“Pupuslah anyaman mengkuang di Sabak Bernam jika saya sudah tiada.”

Berulang kali kata-kata tersebut diluahkan anak jati Sungai Panjang, Aminah Naim, 73, sambil tangannya cekap menjahit topi.
Nadanya perlahan seolah-olah membayangkan kegusaran jika seni kraftangan yang sinonim dengan masyarakat Melayu itu terkubur.
Apa tidaknya, ibu tunggal kepada lapan anak itu merupakan satu-satunya individu yang mahir dalam anyaman mengkuang bukan sahaja di kampungnya, malah di seluruh daerah tersebut.
Namun, perjuangan selama hampir 60 tahun mempertahankan seni tradisi itu bakal sampai ke penghujungnya kerana tiada pewaris yang mahu meneruskan legasi tersebut.
Berdasarkan maklumat Tourism Selangor, Aminah merupakan pembuat tunggal anyaman mengkuang di Sabak Bernam sejak beberapa tahun lalu.
Di sebalik usianya yang menjangkau satu abad, warga emas yang mesra disapa ‘mbah’ (nenek) itu masih mempunyai kekuatan melakukan rutinnya termasuk memotong duri pada daun mengkuang di samping menjahit dan menganyam.
Menurutnya, penglibatan dalam seni kraf itu bermula sejak berusia 16 tahun lagi kerana membantu ibunya di samping turut mengikuti kursus anyaman dan memiliki sijil.
Katanya, sebagai generasi kedua, antara produk yang dihasilkan secara kecil-kecilan dari rumah ialah tikar, topi, tudung saji, bakul dan beg tangan.
“Selagi ada kudrat, saya tidak akan akan berhenti menganyam. Kerja ini sudah sebati dengan diri kerana siang malam bersahabat dengan mengkuang yang ditanam di belakang rumah selama puluhan tahun lalu.
“Tradisi di Sungai Panjang, setiap kali ke tanah perkuburan penduduk lazimnya menggunakan tikar mengkuang putih. Kalau saya sudah tiada, siapa yang akan membuatnya kelak?” soalnya ketika ditemui pada program Famtrip Media di Sungai Panjang baru-baru ini.
Sebagai surirumah sepenuh masa berkata, Aminah berkata, hasil jualan mengkuang membantunya menambah pendapatan keluarga di samping membesarkan anak-anak hingga ke menara gading selepas suami meninggal dunia pada 2008.
Malah, katanya, upah yang diraih turut membolehkannya menunaikan ibadah haji di Mekah.
Jelasnya, purata pendapatan hasil jualan produk berkenaan ialah sebanyak RM300 sebulan.
“Banyak jasa mengkuang pada saya sekeluarga terutama selepas kematian suami. Saya tiada sawah padi untuk diusahakan, cuma ada tumbuhan itu sahaja di rumah.
“Walaupun kini aktiviti anyaman sekadar untuk mengisi masa lapang memandangkan anak-anak sudah besar dan bekerja, tetapi saya bersyukur dengan rezeki yang tidak putus-putus diterima,” katanya.

Dalam pada itu, Aminah berkata, punca utama ahli keluarga tidak mengikut jejak langkahnya meneruskan pekerjaan warisan adalah kerana takut tangan luka akibat duri tajam pada daun tumbuhan tersebut.
Katanya, alasan sama turut diberikan dalam kalangan penduduk kampung walaupun acap kali dia menawarkan diri mahu mengajar seni anyaman itu.
“Saya sentiasa mengajak ahli kumpulan marhaban dan orang-orang muda di kampung untuk belajar menganyam tikar serta topi tetapi ditolak mentah-mentah.
“Mereka tidak berminat melakukan kerja yang susah dan berisiko menyebabkan tangan luka, sebaliknya menyerahkan kepada saya seorang untuk meneruskan aktiviti ini hingga ke akhir hayat.
“Tipulah tidak sedih kerana tiada lagi pewaris selepas ini, tetapi saya perlu terima hakikat yang seni ini sudah sampai di penghujungnya,” ujarnya perlahan.
Walaupun sering dimomok dengan alasan duri, namun Aminah berkata, kedua tangannya tidak pernah luka atau cedera ketika menganyam mengkuang.
“Kata-kata saya dianggap sebagai jenaka kerana mereka tahu daun mengkuang berduri.
“Ada juga yang berseloroh kononnya saya ‘dilindungi’ kerana terlibat dalam pengurusan jenazah di kampung. Kata mereka jenazah takut pada benda-benda berduri,” kongsinya.
Menurut Aminah, upah yang kurang lumayan juga menjadi antara punca orang ramai terutama generasi muda tidak berminat untuk menguasai seni kraftangan itu.

Tambah Aminah, proses menganyam mengkuang sememangnya menuntut kesabaran tinggi dan ketelitian pembuatnya.
Katanya, kedua-dua aspek itu penting bagi menjamin kekemasan dan mutu produk yang dihasilkan.
“Tidak dinafikan pembuatannya rumit dan mengambil masa, tetapi kalau sudah biasa, segalanya akan menjadi mudah.
“Misalnya, dalam tempoh tiga hari saya boleh menyiapkan lima buah topi manakala masa selama seminggu diambil untuk menghasilkan tikar,” katanya.
Menurut Aminah, rutin menganyam mengkuang bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari diikuti pukul 3 hingga 5 petang, setiap hari.
Katanya, proses pertama yang dilakukan ialah membuang duri pada kiri dan kanan daun mengkuang yang mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada kuantiti daun.
Jelasnya, daun itu kemudian dilayur di atas api sabut kelapa yang dibakar sebelum digosok dengan batu.
“Selepas itu, daun perlu dikeringkan dengan dijemur seharian di bawah matahari sebelum digosok semula agar tidak bergulung.
“Proses seterusnya ialah mengambi atau mencantum bahagian-bahagian sebelum proses jahitan dan mencetak bermula,” katanya.
Aminah berkata, antara inovasi yang dilakukan termasuk mewarna topi mengkuang bagi menambah lagi tarikannya.
Katanya, zaman dahulu tiada pendekatan sebegitu dan topi hanya dibiarkan kosong tanpa lakaran corak atau warna.
Menurut Aminah, selain tikar, antara produk yang paling mendapat permintaan tinggi ialah topi terutama pada musim padi masak.
Katanya, topi mengkuang menjadi pilihan petani untuk ke sawah manakala nelayan pula menggunakannya bagi aktiviti memancing serta menjala ikan.
Malah, ujarnya, produk kraf itu turut laris semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) dan Negeri (PRN).
“Sebelum ini semasa PRN Johor diadakan, saya menerima tempahan puluhan topi mengkuang untuk digunakan bagi aktiviti kempen.
“Sebab itulah bekalan topi sentiasa ada kerana tidak mahu menghampakan pelanggan yang menerjah ke rumah di Parit 8 untuk membelinya,” katanya.
Aminah yang merupakan peserta Sungai Panjang Agro Tourism Sdn. Bhd. (SPAT) berkata, topi mengkuang dijual pada harga bermula RM10 bergantung kepada saiz.
Katanya, ketika ini jualan dilakukan dari rumah di samping diletakkan di ruang pameran di Nazbell Cottage.
“Jika dijual di platform dalam talian saya bimbang tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan kerana kerja-kerja menganyam dilakukan seorang tanpa pembantu atau pewaris,” katanya.
Sumber : Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *