Gambar ikonik Che Guevara sentiasa dicetak sebagai perlambangan perlawanan kepada kapitalisme
Mereka yang pernah hidup pada era zaman kebangkitan revolusi lebih tujuh dekad yang lalu pasti kenal dengan lelaki ini. Wajahnya sering terpampang pada poster, dicetak pada baju, beg, pelekat dan juga dijadikan lukisan grafiti jalanan. Wajahnya benar-benar ikonik.
Lelaki yang dikenali sebagai Che Guevara ini merupakan seorang ikon revolusi, pejuang anti kapatalis yang terkenal di seluruh dunia. Tak hairanlah wajahnya terpampang dan dicetak di mana-mana di serata dunia.
Nama sebenarnya Ernesto Guevara, lahir pada 14 Jun 1928 di Rosario, Argentina. Gelaran ‘Che’ adalah nama timangannya yang diberikan kawan-kawannya. Ia adalah panggilan seruan yang sering digunakan Guevara.    
Merupakan anak sulung daripada lima beradik, Che Guevara berasal  dari keluarga golongan atasan Argentina, dan mempunyai darah campuran daripada bangsa Sepanyol, Basque dan Ireland.
Sejak dari kecil, Che Geuvara telah mempunyai penyakit lelah. Namun jiwa kental yang dimilikinya tidak pernah membuatkan dia mengalah dengan penyakit itu. Malah, dia seorang kanaj-kanak yang sangat aktif bersukan terutamanya sukan ragbi meskipun tahu dirinya menghidap asma.
Pada usia remaja, dia cenderung menghasilkan puisi seperti yang dilakukan oleh golongan bangsawan Amerika Latin ketika itu. Dia amat meminati karya yang dihasilkan oleh Pablo Neruda.
Di penghujung usia remajanya, minat Guevara beralih kepada dunia fotografi. Dia banyak menghabiskan masa mengembara ke tempat-tempat bersejarah, kawasan tumpuan orang ramai, bandar-bandar termasyhur dan tapak kajian arkeologi. Melalui pengembaraan inilah, dia banyak bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat dan merasai kehidupan pelbagai peringkat strata sosial.

Che Guevera ketika usia remajanya

Daripada Doktor Kepada Pejuang Revolusi
Pada tahun 1948, Che Guevara telah membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Universiti Buenos Aires dalam bidang perubatan. Salah satu yang mendorongnya belajar bidang ini kerana penyakit asma yang dihidapinya.
Setelah menamatkan pengajian pada 1953 sebagai pakar perubatan, dia telah menjalani latihan di Hospital Mexico City, sebelum meninggalkan hospital itu pada tahun 1955 untuk menjadi pejuang revolusi.
Sewaktu bergelar pelajar, Che Guevara banyak menghabiskan masa mengembara dan mengelilingi Amerika Latin. Pada tahun 1950, dia mengembara secara solo dengan basikal bermotor.
Kemudian pada tahun 1952, dia bersama rakannya Alberto Granado, seorang ahli bio-kimia mengembara ke pendalaman Amerika Selatan. Mereka berdua melakukan kerja suka rela di perkampungan pesakit kusta dan mengembara hingga ke pinggir sungai Amazon.
Hasil daripada pengalaman itu, Che Guevara telah menghasilkan sebuah karya yang diberi judul The Motorcycle Diary. Karya dalam bahasa Sepanyol ini kemudiannya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris pada tahun 1996 dan menjadi antara buku terlaris terbitan New York Times. Kisah dalam karya ini juga telah dijadikan filem pada tahun 2004.
Pengembaraan itu telah membuka mata Che Guevara. Dia melihat bagaimana rakyat miskin seperti golongan pekerja dan petani ditindas oleh golongan kapitalis. Keadaan ini yang membuatkan lelaki ini bangkit untuk menentang sistem kapitalis.
Era revolusi dalam hidup Che Guevara bermula pada tahun 1953. Ketika itu, dia nekad memulakan pengembaraannya di mana haluannya adalah Bolovia, Peru, Ecuador, Panama, Costa Rica, Nicaragua, Honduras, El Salvador dan Guatemala.
Sewaktu tiba di Guatemala, Che Guevara bertemu dengan satu kebangkitan sosial.
Pemerintah Guatemala ketika itu, Presiden Jacobo Arbenz Guzman sedang cuba mengembalikan revolusi sosial dengan membuat pembaharuan terhadap pemilikan tanah yang sebelum ini hanya dimonopoli oleh golongan patron.

Tindakan Presiden Jacobo yang memberi tanah kepada golongan petani membangkitkan kemarahan golongan elit dan syarikat kapitalis dari Amerika.
Bahkan golongan itu bersekongkol dengan junta tentera untuk menggulingkan Presiden Jocoba.
Di sini bermulanya pembabitan secara langsung Che Guevara dalam aktiviti revolusi. Kemiskinan, penindasan dan ketiadaan hak mengundi di kalangan penduduk miskin membuatkannya tekad untuk membantu perjuangan revolusi sosial yang ditaja oleh Presiden Jacobo.
Pada pemikirannya, hanya ada satu jalan saja untuk memulihkan kuasa rakyat iaitu dengan menumbangkan golongan pemilik tanah yang berkuasa menghalang revolusi sosial.
Memandangkan Che Guevara terdidik dengan tata-moralis memperjuangkan hak yang tertindas, dia merasakan sudah tiba masanya dia bertindak untuk menentang ketidakadilan ini.

Che Guevara bersama Fidel Castro

Perkenalannya dengan Fidel Castro dan Hilda Gadea Acosta telah membawa satu era perjuangan radikal di bumi Guatemala. Penubuhan Alianza Popular Revolucianaria Americana (APRA) telah melakar sejarah penentangan bersenjata.

Konsep peperangan gerila yang diperkenalkan oleh ARPA telah menyebabkan pergolakan politik berlaku di wilayah-wilayah yang dikuasai kapitalis yang mahu berkuasa menentukan hasil negara seperti Guatemala.

Kemudian, pada tahun 1959, Che Guevara telah membantu Fidel Castro merampas kuasa di Cuba dan mengembangkan kuasa sosialis soviet di bumi Amerika Latin.

Dalam revolusi Cuba itu, strategi Che Guevara berjaya menumpaskan Fulgencio Batista, pemimpin yang ketika itu disokong oleh pihak berkepentingan penuh dari Amerika.

Che Guevara juga diberi peranan penting dalam sektor kewangan, dilantik sebagai Presiden Bank Nasional. Dengan kuasa itu, dia telah mengurangkan kebergantungan Cuba terhadap eksport gula dan perdagangan luar negara terutamanya Amerika Syarikat.

Ini telah menaikkan lagi namanya. Che Guevara disanjung oleh golongan miskin dan menjadi pembakar semangat kepada pejuang revolusi dalam menentang kuasa kapitalis yang menindas mereka.

Semasa pemerintahan Che Guevara bersama Castro di Cuba, mereka berjaya menggagalkan serangan di Teluk Bay of Pigs sehingga Amerika berasa terhina dengan kegagalan serangan itu. Disebabkan itu, Amerika amat marah dan bertekad mahu menangkap Che Guevara.

Pada tahun 1964, Che Guevara berucap di persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Amerika. Beliau berucap selama sejam dengan secara terang-terangan mengutuk PBB dan mengutuk layanan Amerika terhadap bangsa kulit hitam.

Selepas kejayaan membebaskan Cuba, pada tahun 1965, Che Guevara meninggalkan negara itu dan memulakan revolusi di Congo dan akhirnya ke Bolivia. Che Guevara mahu memperluaskan ideologi revolusinya ke seluruh dunia di mana berlakunya penindasan rakyat. Namun, hajat lelaki yang disanjungi rakyat kelas bawahan ini tidak kesampaian.

Che Guevara (tengah) di Congo.

Kehilangan misteri Che Guevara daripada revolusi Congo pada April 1967 terjawab apabila dia diketahui memimpin gerakan revolusi di Bolovia.

Namun, perjuangan Che Guevara untuk membebaskan Bolovia menghadapi masalah apabila dia diburu militan Bolovia yang dilatih oleh Amerika Syarikat.

Akhirnya Che Guevara berjaya ditangkap dalam satu operasi ketenteraan terancang Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA). Dia dihukum mati oleh tentera Bolovia di La Higuera sewaktu ditawan dalam pertempuran di Quebrada del Yuro pada 8 Oktober 1967.

Sehari selepas ditangkap, Che Guevara dibunuh atas arahan presiden Bolovia. Tangannya dikerat untuk dijadikan bukti, manakala mayatnya dibuang ke dalam satu lubang kubur besar bersama pejuang pemberontak yang lain.

Makam Che Guevara di Cuba. Sebuah tugu peringatan dibina untuk memperingati pejuang revolusi ini.

Selama hampir 30 tahun, tiada siapa tahu di mana lubang kubur tersebut. Hanya pada tahun 1997, barulah mayat Che Guevara ditemui. Itupun setelah pesara tentera, Jeneral Mario Vargas membuka cerita kepada Jon Lee Anderson pada tahun 1995, memberitahu mayat pejuang revolusi itu ditanam berdekatan lapangan terbang Vallegrande, sebuah bandar kecil di Bolivia.

Jon Lee Anderson merupakan seorang penulis untuk buku Che Guevara : A Revolutionary Life. Pendedahan dalam sesi temubual dengan jeneral itu telah membuka laluan kepada misi pencarian besar-besaran mayat Che Guevara di lokasi yang disebutkan itu.

Salah satu mayat yang ditemui dalam lubang itu mempunyai ciri tepat Che Guevara di mana mayat itu tiada tangan dan terdapat satu paip tembakau dalam jeket mayat itu yang disahkan adalah kepunyaan Che Guevara.

Pencarian yang dilakukan menemui tulang temulang Che Guevara bersama rakan-rakannya yang terkorban di lokasi yang disebut Jeneral Mario, salah seorang bekas askar yang terlibat dalam misi penangkapan Che Guevara dahulu.

Mayat pejuang revolusi terkenal ini dikebumikan secara rasmi pada 17 Oktober 1997 di Santa Clara, Cuba.

Kematian Che Guevara telah banyak diperdebatkan para pemikir politik. Salah satu jawapan konkrit yang diterima pakai dunia mengapa dia dibunuh adalah kerana dia menentang kapitalis.

Makam Che Guevara di Cuba. Sebuah tugu peringatan dibina untuk memperingati pejuang revolusi ini.

Pada golongan atasan, mereka melihat figura ini sebagai pemberontak dan pembunuh kejam. Golongan yang hidup senang lenang memang benci pada Che Guevara.

Tetapi pada rakyat bawahan yang hidup menderita dan ditindas, Che Guevara adalah seorang hero. Dia menjadi kebanggan atas usahanya menumpaskan penindasan dan membangkitkan keadilan golongan bawahan.

Che Guevara tetap diingati oleh penduduk Amerika Selatan walaupun setelah lebih lima dekad kematiannya.

Sebab itu, imej ikonik Che Guevara masih kuat membakar semangat rakyat bawahan walau sudah berpuluh tahun dia tiada.

Sehingga kini, nama Che Guevara terus dikenang sebagai wira pembela masyarakat miskin di seluruh Amerika Selatan dan Latin. Tarikh kematiannya akan diraikan oleh ramai rakyat di sana untuk memperingati jasa dan perjuangannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *