Dalam tahun 1860an Maharaja Abu Bakar membeli hartanah seluas 67 ekar di Tanglin Singapura milik penasihat undang-undang Baginda William Napier. Sebuah kediaman “Tyersall” yang dibina ditanah tersebut pada tahun 1854 kemudiannya dijadikan tempat persemayaman suri ketiga Baginda Sultanah Fatimah Binti Abdullah. Setelah merobohkan rumah kediaman tersebut pada tahun 1890 Sultan Abu Bakar bersama Sultanah Fatimah merancang membina sebuah istana mengikut ciri ciri kediaman mewah di Eropah. Dato’ Yahya Awaluddin salah seorang Ahli Jumaah Menteri Baginda yang juga seorang arkitek diberi tanggungjawab menyediakan reka bentuk istana itu mengikut citarasa Sultanah Fatimah.
Sultanah Fatimah
Maharaja Abu Bakar bernikah dengan Che’ Puan Fatimah seorang gadis keturunan Cina (nama asal Wong Ah Gew sebelum memeluk agama Islam) anak kepada seorang Kangcu Rengit pada tahun 1885. Che’ Puan Fatimah yang dikurniakan gelaran Maharani Fatimah enggan dimahkotakan bersama Sultan Abu Bakar pada tahun 1886. Walau bagaimanapun Sultan Abu Bakar mengurniakan gelaran Sultanah kepadanya dan diukir gelaran serta namanya di beberapa peralatan keemasan untuknya dari perhiasan sehinggakan ke perkakas jamuan.
Istana ini berbentuk empat segi tepat berukuran 210 kaki panjang dan 174 kaki lebar, dengan seni bina Corinthian. Ciri utama yang terdapat pada istana ini adalah sebuah menara 70 kaki tinggi ditengah bangunan yang berbumbung genting berwarna merah. Satu lambang bulan sabit dan bintang sebagai simbol agama Islam menghiasi mercu menara itu. Pemborong binaan Wong Ah Fook dari Johor Bahru dipertanggungjawabkan membina istana tersebut, dan selesai pembinaanya pada tahun 1892, setahun selepas kemangkatan Sultanah Fatimah.

Antara ciri menarik bangunan yang mempunyai 420 pintu itu adalah tangga besar berhiaskan besi waja berkerawang, dewan menghadap yang selesa, dewan tari-menari, dan dewan santapan yang luas. Kayu jati digunakan menghiasi pintu dan tingkap. Perabot, langsir yang indah dan permaidani empuk dibeli dari England. Barang-barang perhiasan China, Jepun dan lain-lain yang diperolehi sendiri oleh Sultan Abu Bakar ketika lawatan ke negara asing menghiasi ruang koridor dan bilik-bilik istana.
Sultan Abu Bakar mengekalkan nama asal “Tyersall” dari bahasa Scot bagi istana yang dijadikan kediaman persemayaman rasmi Baginda di Singapura. Baginda menjemput dan memberi penghormatan kepada Gabenor Negeri-negeri Selat Sir Cecil Clementi untuk merasmikan Istana Tyersall pada 3 Disember 1892 disaksikan oleh Sultan Pahang, Sultan Riau, serta pembesar-pembesar Johor dan Singapura.
Lawatan Raja Siam Raja Chulalongkorn ke Istana Tyersall pada 2 Ogos 1896
Istana Tyersall menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah diantaranya pada 10 Disember 1892 Sultan Abu Bakar menerima anugerah darjah Imperial Order of the Double Dragon Pangkat Pertama dari Emperor China yang disampaikan oleh Konsul Jeneral China di Singapura. Maharaja China amat menghargai jasa baik Sultan Abu Bakar diatas keprihatinan dan bantuan Baginda membenar dan memberi perlindungan kepada rakyat Negara China yang bermastautin di Johor.

Beberapa hari sebelum berangkat kali terakhir ke London pada 18 April 1895, satu majlis yang sederhana diadakan di Istana Tyersall dimana Sultan Abu Bakar telah melantik Tunku Mahkota Tunku Ibrahim sebagai Pemangku Raja disaksikan oleh Jumaah Menteri Baginda. Pada 4 Jun 1895, Pemangku Raja menerima perkhabaran berita kemangkatan Sultan Abu Bakar melalui telegram yang dikirimkan oleh Dato’ Sri Amar DiRaja Dato’ Abdul Rahman Andak semasa beradu di Istana Tyersall.
Pada 14 April 1895 Sultan Abu Bakar mewasiatkan supaya Tyersall dijadikan harta kerajaan Johor setelah kemangkatan Baginda, khas untuk kegunaan waris-waris dan pengganti-pengganti Baginda turun temurun. Kerajaan Singapura pada tahun 1990 mengambil balik sebahagian tanah Tyersall untuk tujuan awam dengan bayaran gantirugi sebanyak $25 juta. Terbit dari satu tuntutan Mahkamah Tinggi Singapura pada tahun 2005 mengesahkan, oleh kerana Tyersall telah di kurnia untuk kegunaan takhta Kerajaan Johor Almarhum Sultan Iskandar yang pada masa itu Sultan Johor berhak menerima keseluruhan wang pampasan tersebut.
Pada 10 September 1905 jam 2.45 pagi Istana Tyersall musnah terbakar disebabkan litar pintas eletrik. Adalah menjadi satu perkara pelik antara bangunan yang pertama menerima bekalan letrik di Singapura dimusnahkan oleh api yang berpunca dari kerosakan elektrik.

Pada tahun 2006 Sultan Iskandar telah mengurniakan keseluruhan kawasan Tyersall kepada cucuanda Baginda  Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibni Tunku Ibrahim (sekarang Tunku Mahkota Johor).
Sumber :
Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim Ramli
Yang DiPertua
Jumaah Majlis DiRaja Johor
18 Disember 2016

1 thought on “Sejarah Istana Tyersall dan kaitannya dengan Kesultanan Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *