Kampung Baru Cina Sekinchan Site B merupakan kampung yang paling luas jika dibandingkan dengan Kampung Baru Site C dan A. 
Kampung Baru Sekinchan B sebenarnya dirujuk kepada Parit Lima. Berkeluasan 84 ekar, kampung ini telah ditubuhkan pada tahun 1951. Ia merupakan kampung yang paling besar dengan diduduki sebanyak 300 buah keluarga.
Setelah lebih 60 tahun berlalu, kampung ini masih merupakan kampung yang paling besar antara kampung-kampung baru Cina yang lain di Sekichan. 
Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai pesawah padi. Terdapat juga diantara penduduk kampung yang berniaga dan menanam pelbagai sayuran.
Kelainan paling ketara yang membezakan kampung ini dengan Kampung Baru Sekinchan Site A dan C ialah komposisi penduduknya. Tempat ini merupakan kawasan penumpuan orang Hakka dan Guangdong dan jumlah kedua-duanya melebihi orang Hokkien. Ini disebabkan orang Hakka telahpun berpindah masuk ke ke kawasan ini secara berperingkat sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Kebanyakan mereka merupakan pekerja lombong dari kawasan Batang Berjuntai dan Batu Arang serta sekitar Hulu Selangor.
Pada masa tersebut, semua rumah di Parit Lima dibina di atas kawasan sawah padi secara berselerak. Kesemuanya dibina secara ringkas dengan batang kayu, papan kayu dan daun atap
Parit Lima telah menjadi markas Pengganas Komunis selepas Perang Dunia Kedua. Sebagai langkah pihak keselamatan ketika itu untuk menentang pengganas Komunis pada era zaman darurat, ketiga-tiga kampung Sekinchan A, B dan C telah ditubuhkan serentak menjelang tahun 1951.
Penjajah British telah mengumpulkan semua penduduk Parit Lima, serta sebahagian penduduk Cina dari Batang Berjuntai untuk ditempatkan di Kampung Baru Sekinchan Site B.
Pada sekitar tahun 1950-an, Batu Arang telah jatuh mundur dari segi ekonomi sehingga menyebabkan kegiatan perlombongan batu arang diberhentikan. Sekumpulan pekerja lombong terutama orang Hakka telah berpindah masuk ke Kampung Baru Sekinchan B untuk mencari nafkah dan memulakan kehidupan baru.
Dalam sekitar tahun 1955, penjajah British telah mula membuat perancangan tempatan. Tanah di sebelah Sekinchan B telah dibangunkan menjadi Pekan.
Dalam Projek Buku Hijau pada tahun 1973, Sekinchan Site B telah memulakan tanaman padi secara besar-besaran. Hampir keseluruhan penduduknya telah menjadi pesawah padi. Boleh dikatakan semua tanahnya telah digunakan untuk menanam padi pada masa iru.
Namun begitu, kedudukan sebagai kawasan pengeluaran padi masih tidak dapat menjamin keselesaan hidup. Pada mulanya, padi hanya dapat dituau hanya sekali dalam setahun. Semua keluarga terpaksa menyimpan bekalan beras sendiri untuk setahun setiap kali padi dituau. Itu pun masih gagal menampung keperluan sekeluarga.
Masalah itu hanya selesai selepas pihak kerajaan memberikan kupon pembelian beras kepada petani. Oleh denikian, petani tidak perlu lagi membuat simpanan bekalan beras tahunan.
Setelah penggunaan jentera diperkenalkan, ditamvah pula dengan pembawaan masuk benih padi dari negara Taiwan, pengeluaran padi telah berjaya ditingkatkan kepada dua kali setahn sehingga pendapatan petani berjaya dipertingkatkan.
Selain itu, Sekinchan B turut menjadi pusat penternakan burung walit. Peningkatan permintaan terhadap sarang burung walit telah menyebabkan rumah sarang burung walit tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan di situ. Sebahagian besar daripada 40 buah rumah sarang burung di Sekinchan terletak di kampung Sekinchan Site B.
Sumber : Imbasan Kampung Baru Cina di Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *