Tuan Guru Dato’ Haji Ishak Bin Haji Baharom Jabbar dilahirkan di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor pada 1 Januari 1928. Beliau berketurunan Melayu Banjar kerana bapanya, Haji Baharom Jabbar berasal dari Banjarmasin, Indonesia dan ibunya, Fatimah Junid berasal dari Melaka.
Pada tahun 1935, beliau mula mengikuti pengajian formal di Sekolah Melayu Kanchung Darat sehingga perang tercetus pada akhir 1941. Ketika zaman perang, beliau tidak bersekolah selama tiga tahun.
Kerana kesedaran agama bapanya yang tinggi, beliau dihantar belajar agama di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam pada 1945. Sambil belajar, beliau turut diberi kepercayaan mengajar di madrasah ini sehinggalah 1956. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Madrasah Darul Ulum, Deoband, India.
Diantara gurunya ialah :
1. Syeikh Salleh Masri
2. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan 
Selepas pulang dari India dengan ijazah dalam bidang syariah dan alim dalam fiqh empat mazhab selain menguasai ilmu hadis, Tuan Guru Dato’ Ishak Baharom kembali mencurahkan baktinya di Madrasah al- Masriyah. Diantara anak muridnya ialah Dato’ Hashim Yahya.
Beliau terus aktif mengajar di sekolah, berdakwah dan menyampaikan ceramah-ceramah agama. Selepas beberapa tahun di Bukit Mertajam, beliau kembali ke Kanchung Darat dan mengajar di Sekolah Agama Kanchung Darat. Jawatan terakhir beliau dalam bidang pendidikan ialah mudir Sekolah Agama Batu 38, Sabak Bernam. Beliau bersara sebagai mudir pada tahun 1982.
Selepas tiga tahun bersara, beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Selangor ke-6 bergelar Dato’ Seri Utama DiRaja menggantikan Datuk Haji Hassan Haji Omar pada tahun 1985. Beliau memegang jawatan mufti selama 13 tahun sehingga berundur pada 1997 kerana ketegasan beliau terhadap usaha mencegah mungkar.
Selepas tidak lagi menjawat jawatan mufti, Tuan Guru Dato’ Ishak Baharom terus bergiat aktif dalam usaha-usaha dakwah dengan memberikan ceramah dan kuliah agama di seluruh Negara. Menjelang pilihan raya ke- 10 pada November 1998, Tuan Guru Dato’ Ishak Baharom sebagai bekas mufti dilarang berceramah agama di surau dan masjid seluruh Negeri Selangor oleh kerajaan kerana beliau dianggap “penghalang kemajuan”. Walau bagaimanapun larangan ini ditarik balik pada awal 1999. 
Tuan Guru Dato Haji Ishak adalah diantara ahli PAS terawal dan menjadi ahli semenjak 1952 lagi. Ketika Dewan Pemuda PAS ditubuhkan di Bagan Datoh pada 23 Ogos 1953, beliau dilantik sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS. Beliau memegang jawatan ini sehingga tahun 1956.
Selepas pilihan raya 1999, Tuan Guru Dato’ Ishak Baharom dilantik sebagai Ahli Majlis Syura PAS pada tahun 2001 selama dua penggal sehingga tahun 2007. Di samping itu juga beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat semenjak 2003 sehingga akhir hayatnya. Selepas berpengalaman sebagai pendakwah dari awal tahun 1950 hingga ke akhir hayatnya dan menjadi mufti selama 13 tahun, Tuan Guru Dato’ Ishak Baharom begitu yakin bahawa hanya dengan mengubah kerajaan sahaja syariat Islam dapat ditegakkan. Kerana itu, dihujung hayatnya beliau memilih untuk kembali aktif bersama PAS bagi mencapai cita- cita ini.
Beliau meninggal dunia pada 30 Januari 2008 ketika berusia 80 tahun dan jenazahnya dimakamkan di Makam Di-Raja Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *