Pada tanggal 3 Mac 1997, pada jam 10.45 malam, helikopter Agusta A109E Power milik syarikat Gadek Aviation Services Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat DRB HICOM telah berlepas dari pangkalan helikopter di Segambut, Kuala Lumpur.
Helikopter tersebut yang membawa tiga orang penumpang itu dijadualkan tiba di Kuala Terengganu sekitar jam 11.52 malam. Malangnya, helikopter tersebut tidak kunjung tiba di lokasi yang dituju.
Ketika di awal penerbangan, keadaan penerbangan dan helikopter masih lagi terkawal dan selamat. Namun, pada kedudukan 49 batu nautika arah 039 darjah magnetik, helikopter itu dikesan berada dalam keadaan yang tidak stabil. Ia kelihatan berpusing sedikit ke arah kanan secara dengan tiba-tiba.
Keadaan bertambah kucar kacir apabila helikopter berkenaan dilihat mengarah 090 darjah daripada kedudukan asal. Akibatnya, pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 11.15 malam sebelum hilang dari skrin radar.
Sebaik sahaja mendapat berita helikopter berkenaan telah terputus hubungan dengan menara kawalan, gerakan mencari dan menyelamat mula dijalankan oleh agensi terlibat. Tetapi belum pun sempat gerakan mencari dilakukan, sekitar jam 11.25 malam, skuad polis Pahang telah menerima satu laporan ada sebuah helikopter terhempas di Kampung Atong, Jerangsang di Kuala Lipis, Pahang.
Helikopter yang terhempas itu telah disahkan adalah Agusta A109E Power, yang sebelum itu telah terputus hubungan dengan menara kawalan.
Sebaik menerima laporan, gerakan mencari mangsa dimulakan. Dipercayai punca utama kemalangan ini ialah disebabkan oleh kegagalan kipas utama berfungsi dengan baik.
Ketika dalam penerbangan, enjin helikopter itu dikatakan tidak berfungsi secara normal mengakibatkan kipas utama kehilangan kuasa dan berputar secara tidak seimbang lalu ianya menyebabkan wujudnya tekanan terhadap struktur kipas.
Ketidakseimbangan ini menyebabkan kipas itu patah dan hasil siasatan mendapati kipas utama helikopter telah patah sebelum pesawat itu terhempas. Tiga daripada kipas ditemui di tiga tempat berasingan, manakala satu bahagian lagi ditemui penduduk kampung beberapa hari kemudian.
Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai jatuh terhempas tanpa kipas utama kerana tidak ada kesan libasan kipas pada pokok sekitar kawasan kemalangan.
Berdasarkan maklumat beberapa penduduk kampung berhampiran, mereka mendengar dua letupan kuat, iaitu sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu menjunam.
Secara kebetulan, kejadian itu berlaku pada tarikh 3.3.1997 dan digelar sebagai ‘Triple Three Tragedy’ kerana membabitkan tiga angka tiga, iaitu berlaku pada hari ketiga di bulan tiga dan mengorbankan tiga nyawa.

Mangsa yang disahkan terkorban adalah tokoh korporat yang juga Pengerusi Kumpulan DRB Hicom, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, isterinya Puan Sri Rohana Othman, serta juruterbang, Mejar Azlizan Abdul Manas.
Kira-kira 20 anggota polis, lima pegawai, diketuai Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Mahmud Embi, telah dikerahkan untuk menjalankan gerakan mencari mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian.  
Gerakan mencari turut dibantu kira-kira 10 anggota bomba dan penduduk kampung sehingga mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 1.00 pagi di bawah serpihan helikopter itu.
Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di bawah cebisan bangkai helikopter itu, kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas dengan jarak yang tidak berjauhan antara satu sama lain.
Semua mangsa yang dijumpai telah rentung dibawa ke Hospital Kuala Lipis, kira-kira jam 5.20 pagi untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Marang, Terengganu. Jenazah kemudian diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu untuk pemeriksaan forensik.
Jenazah Tan Sri Yahaya dan isterinya dihantar ke Marang untuk dikebumikan, manakala jenazah Mejar Azlizan telah diterbangkan ke kampungnya di Batu Pahat untuk dikebumikan.
Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas menjumpai dua beg dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya. Kedua-dua beg dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter dari tempat tragedi pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat nahas.
Walau bagaimanapun, kemalangan pesawat ini menimbulkan tanda tanya ramai pihak sama ada ia berlaku secara tidak sengaja ataupun ulah perbuatan khianat manusia. Bagaimanapun pada 3 Mac 2001, Mahkamah Koroner memutuskan tiada sebarang unsur niat jahat, perancangan atau sabotaj oleh mana-mana pihak dalam nahas helikopter itu.
Menyorot sekilas tentang Tan Sri Yahaya, nama beliau amat dikenali pada era sebelum tahun 2000 sebagai antara jutawan Melayu yang terkenal dan pengerusi kumpulan DRB Hicom.
Anak kelahiran Terengganu ini pernah menggegarkan dunia perniagaan apabila membeli firma Lotus secara tunai setelah orang putih tidak percaya dengan kemampuan beliau untuk membeli firma tersebut.
Pada hari tragedi itu berlaku, Tan Sri Yahaya bersama isterinya dalam penerbangan untuk pulang ke kampung halamannya bagi menziarahi ibunya yang terlantar sakit. Tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana terlebih dahulu dijemput Ilahi.
Bagi mengenang jasa beliau, Institut Kemahiran Mara Pekan dinamakan sebagai Institut Kemahiran Mara Tan Sri Yahaya Ahmad (IKM TSYA) pada tahun 1997. Manakala sebuah jalan di Dungun, Terengganu dinamakan sebagai Jalan Yahaya Ahmad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *