kaki terasa keras dan kejang.
Hasil tangan Wong memang kemas walaupun menggunakan mesin jahit lama |
Begitu juga kalau lama tidak menjahit, jahitan jadi kasar dan menggerutu. Tapi yang susahnya dia hanya biasa dengan mesin jahit lama dan kereta manual. Kalau automatik semuanya, maaflah. Dia orang lama! Kekok benar.
Lelaki Cina itu merasa canggung pakai kereta automatik. Dia sudah sebati dengan manual. Susah sikit tidak apa. Tolak gear satu, lepas handbreak, tekan minyak, terus jalan. Manual terasa seronok sikit. Bukan kerana dia tidak suka teknologi baru tetapi entahlah. Orang lama sepertinya memang sukakan manual.
Lelaki tua itu tergelak dengan analogi yang dibuat-buatnya sendiri. Pada fikirannya, jika dia guna mesin jahit automatik kerjanya tidak menjadi lebih cepat seperti diharapkan. Sebaliknya dia akan terkial-kial hendak menyiapkan baju Melayu pelanggan istimewanya itu. Sebab itulah dia dan isterinya seronok menjahit dengan mesin antik ini.
Jarang dia berehat. Dia tidak boleh tinggalkan mesin jahit. Kalau lama tidak menjahit, kakinya mengindik-indik sendirian macam sedang menjahit juga.
Atas sebab-sebab itu dan galakan pe langgan istimewanya, lelaki Cina dan isterinya terus juga menjahit. Pernah terdetik di hati lelaki Cina itu untuk bersara. Sudah terlalu lama dia membuat kerja ini, rasa jemu dan tua sangat dalam bidang jahitan.
Pada fikirannya waktu itu sudah sampai masanya dia berehat-rehat dan duduk-duduk saja di rumah bermain main dengan anak cucu.
Wang bukan segalanya. Makin diburu makin tidak cukup. Semua empat orang anaknya bekerja dengan kerajaan dan masing-masing sudah berkeluarga. Apa dia hendak lagi?
Lagipun tiada seorang pun anak dan cucunya yang berminat mengikut jejak langkahnya. Malangnya hajatnya hen dak bersara terpaksa ditangguhkan dulu dek malu pada pelanggan istimewanya.
“Wong boleh menjahit lama lagi. Tak ada siapa boleh lawan Wong di sini,” kata-kata pelanggan istimewa itu masih terngiang-ngiang di telinganya.
Lelaki Cina itu kenal sangat kebaikan hati pelanggan istimewa ini sejak mendiang bapanya masih hidup lagi. Malah, baju Melayu ayahanda pelanggan istimewanya itu turut dijahit oleh mendiang orang tuanya.
Bayangkan berapa lama dia kenal dengan pelanggan istimewa ini? Umur mereka juga hampir sebaya, lelaki Cina itu cuma muda setahun daripada pelanggannya itu.
Lelaki Cina itu segan, darjat mereka tidak sama. Dia anak tukang jahit, tapi pelanggan istimewanya… ah macam langit dan bumi. Namun darjat tidak menghalang mereka berdua berkawan.
Baju-baju Melayu dan songket pelanggannya itu dijahitnya sejak lebih setengah abad. Setelah ayahnya tiada dia menyambung tugas menjadi tukang jahit peribadi keluarga tersebut sampailah sekarang.
Hubungan persahabatan yang lama dan mesra itu terjalin sehingga dia merasa terlalu hormat pada pelanggan istimewanya. Lelaki Cina itu merasa bangga, setiap baju Melayu atau kain songket yang disiapkannya dipakai pelanggannya itu di majlis-majlis rasmi dan keramaian.
Paling dia seronok pelanggan istimewanya ini tidak pernah mengomel tentang jahitannya.
“Wong, cantiklah baju Melayu ni!” puji pelanggan istimewanya.
Kata pelanggan istimewanya, leher baju yang dibuatnya cantik, kancingnya kemas dan lubang butang terserlah.
Lelaki Cina itu terus menjahit. Dia sedang sibuk menyiapkan tempahan sepasang baju Melayu berwarna kuning pelanggan istimewanya itu. Kakinya terus mengindik mesin jahit model sebelum perang yang di warisi ayahnya, Sew Kwai. Bayangkan sudah berapa lama dia menjahit? Sejak 1953!
Dia sendiri rasa tidak percaya. Betulkah dia boleh menjahit setekun dan sesabar itu dalam tempoh yang sangat lama? Lelaki Cina itu tersengih. Kakinya terus mengindik-indik. Tangannya ligat memusing kepala mesin. Bunyi jahitan bergetar. Jarum meniti permukaan baju.
Baju Melayu ini mesti disiapkan tepat pada waktunya. Dia tidak pernah ingkar. Kalau pelanggannya hendak esok, malam ini dia kena siapkan juga. Begitu juga kalau pelanggan itu hendak malam ini, dia mesti siapkan. Dia tidak suka kerja bertangguh-tangguh.
Lelaki Cina itu tersengih. Kakinya terus mengindik mesin jahitnya. Dia terlalu hormat pada pelanggan istimewanya itu. Kalau berjumpa, pelanggannya itu suka bergurau dan bermesra dengannya, bertanya khabar tentang isteri, anak anak dan berborak kisah-kisah lama.
Pelanggannya selalu tepuk-tepuk bahunya. Kadang-kadang diselitkan wang seratus dua dalam kocek bajunya. Itulah yang membuat dia rasa malu sangat pada pelanggannya itu.
Lelaki Cina itu tersenyum. Mereka berkawan begitu lama, sejak dari zaman ayahandanya lagi. Ketika itu dia dan ke luarganya berpindah dari Kuantan ke Pekan di zaman perang Jepun pada tahun 1942.
Bapanya meninggal dunia pada 1974, beberapa bulan selepas ayahanda pelanggan itu mangkat.
Selepas menamatkan pelajaran di Sekolah Tinggi Chung Hwa, Pekan pada tahun 1949, dia mengikut bapa saudaranya menjahit di Kuala Lumpur. Bapa saudaranya ada sebuah kedai jahit terkenal di Weng Chiong Tailor di Batu Road (sekarang Jalan Tuanku Abdul Rahman).
Bila sudah ada pengalaman dia kembali ke Pekan empat tahun kemudian. Ketika itulah pelanggan istimewanya itu mempelawa dia membuka kedai jahit di Pekan. Sejak itulah dia mula menjahit baju pelanggan istimewanya itu.
Pada suatu hari Wong mendapat panggilan telefon, satu suara garau meminta dia datang menemui pelanggan istimewanya tidak lama lagi.
“Surat akan menyusul,” beritahu suara dalam telefon itu.
Tubuhnya menggeletar. Badannya terasa seram sejuk. Lelaki Cina itu seperti tidak percaya berita yang baru diterimanya. Beberapa hari kemudian dia menerima sepucuk surat bersampul kuning dan tertera logo istana. Lelaki Cina itu diminta hadir ke istana untuk menerima pingat pada 24 Oktober 2003.
Lelaki Cina itu terbayangkan wajah pelanggan istimewanya. Rupa-rupanya pelanggannya itu tidak pernah lupa pada Cina tua yang pernah menjadi tukang jahit peribadinya.
Lalu berita itu diberitahu kepada isteri dan anak-anaknya. Semuanya terkejut tidak terkira. Pada hari ditetapkan, lelaki Cina itu datang bersama isterinya memakai pakaian rasmi.
Apabila namanya dipanggil, lelaki Cina itu berdatang sembah mengikut adat istiadat. Dia dikalungkan selem pang dan disematkan sebutir pingat di dada yang membawa gelaran Datuk daripada pelanggan setianya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah. Wong seterus dikenali Datuk Wong Peng Lim.
Wong dianugerahkan pingat yang membawa gelaran Datuk |
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah segak dengan pakaian baju Melayu hasil tangan Datuk Wong Peng Lim |