Pada tahun 1880, sebuah perahu layar telah berlepas dari Kuala Selangor menyusur Selat Melaka menuju ke utara, seterusnya membelok ke muara Sungai Bernam dan mudik mengikut tiupan sang bayu yang nyaman. Menjelang senja, perahu layar itu perlahan-perlahan merapati tebing sungai yang berlumpur dengan hasrat untuk berehat sementara menanti hari esok.
Perahu layar itu terdiri daripada satu keluarga seramai tidak lebih 10 orang yang diketuai oleh Raja Abdul Jabit bin Raja Salehuddin dan adik perempuannya yang dikenali sebagai Onyang Embah (Mbah). Mereka ini berketurunan bangsawan dari suku Bugis, Sulawesi dan dikatakan membawa diri kerana berlaku pertelingkahan di kalangan keluarga diraja.
Malam berlalu pagi menjelang tiba, bangunlah mereka bersiar- siar sambil melihat di sekitar kawasan perkhemahan mereka. Ketua mereka Raja Abdul Jabit telah tertarik hati dengan kesuburan dan keindahan kawasan tersebut. Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk menetap di situ. Justeru, tanpa disedari mereka merupakan peneroka awal di kawasan ini.
Kawasan yang mula-mula dibuka oleh mereka ialah kawasan Kampung Baharu Hulu, iaitu kawasan di mana terletaknya pusara Raja Abdul Jabit sekarang yang lebih dikenali dengan panggilan pusara Onyang Anching. Lebih kurang dua puluh (20) rantai dari pusara ini, terdapat pusara adiknya yang dipanggil Onyang Embah (Mbah) iaitu di kawasan tepi Jalan Haji Mahmud yang terletak di pinggir Sungai Bernam. Kawasan ini masih dipelihara dan diketahui oleh penduduk tempatan tetapi keadaannya agak terbiar dan dikelilingi kawasan pokok nipah..
Antara peneroka awal yang membuka Kampung Baharu ini ialah Tuan Haji Mahmud bin Maidin. Terdapat sebatang jalan di kawasan antara Kampung Baharu dan Kampung Tengah yang dinamakan Jalan Haji Mahmud yang mungkin diambil bersempena nama dan jasa beliau.
Pada peringkat awal, peneroka-peneroka kawasan ini melakukan pekerjaan bertanam padi, jagung, kacang serta sayur- sayuran untuk makanan sendiri. Tanaman padi menjadi tanaman utama dalam tempoh lima (5) hingga enam (6) tahun iaitu sementara menunggu pokok kelapa berbuah.
Sebelum Perang Dunia Kedua, iaitu sekitar tahun 1930-an terdapat kira-kira 200 buah pondok pengajian agama di sekitar kawasan masjid Mahmudiah, Kampung Baharu, Sabak Bernam. Namun begitu, pada zaman Jepun oleh kerana para pemuda kampung takut pada kerahan tenaga dan paksaan tentera Jepun, maka pondok-pondok pengajian agama ini telah ditutup.
Bermula dari tahun 1930-an, Kampung Baharu telah dipimpin oleh tiga (3) orang Ketua Kampung atau Sidang iaitu:
(i) Sidang Haji Hassan bin Haji Mat Yassin (1930-an hingga 1947);
(ii) Sidang Mohd. Jannah @ Majannah bin Sabun (1948) hingga 2002); dan 
(iii) Sidang Mokhtar bin Abdul Aziz 
Kampung-kampung lain yang berhampiran dengan Kampung Baharu ialah Kampung Tanjung Jawa (Utara), Kampung Tengah (Barat), Kampung Batu 40 (Selatan) dan Sungai Bernam di sebelah timurnya.
Sumber : Catatan cerita rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *