Sejarah bermulanya pengajian Islam sistem pondok di Padang Rengas yang dapat dikesan berlaku sekitar 1860an apabila datang seorang ulama bernama Pak Kiyai Tuan Guru Haji Abdul Manan dari tanah Jawa ke tanah Semenanjung Tanah Melayu yang dikatakan hendak mencari seorang Penghulu yang berkuasa ke atas anak buahnya di kawasan tempat lahirnya (Jawa). Beliau kemudiannya menetap di sana mengajar dan banyak pondok-pondok didirikan serta murid-muridnya datangnya dari pelbagai kawasan.
Pada tahun 1927, telah datang seorang lagi ulama’ asal Mandailing, Sumatera bernama Syeikh Junid Thala al-Mandili. Beliau telah membina sebuah madrasah yang diberi nama Madrasah Diniah di Kampung Lalang dan kemudian mendirikan sebuah lagi pusat pengajian iaitu Madrasah Arabiah pada tahun 1930. 
Padang Rengas menjadi amat bertuah apabila menerima kepulangan butir-butir permata ilmu yang selesai menamatkan pelajaran mereka di Mekah. Di antara yang paling terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh yang telah menghidupkan semula Madrasah Yahyawiyah pada tahun 1949 hasil peninggalan abangnya Tuan Guru Haji Muhammad Zain.
Madrasah Yahyawiah ini telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Haji Mohd Noh pada tahun 1942. Sekembalinya dari Mekah, Tuan Guru Haji Muhammad Zain menjadi Guru Agama dan selepas itu menjadi pensyarah. 
Beliau kemudiannya bersama orang-orang kampung berhasrat untuk membina sebuah madrasah bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam masyarakat kampung sekitar tahun 1942. Namun beliau hanya sempat mendirikan beberapa buah tiang besar sebagai asas madrasah sebelum ditakdirkan Allah Taala meninggal dunia dalam usia yang muda yakni pada tahun 1943.
Namun hasrat Allahyarham tidak terkubur begitu sahaja apabila sejurus adiknya, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh pulang dari Mekah sekitar tahun 1949, beliau telah menyambung usaha yang dimulakan oleh Allahyarham sehingga siap sepenuhnya dan diberi nama Madrasah Yahyawiyah.
Madrasah Yahyawiyah didirikan di atas sebidang tanah berkeluasan 0.0911 hektar. Ianya telah dirasmi pembukaannya pada 4 Januari 1954. Madrasah Yahyawiah sebetulnya dinamakan mengambil sempena nama Orang Besar Perak, Dato’ Yahya yang telah menderma wang untuk pembinaaan rangka bangunan serta mewakafkan tanahnya untuk tapak sekolah berkenaan.
Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh telah diberi kepercayaan untuk mentadbir Maahad ini sebagai Mudir pertama dan semenjak daripada itu Maahad ini terus berkembang menjadi sebuah institusi pendidikan agama yang terulung di negeri Perak pada masa tersebut.
Tenaga pengajar awal di Madrasah Yahyawiah pada peringkat permulaan adalah terdiri daripada sebahagian sahabat-sahabat Tuan Guru Haji Abdul Samad sewaktu di Mekah dahulu, seperti :
1. Tuan Guru Haji Abdul Aziz Bin Imam Yaakob Kampung Gapis
2. Tuan Guru Haji Sufian Bin Haji Mohd Taib Manong
3. Tuan Guru Haji Muhaiyuddin Bin Haji Abdul Rahman
4. Tuan Guru Haji Ariffin Bin Haji Noh
5. Tuan Guru Haji Hamduddin
6. Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Abdul Majid
Bermula dari detik itu, kemajuan pendidikan Islam di Padang Rengas semakin ke hadapan. Madrasah Yahyawiyah menjadi bualan mulut masyarakat kampung khususnya di negeri Perak untuk menghantar anak-anak mereka mengaji ilmu agama. Kemasyhuran Tuan Guru Haji Abdul Samad lebih menyerlah apabila beliau terlibat dalam penubuhan Parti Islam Se-Malaysia PAS dan kemudian menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang ketiga bermula dari tahun 1968 hingga 1984.
Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh berjaya meletakkan Madrasah Yahyawiyah sebagai sebuah sekolah agama yang terbilang semasa zaman keemasannya. Di bawah kepimpinan beliau, sekolah ini berjaya menggamit pelajar dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam selain negeri-negeri di Semenanjung belajar dan pernah menerima sehingga 500 pelajar perempuan dan lelaki setiap tahun. Antara pelajar-pelajar yang berjaya hasil didikan di Yahyawiyah ialah :
1. Tuan Haji Mahyuddin Bin Haji Yeop Hamzah
2. Puan Guru Ustazah Hajah Rafkah Binti Alang Abdul Mutalib, Gunung View
3. Tuan Guru Haji Mohamad Zahid Bin Mohamad Isa, Paya Rangam
4. Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Haji Abdul Kahar, Telok Medan
5. Syeikh Maulana Ahmad Khairani Bin Haji Rejab Ali, Trong
Sehingga kini Madrasah Yahyawiyah masih berfungsi sebagai SABK Maahad al-Yahyawiyah bermula dari 2006 di bawah pentadbiran yang berstruktur. Pengetuanya kini adalah Tuan Haji Muhammad Saufi Bin Ismail
Rujukan : Tengku Yusuff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *