Pusara Abadi yang lebih kemas dan teratur itu mempunyai satu kaedah baharu yang menggunakan konkrit yang telah diperkenalkan bagi pengebumian jenazah umat Islam. 
Pengebumian bagi umat Islam kini menggunakan cara baharu iaitu dengan menanam jenazah di dalam rangka konkrit pasang-siap berserta ruang kosong.
Kaedah pengebumian itu telah mula digunakan bagi kes-kes pengebumian baharu bermula pada Ogos 2002. 
Setiap ruang kosong dalam rangka konkrit itu boleh memuatkan jenazah yang kemudian ditimbuni tanah sebelum ditutup dengan penutup konkrit. 
Modular Burial System (MBS) itu telah menjimatkan penggunaan tanah perkuburan di sini sebanyak 50 peratus dan dapat melanjutkan tempoh penggunaan kawasan Choa Chu Kang Cemeteries dari tahun 2064 kepada 2130. 
Sistem pengebumian baharu itu telah dipersetujui dan diterima Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). 
Sebagai permulaan, MBS telah digunakan bagi penggalian dan pengebumian semua saki-baki jasad dari Bidadari Muslim Cemetery (Upper Serangoon Road) ke Pusara Abadi mulai 14 Ogos 2002. 
Sistem pengebumian baharu itu tidak bercanggah dengan syarat Islam dan telah pun diamalkan masyarakat Islam lain di Makkah dan Istanbul (Turki). 
Bidadari Muslim Cemetery telah digali dan dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan kawasan perumahan Bidadari Estate pada Ogos 2002. Terdapat sekitar 68 000 kubur di Bidadari Muslim Cemetery. 
Kerja penggalian dan pengebumian semula bermula pada Ogos 2002 dan selesai pada akhir tahun 2004. 
Dengan penggalian itu, Masjid Bidadari yang didirikan oleh Habib Ali bin Shaikh Alhabshi pada tahun 1910 juga telah melabuhkan tirainya pada 30 Jun 2007 dan dirobohkan apabila selesainya projek pemindahan kubur-kubur tersebut. 
Sebenarnya, tiga kerja penggalian pernah dijalankan di pinggir tanah perkuburan itu antara tahun 1996 dengan 2000 bagi projek pembesaran jalan raya. Sekitar 10 000 kubur dituntut waris dalam kerja-kerja itu. 
Bidadari Muslim Cemetery adalah antara yang tertua di Singapura. 
Seluas 26 hektar atau sebesar empat National Stadium, ia dibuka pada 14 Februari 1910 dan ditutup pada 31 Oktober 1972. 
Setiap lot kubur baharu pindahan Bidadari Muslim Cemetery itu mengandungi lapan saki-baki jasad yang dituntut atau 16 saki-baki jasad yang tidak dituntut. 
Terdapat juga beberapa lot kubur khusus untuk saki-baki jasad beberapa tokoh agamawan dan jasawan masyarakat. Mereka ialah:- 
[1] Dr Abdul Samad bin Daing Pagak 
[2] Ahmad bin Ibrahim 
[3] Haji Abdul Rahim bin Salim @ Haji Abdul Rahim Kajai 
[4] Baharudin bin Mohamad Arif 
[5] Shaikh Muhammad Fadhlullah bin Muhammad As-Suhaimi 
[6] Habib Abdullah bin Shaikh Balfaqih 
[7] Habib Abdullah bin Idrus Al-Baroom 
[8] Shaikh Abbas Al-Maliki 
[9] Siti Aminah 
[10] Imam Haji Ali bin Muhammad Said 
[11] Zahara binti Noor Mohamed
[12] Captain Noor Mohamed Hashim bin Mohamed Dally

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *