Teodoro Obiang Nguema Mbasogo


Presiden paling lama memerintah di dunia ini sekali lagi berjaya mengekalkan tempoh perkhidmatannya untuk penggal keenam, sekali gus bakal meneruskan rejim autoritarian di bawah pimpinannya yang sudah menjangkau lebih empat dekad.

Teodoro Obiang Nguema Mbasogo, 80, meraih hampir 95 peratus undi pada Pilihan Raya Presiden di Equatorial Guinea yang sememangnya keputusan sudah dijangka.
“Keputusan itu membuktikan sokongan masih berpihak kepada kami,” kata Naib Presiden, Teodoro Nguema Obiang Mangue yang juga anak lelakinya yang disebut sebagai calon utama penggantinya.
Pemilihan pada kali ini turut menyaksikan penyertaan calon pembangkang, namun mereka masih gagal untuk merampas tampuk pemerintahan negara Afrika Tengah bekas jajahan Sepanyol tersebut.
Tiada pihak berani mencabar keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 26 November lalu.
“Keputusan Pilihan Raya Umum mengumumkan Mbasogo akan kekal memegang jawatan Presiden untuk tempoh tujuh tahun lagi,” kata ketua suruhanjaya itu, Faustino Ndong Esono Eyang.
Pemimpin tersebut mempunyal cengkaman yang kuat di negara kaya sumber minyak itu dengan kebanyakan ahli keluarganya turut memegang jawatan penting kerajaan.

Anak lelakinya yang eksentrik dikatakan turut menjalani gaya hidup mewah di  Amerika Syarikat (AS) dan Eropah malah mempunyai sarung tangan mahal bertatahkan kristal yang pernah dimiliki ikon pop, Michael Jackson.
“Pilihan raya itu hanya ‘wayang” semata-mata. Sudah tentu beliau akan dilantik semula,” kata Profesor Ana Lucia Sa, pakar dalam bidang politik dan rejim autoritarian Afrika di University Institute of Lisbon. 
Sentimen sama turut disuarakan aktivis Tutu Alicante mewakili 1.45 juta rakyat yang mendakwa mereka yang keluar mengundi hanya melakukan perbuatan yang sia-sia kerana kebebasan bersuara tetap disekat.
“Puak pembangkang juga tiada peluang untuk menggugat kedudukannya. Beliau akan lakukan apa sahaja untuk terus memegang kuasa,” ujarnya dalam nada kesal.
Parti pembangkang di Malabo turut dihalang untuk menzahirkan pendapat mereka berikutan kebanyakan media penyiaran adalah milik pemerintah atau dikawal sekutu mereka.
Gulingkan bapa saudara 
Obiang dilahirkan pada 5 Jun 1942 di bandar Acoacan, daerah Mongomo dan keluarganya adalah daripada suku Esangui.
Ibu bapanya berasal dari Gabon. Selepas kematian ibunya, Obiang bersama sembilan adik-beradiknya yang lain dibesarkan oleh bapa bersama ibu tiri mereka.
Beliau mendapat pendidikan awal di Cardenal Cisneros School Group di Ebebiyin sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pen- tadbiran buruh di La Salle Center (Enrique Nvo Okenve National College) di Bata.
Obiang kemudiannya menyertai Akademi Tentera Am di Zaragoza, Sepanyol dan diberikan pangkat leftenan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengawal Negara, Gabenor Wilayah Bioko dan ketua penjara terkenal, Black Beach.
Presiden pertama Equatorial Guinea, Francisco Macias Nguema yang memerin- tah secara kuku besi merupakan bapa saudaranya, namun digulingkan oleh Obiang menerusi rampasan kuasa yang dilancarkan pada Ogos 1979.
Macias yang mengarahkan pembunuhan beberapa ahli keluarga mereka akhirnya dibicarakan dan dihukum mati oleh skuad penembak.
Pada tahun sama, Obiang dilantik menggantikan bapa saudaranya selepas beliau menjadi calon tunggal untuk bertanding.
Ketika mengambil alih kepimpinan negara itu, Obiang berikrar melakukan beberapa pembaharuan, namun tetap mengekalkan kawalan mutlak pendahulunya.
Beliau turut didakwa mencabuli hak asasi manusia dan melakukan penipuan undi pilihan raya selain terlibat skandal rasuah sepanjang tempoh 43 tahun pemerintahannya.
Pada 2008, wartawan Amerika, Peter Maass pernah menggelar Obiang sebagai diktator paling teruk berbanding bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe.
Tetapi, Obiang cuba membersihkan reputasinya dengan memansuhkan hukuman mati yang turut mendapati pujian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu.
Menerusi wawancara bersama CNN pada 2012, pemimpin veteran itu menegaskan beliau tidak akan pernah berundur ketika disoal sama ada akan melepaskan jawatannya selepas penggal pentadbirannya tamat (2009-2016).
Pada 2010, majalah Forbes pernah menyenaraikan Obiang sebagai salah se- orang pemimpin paling kaya di Afrika dengan nilai kekayaan hampir AS$700 juta (RM3.01 bilion). – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *