Nama penuh tokoh ulama’ Kedah ini ialah Tuan Guru Haji Chik Bin Ahmad dan beliau dilahirkan pada tagun 1898 di Kuala Kangkong, Simpang Empat, Kedah.
Pendidikan awalnya diperolehi di Pondok Pulau Pisang, Jitra dan seterusnya ke Pondok Paya Sena, Pendang. Selepas beberapa tahun, Tuan Guru Haji Chik menyambung pengajiannya di Pondok Kenali. Setelah itu, beliau merantau pula ke Patani dan belajar di Pondok Bermin selama beberapa tahun.
Di antara gurunya ialah :
1. Tuan Guru Haji Mohd Salleh Pulau Pisang
2. Tuan Guru Haji Ibrahim Paya Sena
3. Tok Kenali
4. Tok Bermin
5. Syeikh Abdullah Fahim
Tuan Guru Haji Chik alim empat mazhab dan beliau alim “Tanah Jawi” bermaksud kealiman beliau digarap hanya di Tanah Jawi tidak mengembara ke Tanah Arab. Tuan Guru Haji Chik merupakan seorang wali mastur yang hanya dikenali oleh orang-orang tertentu sahaja ketika beliau masih hidup. Selain dari itu, beliau juga pakar di dalam ilmu falak sehinggakan di rumahnya ada taqwim yang dibuat sendiri. Beliau juga pakar ilmu faraid. Apabila mengajar faraid, Tuan Guru akan menggunakan guruih api sahaja bagi menerangkan pada murid-muridnya.
Beliau dikatakan pernah membuka sebuah pondok di Patani selepas selesai belajar di Pondok Bermin. Selang beberapa tahun, Tuan Guru Haji Chik pulang ke Kedah.
Kehidupan Tuan Guru biasa sahaja. Di riwayatkan Tuan Guru hanya makan nasi bersama air sejuk atau berlaukkan garam. Paling sedap makanannya ialah nasi dengan berlaukkan telur. Beliau juga melarang anak-anak muridnya memakan makanan yang ada di dalam tin seperti ikan sardin kerana ia boleh menumpulkan otak dan hafalan ilmu. Minuman hariannya juga daripada telaga yang beliau gali sendiri, dengan erti kata lain beliau tidak minum air yang datang dari paip.
Di antara anak muridnya ialah :
1. Tuan Guru Baba Khairul Anuar Pondok Gajah Teriak
2. Tuan Guru Haji Hassan
3. Tuan Guru Haji Omar
4. Tuan Guru Haji Sofi Langkawi
5. Baba Syafie Thailand
6. Tuan Guru Haji Rejab 
7. Ustaz Ibrahim
8. Ustaz Wan Pahang
9. Tuan Guru Ridouddin Penanti
10. Tuan Guru Haji Saufi Bin Said
11. Tuan Guru Pak Long Zahir Bin Abdul Halim Pondok Katong
Fizikal Tuan Guru Haji Chik hanya bertubuh kecil, rendah dan mukanya seiras dengan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Pakaiannya hanya kain pelekat. Kadang kadang tidak memakai baju dan ada kain basahan di bahu. Beliau cukup garang tapi hatinya amat lembut. Seperti kata orang- orang lama “garang mulut sahaja”.
Antara karomah Tuan Guru ialah, beliau dikurniakan ingatan yang kuat dan mampu jawab satu persatu masalah hukum tanpa belek kitab. Jawapannya pasti disertakan dengan muka surat lengkap dengan barisnya sekali sungguhpun ketika itu beliau sudahpun menjangkau usia lebih 90 tahun.
Berikut merupakan antara kitab karangannya :
1. Sullamus Sibyan – Fekah
2. Luqtotus Sughra – Faraid
3. Risalah Faraid – Asas Faraid
4. Paku Iman – Usuluddin
5. Luqtotul Awraod – Perubatan
Tuan Guru Haji Chik Kodiang meninggal dunia ketika berusia 104 tahun pada tahin 2002 dan dikebumikan di Masjid Al Ridzwaniah, Kodiang.
Sumber : Warisan Ulama Nusantara, Tengku Yusuff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *