Shilton tunjuk isyarat tidak puas hatinya mengenai gol Maradona

LONDON: Jersi dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol “tangan tuhan” dijual pada harga 7.1 juta pound (RM38.3 juta) minggu ini, tetapi Peter Shilton – penjaga gol England ketika itu – berkata jersi berkenaan tiada nilai baginya.
Shilton, 72, berkata dia pasti sudah menghancurkan jersi itu jika dia tahu ia berada di dalam bilik persalinan selepas kekalahan suku akhir Piala Dunia 1986 kepada Argentina.
Maradona melompat dan menumbuk bola menewaskan Shilton pada minit ke-51 sebelum menewaskan lima pemain England untuk gol kedua dan kemenangan 2-1 Argentina pada tahun mereka muncul juara Piala Dunia.
Pemain tengah Steve Hodge, 59, tidak memberitahu rakan sepasukannya yang dia bertukar jersi dengan legenda Argentina itu selepas perlawanan.
“Saya tidak akan bertukar jersi dengan Maradona selepas apa yang berlaku pada hari itu. Saya tidak akan menggunakannya dalam rumah saya, walaupun untuk mencuci pinggan dalam banglo saya.
“Jika saya dan beberapa pemain lain tahu Hodgey mempunyai jersi itu dalam bilik persalinan, sudah pasti ia tidak akan selamat.
“Berdasarkan perlawanan itu, ia pasti dihancurkan – dan saya pasti Hodgey gembira sekarang yang kami tidak melakukannya.
“Dia tahu apa yang dia lakukan apabila merahsiakannya daripada kami. Dia pasti lega kami tidak tahu. Kami amat marah ketika itu.
“Sekurang-kurangnya ada seorang pemain England mendapat keuntungan daripada kekalahan itu,” kata Shilton.
Jersi berkenaan dikatakan dibeli oleh kumpulan dari Abu Dhabi. Usaha Argentina untuk mendapatkan kembali jersi legenda itu tidak berhasil.
“Saya kapten pada hari itu – ia masih terasa sakit hingga sekarang. Saya hanya fokus untuk memenangi Piala Dunia, tidak pernah terfikir untuk bertukar jersi dengan Maradona, tetapi melihat kepada harga ia dijual, patutnya saya tukar.
“Hodgey memang bijak, bagaimana dia boleh terfikir untuk bertukar jersi dengannya selepas Maradona menipu. Saya gembira untuknya. Dia membalas dendam untuk kami,” katanya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *