Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Salleh dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu, Terengganu
Pendidikan awalnya adalah di peringkat rendah dan menengah sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia di sekolah kerajaan.
Setelah itu, hati beliau mula tertambat dengan pengajian agama berbentuk pondok lalu merantaulah beliau ke Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu pada 1979 untuk bertalaqqi kitab selama 16 tahun sehingga 1995, berguru antaranya :
1. Tuan Guru Haji Abdul Aziz Bin Abu Bakar – belajar seminggu sekali Kitab Jawi
2. Tuan Guru Haji Hashim Bin Abu Bakar
3. Tuan Guru Haji Abdullah Serpa 
4. Tuan Guru Pak Da Eil Kerasak dan ramai lagi
Selain itu, beliau turut belajar secara berulang alik seminggu sekali ke Tuan Guru Haji Abdul Rahman Tasawuf.
Antara sahabat-sahabat beliau ketika di pondok ialah Tuan Guru Haji Sofi Langkawi, Tuan Guru Haji Hussin @ Ayah Ku, Tuan Guru Haji Jamaluddin Shafie Sik dan ramai lagi.
Sebelum beliau membuka pondok, Tuan Guru Haji Muhammad Zain mengajar di rumahnya selama beberapa tahun. Antara muridnya yang terkenal yang belajar di rumah beliau ialah Tuan Guru Ustaz Azhar Idrus. 
Beliau bersama sahabat seramai dua orang, antaranya dengan Tuan Guru Haji Hussin @ Ayah Ku telah menerima sebuah tanah wakaf dan membeli separuh tanah lagi untuk dijadikan sebuah pondok pengajian di Kampung Lubuk Pandan, Marang, Terengganu dengan nama rasminya Madrasah Darul Ikhwan atau lebih dikenali dengan nama Pondok Lubuk Pandan pada tahun 2000.
Tuan Guru Haji Muhammad Zain adalah seorang yang sangat wara’ dan zuhud. Beliau sangat cermat menghuraikan kitab serta merendah diri. Selain daripada sifat peribadi beliau yang sangat tinggi nilai murninya itu, Tuan Guru Haji Muhammad Zain juga punyai kemahiran bertukang membuat rumah. Kini beliau menetap di Pondok Lubuk Pandan, Marang
Sumber : Temu bual Tengku Yusuff pada 12 Jun 2023 serta maklumat awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *