Tanggal 25 Ramadan 1,435 tahun Hijrah yang lalu, dipercayai tarikh Jeneral Khulafa ar-Rashidin, Khalid al-Walid RA menghancurkan berhala Al-Uzza.
Al-Uzza adalah satu daripada tiga dewi utama bersama Al-Lat dan Manat yang disembah oleh masyarakat Arab pra-Islam terutamanya puak Quraisy dan Kinanah. Berhalanya dibina pada tiga batang pokok akasia di sebuah lembah di Nakhlah dekat Mekah.
Selepas kuasa Islam berjaya menakluk kembali Mekah pada 20 Ramadan tahun ke-8 Hijrah, Nabi Muhammad SAW telah segera mengarahkan supaya segala bentuk objek sembahan dan berhala yang wujud di kota itu dan sekitarnya dihapuskan.
Khalid al-Walid RA telah diutuskan Baginda ke Nakhlah untuk menghapuskan berhala dan rumah sembahan Al-Uzza di situ. Jeneral al-Walid RA membawa 30 orang bersamanya, menjalankan misi itu dengan mudah dan kembali ke Mekah.
Bagaimanapun, Rasulullah SAW memberitahu Khalid RA bahawa yang dimusnahkan itu adalah palsu, kerana beliau tidak berdepan sebarang cabaran atau apa-apa perkara yang luar biasa. Maka diperintah Baginda supaya Khalid RA kembali ke sana.
Sekembalinya Khalid RA di Nakhlah, penjaga rumah sembahan itu pantas melarikan diri. Kemudian beliau menyeru nama Al-Uzza, lantas muncul seorang wanita Habsyi berkulit hitam yang berbogel dengan rambut panjang kusut menggerbang sambil meratap.
Tanpa ragu, Khalid RA mengeluarkan pedangnya lalu membelah wanita itu kepada dua, yang kemudian berderai menjadi abu. Beliau pulang dan melaporkan kejadian itu pada Rasulullah SAW, lalu dibalas Baginda, “itulah Al-Uzza.”

*Gambar patung kurun ke-2 Masihi dari Hatra, Iraq memaparkan tiga dewi utama sembahan Arab Jahiliyah – Al-Lat yang diapit Manat dan Al-Uzza.
Sumber: Al- Arabiya, Britannica

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *