Jumaat, 10 April 1974 masih terbayang di ingatan Zainal Abiddin Abdullah wajah-wajah sahabat seperjuangan yang gugur terkorban bergelimpangan di laluan lori balak Mong Gajah, Kedah-kawasan pertempuran yang mengubah perjalanan hidupnya sepanjang hayat.

Segalanya bermula pada penghujung tahun 1974, sebaik Zainal menamatkan latihan rekrutnya. Beliau melangkah gagah sebagai seorang perwira terlatih.

Zainal terus ditempatkan di Satu Kor Armor Diraja yang berpangkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama-sama rakan karibnya Karim, Osman, Zainuddin dan Azhar.

Telah masuk empat bulan di kem, Zainal masih belum berpeluang menyertai sebarang operasi membanteras pengganas Komunis di perbatasan negara. Sebagai orang muda, hatinya bergelodak untuk melalui pengalaman sebenar seorang perwira.

Pada tanggal 9 April 1974, satu Kor Armor Diraja mendapat arahan untuk mengiringi Pasukan 17 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di kem Gubir untuk satu operasi di Mong Gajah.

Ini sebagai langkah berjaga-jaga kerana empat hari sebelumnya pasukan 7 RAMD dan Dua Kor Armor Diraja telah diserang hendap pengganas komunis.

“Macam mana agaknya pengalaman pertama operasi? Takut juga,” kata Zainal kepada Karim semasa mereka menaiki jip ke Kedah.

“Alah kitakan dah habis latihan, mestilah okey punya,” kata Karim.

Kira-kira jam 5.00 petang, pasukan yang disertai Zainal bertolak ke Kem Gubir bersama 24 anggotanya. Tiba di sana jam telah hampir 10.00 malam. Kem Gubir gelap gelita, hanya kelihatan cahaya lampu lilin yang samar-samar.

“Kenapa gelap aja ni Karim?”tanya Zainal

“Bekalan elektrik terputus agaknya,” Karim membuat telahan.

Tiba di pintu pagar, beberapa anggota pasukan 17 RAMD telah siap menunggu. “Maaf black out pulak malam ni,” kata salah seorang pegawai.

Memandangkan elektrik terputus Zainal serta rakan-rakannya terus masuk tidur.

Pukul 6.30 pagi, Zainal terpisat-pisat menggosok matanya. Dalam kesamaran dia terpinga-pinga melihat banyak kesan darah di tempat tidurnya.

“Karim bangun, tengok apa ni?” kata zainal

“Mungkin kesan darah tentera yang kena ambush 5 Aprul lalu,” kata Karim.

Tapi tidak sempat lagi Zainal nak bertanya lebih lanjut, mereka mendengar arahan supaya bersiap sedia ke Mong Gajah.

Mereka konvoi sebanyak enam kenderaan dari Kem Gubir melalui laluan lori balak. Ketika itu hujan renyai-renyai. kenderaan pasukan 17 RAMD bergerak perlahan terutamanya ketika menempuh jalan berlopak dan berlubang.

Seksyen pertama pasukan Satu Kor Armor Diraja seramai 12 orang mendahului di ikuti seksyen dua. Sampai di satu selekoh, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi tembakan bagai bertih jagung digoreng. Dalam keadaan kelam-kabut terdengar salah seorang pegawai yang berada di barisan hadapan menjerit, “Jaga-jaga! Kita dah kena contact dengan musuh!

Zainal yang masih berada di dalam kenderaan melompat keluar. “Ya Allah!” jeritnya. Sakitnya tidak terperi. Dia rebah ke tanah.

Sambil memegang perutnya dia meniarap. Dia merasa cecair panas mengalir keluar. Zainal tahu dia telah terkena tembakan tapi dia tetap bersemangat. Dia mengajukan senjata dan menembak ke arah musuh.

Zainal nampak lalang di atas tebing bergoyang-goyang. Dia terus memuntahkan peluru senjatanya arah itu, walaupun berada dalam kedudukan yang sukar. Pasukan tentera terus dihujani peluru. Seorang demi seorang rakannya rebah ke bumi.

Keadaan bertambah kelam-kabut satu lagi peluru mengenai pinggangnya. Tetapi semangatnya tetap membara apatah lagi apabila melihat rakan karibnya Karim, Osman, Zainuddin dan Azhar telah rebah.

Zainal menunjukkan parut kesan tembakan yang terkena di pinggangnya

“Jahanam kau Komunis” bentak Zainal. Dia berguling-guling sambil menoleh sekali lagi ke atas tebing. Dianggarkan lebih kurang 30 orang Komunis berada di sana.

Zainal melepaskan tembakan. Tetapi kali ini dua lagi peluru menerjah perut dan pinggangnya. Darah terus mengalir. Badannya semakin lemah, dia tidak berdaya walaupun untuk mengangkat tangan.

Tapi Zainal masih sedar. Beberapa minit kemudian keadaan menjadi sunyi sepi. Dia nampak tiga komunis turun menuju ke arahnya. Sambil bercakap mereka ketawa. Hatinya geram melihat perlakuan komunis itu tapi badannya lemah tidak bermaya.

Cuma matanya saja yang berkelip-kelip melihat musuh mendekatinya.

Komunis itu menolak badanya yang berlumuran darah dengan kaki. Mereka fikir dia telah mati. Senjata Zainal direntap. Kemudian mata mereka tertumpu pada beg di pinggangnya.

Beg yang terikat di pinggang Zainal. Tarikan itu tidak berjaya. Komunis itu menarik lebih kuat.

Akibat kehilangan banyak darah Zainal menjadi terlalu lemah. Luka diperutnya bertambah sakit apabila beg itu disentap, bagai hendak terkeluar isi perut.

Komunis itu terus menarik beg berkenaan. Luka kesan tembakan di perut Zainal semakin besar akibat tersangkut pada beg. Akhirnya dengan rentapan yang kuat beg itu terlepas dari pinggang.

Perut Zainal terburai bersama tarikan yang kuat itu. Malah sebahagian tali perutnya terputus dan bersepai ke tanah. Sakitnya bukan kepalang tapi Zainal mendiamkan diri, pura-pura mati. Badannya bertambah lemah, pening dan matanya berpinar-pinar.

Hanya Allah sahaja yang tahu azab sakitnya bila beg  dipinggang itu direntap oleh pengganas Komunis

“Saya nampak Komunis itu pergi meninggalkan saya. Mereka memakai baju celoreng halus.Kata Zainal mengingati kembali peristiwa itu.

Lebih kurang 15 minit selepas komunis pergi meninggalkannya, pasukan 17 RAMD datang memberikan bantuan.

“Salah seorang daripada mereka mengutip tali perut saya yang terburai, masukkanya bali dan membalut luka yang rabak dengan bandage,” kata Zainal lagi. Tapi sehingga kini dia tidak tahu siapakah yang melakukannya.

“Saya nampak rakan-rakan saya bergelimpangan. Darah mereka mengalir seperti air sungai di laluan lori balak tu.

“Ketika itu kami memang tak dapat lari. Sebelah kiri kamigaung dari kanan pula tebing tinggi tempat komunis bersembunyi semasa mereka menyerang hendap. Memang mereka telah menunggu kehadiran kami,” katanya sambil menitiskan air mata.

Selepas itu dia dibawa menaiki helikopter dan diberikan suntikan.

“Badan saya terasa amat panas kesan daripada empat peluru tembakan. Tekak saya kering. Saya mahukan air tapi mereka hanya sapukan kapas yang dicelup dengan air pada bibir saya,” kata Zainal lagi.

Tiba di Hospital Alor Setar, semua pakaian Zainal dipotong. Kemudian doktor membuka pembalut luka di perutnya. Mengeluarkan semula tali perut yang berlumuran pasir dan membasuhnya.

Dalam keadaan dirinya yang tidak bermaya Zainal masih dapat mendengar segala perbualan doktor.

“Tali perutnya dah putus. Kita harus segerakan pembedahan,” kata doktor.

“Kita usahakan apa yang terdaya,” kata seorang doktor lagi.

Akhirnya tali perut itu disambungkan dan berjaya di masukkan semula. Kaki kirinya pula lumpuh akibat pertempuran tersebut.

“Memang tiada siapa yang menyangka saya dapat hidup hingga kini,” katanya.

Selepas kejadian itu Zainal berpindah dari satu ke satu hospital. Selama dua tahun dia dirawat di tiga buah hospital iaitu di Alor Setar dan Sungai Petani dan akhirnya sekali di Terendak, Melaka. Zainal akhirnya berpencen daripada perkhidmatan pada tahun 1986.

Setiap kali teringat peristiwa serangan tersebut, hati saya menjadi hiba mengenangkan pengorbanan bersama rakan-rakan seperjuangan demi keselamatan negara


Kisah benar serangan Komunis di Mong Gajah, Kedah pada tanggal 10 April 1974 diceritakan oleh Zainal Abiddin Abdullah pada tahun 1999 ketika beliau berada di rumah adiknya di Rembau, Negeri Sembilan.

1 thought on “Tragedi Mong Gajah 1974, bukti kekejaman melampau pengganas Komunis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *