Makam Raja Hitam di Seberang Kota, Perak

Di dalam catatan sejarah negeri Selangor, nama Sabak Bernam ada disebut terutamanya sekali dalam bulan Ogos 1784. Ketika kota Kuala Selangor ditakluki oleh Belanda, yang mana Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor kedua bara pengikutnya terpaksa berundur  ke Sabak Bernam sebelum ke Pahang di katakan melalui Sungai Bernam. Sekali lagi nama Sabak Bernam timbul  di dalam sejarah, apabila berlakunya perang saudara Selangor antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi.

Di Penggal akhir tahun 1871 apabila British menyerang Kuala Selangor di mana tempat Raja Mahadi dan orang-orangnya bertahan. Serangan yang kuat oleh angkatan British menyebabkan Raja Mahadi berlepas diri ke Sabak Bernam kemudiannya diperkatakan belayar ke Sumatera dan Johor. Dari peperangan saudara inilah yang mendesak Sultan Abdul Samad terpaksa tunduk dan bersetuju seorang British Penasihat di Selangor pada tahun 1874. Maka dari situlah bermulanya campur tangan British di dalam hal ehwal pentadbiran di Negeri Selangor.

Pada 15 September 1874 dalam suatu mesyuarat di Langat Governor Andrew Clarke telah mengistiharkan bahawa Frank Swettenham sebagai British Penasihat kepada Sultan Abdul Samad bagi pentadbiran negeri Selangor secara langsung menamatkan perang saudara, disamping mengukuhkan kedudukan Sultan Abdul Samad.

Pada detik itu jugalah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan daerah-daerah lain dalam negeri Selangor secara rasmi bernaung di bawah campur tangan pihak British. Ada yang berpendapat tahun itu merupakan  tahun bertuah buat Negeri Selangor kerana dengan masuknya campur tangan British ke negeri ini telah dapat menamatkan perang saudara, tidak kurang juga yang beranggapan tahun 1874 merupakan tahun paling malang, disebabkan pertelingkahan saudara dalam negeri, secara rasmi hadirlah empayar Eropah itu memegang bidak catur pemerintahan negeri Selangor

Sebelum tahun 1874 lagi Sabak Bernam sememangnya sudah diduduki oleh orang Melayu bahkan terdapat juga kehadiran ras etnik Melayu yang lainya sepert Kampar, Jawa dan juga Banjar. Mengikut cerita lisan kawasan-kawasan yang telah ada penduduk ialah seperti Sabak, Sungai Panjang, Kampong Tok Khafah yang membuka penempatan di tepian sungai, Cerita-cerita lama ini juga menyatakan, kampung tersebut telah didiami oleh orang sejak tahun 1720 lagi.

Semasa Raja Lumun (Lumu) diberi gelaran Yang Di Pertuan Selangor yang pertama oleh Sultan Perak ialah dalam tahun 1756. Pada tahun berkenaan di Sabak Bernam telah ada penduduknya.

Diantaranya menyebut Sabak Bernam ketika itu telah ada seorang ketua penduduk bernama Raja Inu yang merupakan kaum kerabat Kesultanan Perak. Setelah Raja Lumu bergelar Sultan Salehuddin Shah, barulah Sabak Bernam diletakan bawah kuasa baginda. Laporan yang dibuat oleh John Anderson, seorang Pegawai Inggeris Selangor dalam catatannya bertarikh tahun 1824, ada menyebut penduduk Sabak Bernam melebihi 1000 orang, keramaian ini mengatasi penduduk Jeram dan Langat Laporan itu juga ada menyebutkan penduduk di situ terkenal kerana mengusahakan rotan dan bijih timah. Sementara itu kedatangan orang dari Sumatera pula telah menambahkan lagi keramaian penduduk tempatan, golongan perautau dari seberang ini menjalankan kerja pertanian dan mengusahakan tanah-tanah baru yang dianggap sangat subur.

Kejayaan Sultan Ibrahim menghalau Belanda dalam Perang Bukit Malawati, membolehkan baginda mentadbir semula Kuala Selangor. Sultan Ibrahim bersemayam di sana sementara adindanya Raja Nala dilantik menjadi Raja Muda dan bersemayam di Kota Tanjung tidak jauh dari situ. Dari keterangan ini bererti Raja Muda yang berada di Sabak Bernam bukan lah Raja Nala seperti mana yang perti didakwa oleh sesetengah pihak.

Menurut suatu cerita yang lain, salah seorang putra Sultan Ibrahim ialah bernama Raja Unos bersama seorang temannya bernama Haji Ali memerintah dan memungut cukai di Kuala Sungai Bernam dan membina sebuah kota Istana di seberang Perak. Tempat tersebut di kenali dengan nama kampung Kota hingga ke hari ini.
Raja Unos ini di katakan juga mempunyai lima orang putra iaitu Raja Hitam, Raja Indot, Raja Mat Aris, Raja Abidin dan Raja Nordin. Apabila Raja Unos mangkat, puteranya Raja Mat Aris menggantikannya di Seberang Kota sementara Raja Hitam mendirikan kota di Sabak Bernam serta dihias dengan beberapa pucuk meriam dan lela. Malangnya semua kesan-kesan ini telah hilang entah ke mana. Keadaan ini menjadi kedua mereka sentiasa berulang alik dengan menaiki perahu antara Sabak Bernam dengan Seberang Kota. 
Pada tahun 1826 sehingga 1858, ketika negeri Selangor diperintah oleh Sultan Muhammad, Sultan Selangor ketiga yang dikatakan pentadbirannya longgar kawalannya terhadap daerah-daerah di Selangor. Disebabkan kelemahan inilah ketua-ketua setiap daerah dalam negeri Selangor memerintah dan berkuasa di tempat mereka masing-masing. 
Dikatakan pada masa itu wujud lima daerah iaitu Kuala Selangor (Selangor) Langat. Lukut, Klang dan Sabak Bernam. Setelah Raja Mat Aris memerintah beliau melantik adindanya Raja Indut menjadi Hakim yang berkuasa membicara dan menghukumkan suatu kesalahan. Di samping itu kedua-dua adindanya iaitu Raja Abidin dan Raja Nordin adalah dilantik menjadi Pegawai Keamanan di laut dan di darat. Keadaan ini membawakan pentadbiran Sabak Bernam semakin terasing dan jauh dari Selangor. Beberapa kali percubaan atau usaha telah dibuat untuk mendapatkan Sabak Bernam di tadbir oleh Kerajaan Negeri Selangor malangnya semua usaha tersebut menjadi sia-sia. 
Pegawai-pegawai kerajaan yang bekerja di sini menjadi serba salah, kerana kebanyakan arahan-arahan semuanya datang dari Raja Hitam, Raja Mat Aris dan Raja Indut. Dalam hal inilah menyebabkan pentadbiran Sabak Bernam semakin kuat dan Raja Mat Aris menganggap Sabak Bernam merupakan sebuah negeri yang merdeka dan tidak masuk bernaung atau taklukan mana-mana Sultan. 
Tambahan pula Raja Hitam yang berada di seberang Sabak Bernam merupakan seorang pemerintah yang cekap dan berwibawa. Semasa Negeri Selangor di bawah kuasa Sultan Abdul Samad telah beberapa kali baginda mengirim utusan ke Sabak Bernam untuk meminta cukai tetap kesemua itu, telah mendapat tentangan yang hebat dari Raja Hitam. Sementalahan pula Negeri Selangor dalam keadaan huru-hara kerana tentangan dari Raja Mahadi dan para pengikutnya yang setia berdepan dengan Pakatan Raja Abdullah dan Tengku Kudin.
Mengikut sejarah Selangor, Raja Mahadi pernah mendapat bantuan dari Raja Hitam di Sabak Bernam untuk menentang Tengku Kudin serta menyerang dan menakluki Kuala Selangor. Raja Musa putera Sultan Abdul Samad yang berkuasa di Kuala Selangor telah pergi menemui ayahandanya di Langat.
Hasrat Raja Musa untuk menghalau Raja Mahadi yang mendiami Kuala Selangor itu tidak dapat sokongan daripada ayahandanya. Sultan Abd Samad meminta Raja Musa mengemukakan masalahnya itu kepada Tengku Kudin, sedangkan antara keduanya adalah tidak sebulu. Namun, Raja Mahadi terpaksa juga meninggalkan Kuala Selangor kerana tidak tahan menerima tentangan dari British dan dalam tahun 1871 Raja Musa balik semula mentadbir Kuala Selangor.
Dalam usaha untuk mendapatkan Sabak Bernam supaya duduk semula di bawah satu pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sentiasa gagal, ikhtiar demi ikhtiar, akhirnya datanglah seorang pegawai Inggeris mewakili Sultan Abdul Samad dan British bernama Mr Roger berjawatan sebagai Penasihat Selangor yang baru mengadakan perundingan dengan Raja Hitam di Sabak Bernam. Pertemuan ini akhirnya membuahkan hasil yang baik.
Dalam pertemuan ini dibuatlah suatu surat akuan dari G.R. Rogers bagi pihak kerajaan Selangor dan Penasihat Selangor kepada pentadbir Sabak Bernam yang menyebut beberapa perkara di bawah ini :
1. Mengakui dan mengesahkan bahawa Raja Hitam Ketua Penduduk Sabak Bernam.
2. Sabak Bernam sah masuk ke pentadbiran negeri Selangor.
3. Kerajaan Selangor akan memajukan Sabak Bernam dan rakyatnya
4. Jaminan memberi imbuhan persaraan dan elaun kepada Raja Hitam, Raja Mat Aris dan Raja indot.
Apabila Raja Hitam meninggal dunia, surat akuan kuasa ini diberikan kepada Raja Hassan, putera Raja Hitam. Berbekal surat ini Raja Hassan mendapat (memohon) jawatan Penghulu. Disebabkan jawatan Penghulu itu adalah jawatan kerajaan yang membolehkan beliau bertukar ke daerah lain menyebabkan , pada suatu ketika Penghulu Raja Hassan ditukarkan ke Setapak Kuala Lumpur seterusnya meninggal di sana.

Sebelumnya Penghulu Raja Hassan meninggal dunia, berita kehilangan surat akuan kuasa ini telah tersebar ke kaum keluarga mereka. Surat penting itu tidak ketemu lagi hinggalah ke hari ini. Setelah Raja Indot meninggal dunia jawatan Hakim itu diteruskan telapi disandang oleh bukan dari keluarga Raja Unos. Diantaranya selepas Raja Indot meninggal dunia, jawatan itu disandang oleh Pegawai British seperti Mr Coope, Mr JA Eraser, Mr JC Bottoms, Mr D.H. Payne dan seterusnya.
Sebelum Sabak Bernam merupakan sebuah daerah dan pentadbiran, kawasan ini adalah ke Kuala Selangor. Sabak Bernam suatu ketika dahulu adalah dianggap tempat buangan kepada pegawai pegawai kerajaan, terutama kepada kaum guru. Setiap guru yang tidak disukai oleh ketua atau Guru Besar mereka, maka Sabak Bernamlah tempat mereka menjalankan bakti dan khidmat menjadi pegawai buangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *