Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Ahmad Bin Uthman Bin Abdul Salam dan beliau dilahirkan pada tahun 1923 di Kampung Tenung, Mayo, Patani. Beliau mempunyai lima orang adik beradik, iaitu :
1. Tuan Guru Haji Hassan 
2. Tuan Guru Haji Ahmad (tokoh ini)
3. Tuan Guru Haji Abdul Rashid
4. Hajah Halimah
5. Hajah Hafsah
Tuan Guru Haji Ahmad Bin Uthman mendapat pendidikan awal daripada Tuan Guru Haji Hassan di Pondok Mak Enggol, Patani. Kemudian beliau meneruskan pelajarannya di Pulau Pinang lebih kurang lapan ke tujuh tahun. Selepas itu beliau melanjutkan pelajarannya di Mekah al-Mukaramah kira-kira dalam lima atau empat tahun.
Antara guru-gurunya ialah :
1. Tuan Guru Haji Hassan Mak Enggol
2. Pak Da Eil Mekah
3. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili 
4. Syeikh Abdul Karim al-Banjari
Tuan Guru Haji Ahmad adalah seorang tokoh ulama’ yang terkemuka di Patani serta beliau memainkan peranan yang besar dalam dakwah di kalangan masyarakat setempat. Beliau telah membuka sebuah pondok dan mengajar pelbagai kitab sama ada pengajaran kitab arab atau kitab Jawi.
Pada peringkat awal, Tuan Guru Haji Ahmad membuka sebuah madrasah atau pondok di Kampung Koli Puat, Kerapa, Patani. Pada masa itu pelajar-pelajar seramai 100 orang termasuk lelaki dan perempuan yang mana lokasi itu terletak berhampiran dengan masjid di Kampung Koli kini.
Setelah 25 tahun di kampung berkenaan, Tuan Guru Haji Ahmad berpindah pula ke Kampung Balak, Teluban untuk membuka pula pondok di sana. Jumlah pelajar pondok pada waktu itu seramai 50 orang sahaja termasuk pelajar laki-laki dan perempuan. Beliau terus mengajar di sini sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Beliau ada mengarang sebuah risalah/Kitab yang berjudul “Setengah-setengah Daripada Jalan Bagi Segala Yang Beramal”
Beliau telah berkahwin dengan isterinya yang pertama bernama Zainab Binti Ahmad ketika masih menuntut ilmu di Mekah. Perkahwinan ini dianugerahkan seorang anak bernama Adnan namun isteri dan anaknya meninggal dunia.
Setelah pulang ke tanah air, beliau bernikah pula dengan Khadijah Binti Abdul Rahman dan hasil daripada perkahwinannya ini mereka dianugerahkan dua orang anak iaitu
1. Abdul Basit 
2. Sayuti
Setelah beberapa lama isteri yang kedua pun meninggal dunia, dan akhirnya beliau berkahwin pula dengan Hajah Mariah Binti Abdul Wahab. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan 5 orang cahaya mata :
1. Abdul Halim 
2. Adnan
3. Asri
3. Muhammad 
5. Muhammad Safwan
Tuan Guru Haji Ahmad adalah seorang yang sangat warak tidak suka bercakap yang tiada memberi faedah. Sebelum hendak berangkat ke mana-mana maka beliau akan dirikan solat sunat dua rakaat. Orang ramai sangat hormat kepadanya.
Di akhir usianya Tuan Guru Haji Ahmad jatuh sakit dan tidak mampu makan apa-apa kecuali hanya susu. Kira-kira sebulan selepas itu, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya sendiri pada hari Khamis, kira-kira jam 12 malam, pada tahun 1990. Solat jenazahnya didirikan di Masjid Kampung Balak, Teluban dan dimakamkan di Kampung Tenung, Mayo berhampiran dengan pusara gurunya Tuan Guru Haji Hassan Mak Enggol.

Tuan Guru Haji Ahmad Bin Uthman Baqo’ Samah, Teluban 

Sumber – Buku Menjejaki Ulama’ Fathoni Kontemporari Siri 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *