“Awak terlalu baik untuk saya.”
Mungkin itulah ungkapan yang selalu diterima apabila cinta ditolak dengan mana-mana wanita dahulu. Kononnya perempuan sukakan bad boy. Tapi bad boy yang bagaimana perempuan suka? Apakah bad boy seperti Ted Bundy?
Ted Bundy ini merupakan seorang pembunuh bersiri sebenar dari Amerika Syarikat, yang menjadi punca mengapa anak gadis berasa sangat takut untuk keluar berseorangan, terutamanya pada waktu malam sekitar tahun 70-an
Dia bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 30 kes pembunuhan kejam, dan pelbagai lagi kegiatan-kegiatan seksual aneh, contohnya seperti nekrofilia, iaitu kegiatan seksual atau perlakuan seks ke atas mayat mangsa pembunuhannya.
Setelah beberapa kali dapat mengelak dari ditangkap dan berjaya melarikan diri dari tahanan pihak berkuasa, Bundy akhirnya dapat dipenjarakan, dibicarakan dan telah dikenakan hukuman mati di sebuah penjara di Florida.
Namun, yang menariknya tentang Ted Bundy ini, selain daripada profil psikologinya yang unik, adalah cara dia ‘mempersembahkan’ diri di khalayak ramai. Dia memiliki wajah yang kacak dan juga seorang yang berpendidikan. Selain itu, dia digambarkan memiliki perwatakan menarik dan berkarisma. Badboy yang bijaksana dan hensem.
Jauh tersasar daripada tanggapan orang ramai tentang pembunuh atau penjenayah itu secara umumnya, iaitu berkelakuan ganas, mempunyai perangai dan penampilan yang buruk. Walau bagaimanapun, ahli kriminologi dan psikologi berpendapat bahawa, ciri-ciri yang dimiliki inilah yang membuatkan Ted Bundy sangat berbahaya.
Dan selain ketika dia ditangkap dulu, dia dapat kecaman, ada satu fenomena yang berlaku yang memeningkan.  Terdapat golongan yang terdiri daripada wanita, muncul di mahkamah tersebut dan seperti memberikan sokongan moral, malah ada juga di antara wanita dan gadis, yang “confess” cinta mereka kepada si pembunuh itu. Walaupun mengetahui bahawa Bundy ini didakwa atas kesalahan membunuh, merogol dan melakukan nekrofilia.
‘Kegilaan’ ini sampai pada satu tahap, di mana sebahagian daripada ruang di mahkamah ketika perbicaraan tersebut, dipenuhi oleh ‘kumpulan sorak’ Bundy yang akan melontarkan senyuman kepada si pembunuh kejam itu, sama ada ketika dia berjalan ke tempat duduk atau berdiri untuk memberi keterangan. Adakalanya, kumpulan wanita ini juga akan ketawa kecil seakan menggedik apabila Bundy memandang ke arah mereka. 
Sementara itu, sains cuba merungkaikan peristiwa ini sebab banyak pembunuh bersiri yang memiliki peminat dan bahkan berkahwin dengan peminat mereka yang mengetahui kegiatan yang mereka lakukan. 
Menurut beberapa ahli psikologi, kelakuan ini dikenali dengan terma Hybristophilia. Ia adalah sejenis paraphilia atau tarikan seksual yang menjurus seseorang itu untuk mempunyai satu bentuk kepuasan seksual yang kuat kepada individu yang telah melakukan jenayah berat seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. 
Fenomena ini dapat dilihat dalam filem-filem kegilaan kaum perempuan. Contohnya macam “Twilight” dan drama bersiri “True Blood”. Iyalah, pontianak menghisap darah dan membunuh orang dengan mudah dibantu fizikal yang kuat. Tetapi bagi heroin, ada sesuatu yang dilihat menarik, dimiliki oleh vampire tersebut dan akhirnya mereka pun jatuh cinta! 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *