Pada 6 September tahun 1949, Kerajaan Tanah Melayu telah menawarkan penyerahan diri beramai-ramai kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya yang bergerak ganas menentang Kerajaan melalui pertubuhan militannya yang dikenali sebagai Malayan Races Liberation Army (MRLA). Tawaran penyerahan diri ini telah dibuat melalui siaran radio dalam satu pengumuman tengah malam dan juga penyebaran beribu-ribu risalah yang ditulis dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
Strategi perjuangan Parti Komunis Malaya telah mula bertukar corak pada awal tahun 1948 berikutan dengan perubahan dasar Cominform yang tertubuh pada awal tahun 1947. Pada bulan Mac 1948, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Malaya sejajar dengan arahan-arahan Cominform telah bersidang dan mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar baru dan mula menjalankan kempen pembunuhan dan keganasan yang akan membawa kepada revolusi bersenjata. Pada bulan April dan Mei 1948, PKM telah menganjurkan beberapa siri permogokan di Singapura yang dengan segera merebak ke Persekutuan Tanah Melayu. Pemogokan-pemogokan itu disertai dengan ugutan kepada pekerja- pekerja, pembakaran kilang-kilang getah dan pembunuhan para kontraktor, pengurus-pengurus ladang dan black-legs. Kebanyakan kegiatan itu dilakukan oleh ‘Kor Bergerak’ (Mobile Corps) yang telah ditubuhkan daripada satu seksi sulit Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). Di samping itu PKM juga telah menggerakkan seksi ‘terbuka’ (open section MPAJA untuk memujuk mereka yang bukan komunis dan lari daripada rejim pendudukan Jepun supaya masuk ke hutan belantara untuk menyertai perjuangan parti itu.
Pada tengah malam 20 Jun 1948 Undang-Undang Darurat telah diumumkan. Pada 23 Julai 1948 , kerajaan telah mengharamkan Parti Komunis Malaya. Oleh itu PKM bergantung sepenuhnya kepada perjuangan bersenjata untuk mencapai cita- cita perjuangannya. MPAJA yang mula dipergiatkan semula itu telah ditukarkan namanya kepada MPABA atau Malayan People’s Anti-British Army dan kemudiannya menjadi Malayan Faces Liberation Army (MRLA) yang menjadi pasukan bersenjata Parti itu.
Kegiatan-kegiatan ganas MRLA tidak dapat dibiarkan oleh pihak kerajaan. Pada tahun 1949 pihak PKM menyedari bahawa perjuangan bersenjatanya untuk menjatuhkan kerajaan tidaklah mudah. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menawarkan penyerahan diri beramai-ramai kepada MRLA yang kebanyakan daripada anggota-anggotanya terpedaya atau dipaksa untuk menyertai perjuangan PKM.
Rakyat Tanah Melayu berhimpun memberikan sokongan kepada tawaran kerajaan untuk memberi pengampunan kepada pengganas Komunis yang menyerah diri.
Tawaran itu menjelaskan bahawa dengan pindaan undang-undang “Sebarang orang yang tela bersekutu dengan penjahat-penjahat dan menanggung kesalahan membawa senjata serta tinggal bersama-sama penjahat dan yang menyerah diri dengan sukarela, tidak akan didakwa di atas tindakan yang membawa kepada hukuman bunuh. Tiap-tiap orang yang menyerah diri dengan sukarela akan dipertimbangkan menurut keadaan masing-masing. Jika ia didakwa dan dikenakan hukuman, hukuman itu tidak lebih daripada dipenjara, atau dihantar balik ke negerinya, atau diberi peluang hidup bebas sebagai rakyat yang taatkan kepada undang-undang sekiranya ia bertaubat, dan dapat memuaskan pihak berkuasa bahawa ia telah mengikis segala niat dan pergaulan yang menceburkannya dalam keadaan sekarang, supaya ia dapat dibebaskan dengan tidak mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara.