Pertempuran Manzikert: Anatolia (Turki Moden) Menjadi Milik Umat Islam
28/11/2020, By : Amir Asyraf Alwi
“Kami bersama-sama dengan pasukan yang sudah kehabisan sumber dan tenaga. Sama ada aku akan mencapai matlamat atau syahid ke Syurga.  Sekiranya aku mati, kamu harus tahu ke mana aku pergi wahai anakku.”
Dalam satu pertempuran yang penting pada abad ke-11, dua kuasa yang berbeza, Byzantium yang dipimpin oleh bangsa Yunani dan Seljuk yang dipimpin oleh bangsa Turki, saling menentang untuk menentukan nasib Timur Tengah dan tanah Anatolia.
Pada 26 Ogos 1071, hampir seribu tahun yang lalu, Sultan Alp Arslan, sultan dinasti Seljuk Muslim, mengalahkan tentera Byzantium yang besar dipimpin oleh Kaisar Romanos IV Diogenes, maharaja empayar Yunani Kristian yang merupakan salah satu kuasa besar dunia bersama dengan Empayar Rom Suci Eropah, pada Pertempuran Malazgirt atau Manzikert.
Pertempuran itu secara signifikan telah membentuk sejarah dunia, meningkatkan konfrontasi bersejarah antara dua entiti yang disebut sebagai Kristian Barat dan Muslim Timur. Berikutan kekalahan di tangan Alp Arslan, negara-negara Kristian Eropah membentuk pakatan untuk menyerang tanah-tanah Muslim di Timur Tengah sebelum melancarkan Perang Salib yang dahsyat pada tahun 1095. Perang Salib berterusan selama hampir dua abad, menghancurkan Timur Tengah.
Dengan kemenangan Pertempuran Manzikert, di Manzikert, sebuah bandar di timur Turki hari ini, orang Turki mendapat akses penting ke wilayah Anatolia yang dihuni majoriti kaum Kristian ketika itu, di mana kemudian pengaruh Islam dan budaya Turki tersebar secara berperingkat di bawah pemerintahan Turki yang berturut-turut. Seljuk Agung berterusan memperoleh wilayah dan terus bergerak menuju Konstantinopel, ibu kota Empayar Rom Timur atau Byzantium.

Sebuah kerajaan kecil atau kerajaan kota, iaitu Uthmaniyyah yang ditempatkan di Anatolia barat oleh pemerintah Seljuk di semenanjung tersebut (Kesultanan Rum) pada abad ke-13, kemudiannya akan merdeka daripada Seljuk dan bangkit menjadi kuasa besar yang menakluki Balkan dan sebahagian besar Timur Tengah, mewujudkan dominasi politik dan ketenteraan di Laut Mediteranian dan Laut Hitam.
Anatolia: Tanah Air Baharu Bangsa Turki
Kemenangan itu memungkinkan orang Turkmen, yang merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan orang-orang Turki Muslim yang kebanyakannya datang dari suku-suku cabang keturunan Turki Oghuz, untuk mendirikan sebuah negara persendirian, cabang Seljuk di Anatolia, dan berkembang dari dataran timur Anatolia ke pesisir baratnya. Seljuk Agung asalnya berpusat di Tehran, Iran hari ini.
Pertempuran itu juga membuka jalan kepada percampuran budaya dan politik antara orang Turki Muslim yang dari Seljuk dan penduduk Anatolia yang majoritinya beragama Kristian, yang membawa kepada kemunculan sebuah negara Turkmen yang kuat dan teratur di tengah-tengah semenanjung Anatolia.
Pertempuran ini juga menandakan titik permulaan terpenting dalam kemaraan dan penaklukan orang Turkmen di seluruh Semenanjung Balkan, Hungary, Syria, Mesir, Iraq, seluruh Afrika Utara dan Lembangan Laut Hitam, mewujudkan sebuah kerajaan terbesar dan paling berterusan di dunia (Empayar Uthmaniyyah) selepas Empayar Rom. Dan kesinambungan itu masih kekal diteruskan oleh Republik Turki hingga saat ini.
Tetapi, menurut sejarawan Turki, pertempuran ini juga membawa kepentingan khusus dalam sejarah Islam di luar implikasi pertempuran dan kesan daripada sejarah Turki.
Peralihan kuasa kepada Turki Seljuk di Anatolia harus dianggap sebagai salah satu perkembangan sejarah Timur Tengah yang paling luar biasa, pendapat ini turut diakui oleh seorang tokoh sejarawan Turki, Andrew Peacock, seorang profesor sejarah di Universiti St. Andrews melalui bukunya, Early Seljuq History, A New Interpretation.
Empayar Byzantium, yang memperoleh kemenangan berturut-turut melawan dua kuasa besar iaitu Empayar Sasanid, sebuah dinasti Parsi yang kuat di seluruh Iran dan Asia Tengah, dan Arab Muslim (sebelum ditewaskan Khalifah Rashidun dalam Pertempuran Yarmuk) akhirnya telah dikalahkan oleh bangsa Turki dalam masa sepuluh tahun antara 1071 dan 1081, mereka hanya mampu mempertahankan beberapa pelabuhan di seberang pantai Anatolia.
Kemenangan Muslim
Sejarawan Islam kuno beranggapan bahawa kemenangan dalam Pertempuran Manzikert yang membuka tanah Anatolia untuk kemasukan para penghijrah Muslim, serupa dengan Pertempuran Yarmuk dan al-Qadisiyyah, dimana ia menjadi landasan kemenangan umat Islam di Wilayah Asia dan Mediterranean pada abad ke-7.
Pertempuran Yarmuk, yang dimenangi oleh tentera Khalifah Rashidun melawan pasukan Empayar Rom Timur pada tahun 636, menandakan permulaan kepada kejatuhan pemerintahan Byzantium di Timur Tengah, terutamanya di Syria dan Palestin.
Dalam Pertempuran al Qadisiyyah pula, yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang sama dengan Pertempuran Yarmuk, iaitu empat tahun setelah wafatnya Nabi Muhammad S.A.W., pasukan tentera Muslim berjaya mengalahkan tentera besar Empayar Sassanid.
Pertempuran Yarmuk
Kedua-dua pertempuran itu menandakan kemenangan Muslim yang tidak dijangka terhadap pasukan terkuat kuasa besar dunia yang ada pada masa itu, iaitu Rom dan Sassanid.
Kemenangan Turki di Pertempuran Manzikert juga agak tidak dijangka oleh para pemerintah Empayar Byzantium yang sombong kerana menolak untuk berdamai dengan Seljuk ketika Alp Arslan dilaporkan mengirim utusannya untuk membuka ruang perdamaian.
Hampir satu abad kemudian, senario itu berulang lagi apabila tawaran damai dari pemerintah Seljuk Anatolia, Kilij Arslan II, ditolak oleh pemerintah Byzantium. Pada tahun 1176, dalam Pertempuran Myriokephalon, tentera Byzantium sekali lagi dimusnahkan oleh Seljuk, mengakhiri segala impian mereka yang mahu mengusir orang Turki dari lanskap Anatolia.
Empayar Byzantium yang maju itu merupakan hasil percampuran budaya Yunani kuno dan kebijaksanaan politik Rom, mereka percaya bahawa jika orang Turki nomad (Seljuk) menuntut perdamaian, itu bermakna bangsa Turki sedang lemah dan mereka sepatutnya menghapuskan terus bangsa Turki memandangkan kesempatan sebegitu rupa tidak akan muncul setiap hari.
Tetapi Alp Arslan, boleh dikatakan salah seorang panglima perang Turki yang terbaik sepanjang sejarah Turki, dan seorang lelaki dengan kekuatan yang diibaratkan mampu ‘mencairkan’ besi, juga bukanlah satu sasaran yang hanya akan duduk di atas singgahsananya semata-mata, sudah tentu Alp Arslan akan bangun mengetuai tenteranya dan melawan.
Sebelum menghadapi tentera Diogenes secara langsung dalam Pertempuran Manzikert, Alp Arslan dan para panglimanya yang sangat setia dan berkarisma tinggi berjaya menembusi pusat Byzantium di Anatolia, menundukkan istana wilayah dan pengawal tentera kerajaan tanpa henti.
Menjelang Pertempuran Manzikert, Alp Arslan juga berjaya melemahkan dua sekutu Kristian dari wilayah utama Empayar Byzantium, iaitu Armenia dan Georgia, dalam beberapa pertempuran berturut-turut di Kaukasia dan Anatolia timur, Alp Arslan kemudian bersekutu dengan tentera Marwanid dari dinasti Kurdish Muslim pada masa itu.
Marwanid telah memberikan sekurang-kurangnya 10,000 tentera sukarelawan kepada tentera Alp Arslan, ini menjadi salah satu tanda-tanda awal pakatan Turki-Kurdish yang jarang disebut dalam sejarah di mana mereka berganding bahu menentang Empayar Byzantium dan kuasa besar Kristian yang lain. Lokasi pertempuran melibatkan mereka juga sama sekali bukanlah suatu kebetulan.
Siapa sangka, Manzikert, yang kini merupakan sebuah daerah di provinsi Mus di timur Turki, berhampiran dengan Ahlat, sebuah bandar strategik di barat laut Tasik Van di Anatolia timur, sebenarnya pernah menjadi markas tentera barat pasukan penyerang Alp Arslan selama bertahun-tahun.
Romanos Diogenes dan para panglimanya sangat percaya bahawa untuk menghilangkan ancaman Turki di Anatolia, mereka perlu menghancurkan kekuatan ketenteraan Turki di Ahlat dan Anatolia timur. Akibatnya, Diogenes mara dari Konstantinopel ke Ahlat dan Manzikert untuk menghadapi tentera Seljuk dalam satu rombongan yang besar.
Sebaliknya, Alp Arslan selaku pemerintah tentera nomadik dan ahli politik pintar yang melantik Nizam al-Mulk, seorang pemikir politik Parsi Sunni Muslim terkemuka, sebagai wazirnya, berarak kembali dari Damsyik meninggalkan kempennya di Syria menuju ke arah Ahlat, memahami bahawa pertempuran itu mungkin tidak dapat dielakkan.
Jauh sebelum itu, khalifah Abbasiyah di Baghdad memerintahkan agar doa meminta kemenangan Alp Arslan supaya dibaca di masjid-masjid di seluruh dunia Islam.
“Ya Allah! Naikkan bendera Islam dan jangan tinggalkan para mujahidin-Mu, yang tidak teragak-agak untuk mengorbankan nyawa mereka untuk menegakkan kebenaran-Mu. Kurniakanlah Alp Arslan kemenangan menentang musuh-musuhnya dan bantulah tenteranya dengan pertolongan para malaikat-Mu.”
Walaupun terdapat dakwaan perkiraan yang berbeza mengenai jumlah kekuatan kedua-dua pasukan, hampir ada kesepakatan majoriti bahawa tentera Byzantium dua kali lebih besar daripada tentera Seljuk, ini termasuk tentera upahan dari Perancis, Jerman, Norman dan Skandinavia yang membantu pasukan utamanya. 
Tepat sebelum pertempuran dimulakan, Alp Arslan menasihati tenteranya dalam satu khutbah terbuka untuk mencalonkan puteranya, Malik Shah I, sebagai sultan Seljuk berikutnya bagi mencegah kemungkinan berlakunya kekacauan politik sekiranya baginda syahid dalam pertempuran itu. Alp Arslan membalut badannya dan tenteranya dengan kain putih, yang menjadi simbolik bahawa tentera Muslim tidak takut dan telah bersedia untuk mati dalam menghadapi pertempuran itu.
“Wahai para pejuangku! Sekiranya aku ditakdirkan syahid, kain putih inilah yang akan menjadi kain kafanku!”
Bertentangan dengan segala jangkaan dan harapan Romanus Diogenes dan Alp Arslan, pertempuran itu berakhir dengan kemenangan yang besar bagi pihak Turki Seljuk. Dalam peristiwa bersejarah ini, bahkan maharaja Byzantium itu juga telah dipenjarakan oleh pihak Seljuk.
Kemenangan itu disambut dengan penuh kegembiraan dan semangat di seluruh dunia Islam, termasuk Baghdad, ibu kota Khilafah Abbasiyah.
Menurut sejarawan Turki, Osman Turan dalam bukunya, The History of Seljuks and The Turkish-Islamic Civilization. “Seluruh kota Baghdad dihiasi dengan hiasan yang tidak pernah disaksikan selama beberapa dekad, mereka membina ‘tugu kemenangan’. Muzik dimainkan seiring dengan orang ramai memenuhi jalanan di kota untuk meraikan kemenangan itu.”
Hasil dari kemenangan yang luar biasa itu, untuk pertama kalinya dalam sejarah dunia, seorang maharaja Rom telah ditawan oleh tentera Muslim. Bahkan kejadian ini menjadi bukti sifat toleransi dan belas kasihan orang Islam yang tidak memberikan hukuman yang berat terhadap pemerintah kafir.
Sebelum Alp Arslan membebaskan Kaisar Romanus, baginda telah membuat rundingan damai dengan syarat, wilayah Antioch, Edessa, Hierapolis, dan Manzikert harus diserahkan kepada Seljuk bersama-sama dengan bayaran sebanyak 1.5 milion keping syiling emas dan bayaran tahunan sebanyak 360,000 keping syiling emas sebagai wang tebusan untuk membebaskan Romanus.
Kemenangan ini tidak terhenti setakat di Manzikert sahaja, walaupun selepas itu Empayar Seljuk tewas di tangan Empayar Mongol dalam Pertempuran Köse Dag yang menyebabkan munculnya Kesultanan Rum hingga Seljuk terpaksa menjadi kerajaan boneka Mongol, manfaat yang ditinggalkan Alp Arslan untuk generasi seterusnya telah mempermudahkan kebangkitan Empayar Uthmaniyah.
Di mana kemudiannya Uthmaniyah berjaya menakluk kota Konstantinopel, sekaligus mengakhiri zaman kegemilangan Empayar Byzantium yang dianggap sebagai kejatuhan legasi Rom sepenuhnya. Hingga hari ini pada setiap bulan Ogos, bangsa Turki dari pelbagai negara akan meraikan hari perayaan bersempena kejayaan Sultan Alp Arslan menewaskan Byzantiun dalam pertempuran ini.
Tugu Sultan Alp Arslan di Manzikert, Wilayah Mus

Orang ramai menghadiri perayaan ulang tahun Pertempuran Malazgirt (Manzikert) di lokasi di mana pertempuran berlaku pada tahun 1071, di timur Mus, Turki, 26 Ogos 2019.

Bagi mengakhiri artikel ini, penulis menutup penulisan dengan satu dialog di antara Alp Arslan dengan Romanus IV Diogenes yang sangat sinonim dalam sejarah selepas tentera Seljuk menewaskan tentera Byzantium:
Alp Arslan: “Apa yang akan kau akan lakukan sekiranya pada saat ini, aku yang kalah dan dibawa menghadap kamu sebagai tahanan perang?”
Romanus: “Mungkin aku akan membunuh kamu, atau mengheret kamu untuk diarak sebagai tayangan di jalanan kota Konstantinopel.”
Alp Arslan: “Hukuman aku jauh lebih berat. Aku akan memaafkan kamu, dan membebaskan kamu.”
RUJUKAN:
Turan, O. (1977). Anatolia in the period of the Seljuks and the Beyliks. The Cambridge History of Islam. Cambridge University Press.
Turan, O. (1965). The History of Seljuks and The Turkish-Islamic Civilization. Turkish Culture Research Institute.
Sumber : thepatriots

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *