Tanggal 13 Ramadan tahun 15 Hijrah yang lalu, dipercayai tarikh Saidina Umar al-Khattab RA memasuki Baitulmaqdis buat kali pertama.
Selepas berjaya menakluk Syria, tentera Islam meneruskan kemaraan ke Baitulmaqdis yang ditadbir oleh kuasa Byzantine lalu mengepungnya. Selepas 4 bulan, akhirnya Byzantine menyerah kalah tanpa sebarang pertumpahan darah.
Bagaimanapun, Sophonius, wakil kerajaan Byzantine dan pemimpin Gereja Kristian Baitulmaqdis tidak mahu menyerahkan kunci kota kepada tentera Islam di situ melainkan ke tangan khalifahnya, Umar RA sendiri.
Para pemimpin angkatan Islam melihat permintaan ini sesuatu yang sukar, memandangkan jarak antara Baitulmaqdis dengan Madinah yang begitu jauh. Namun mengambil kira kepentingan kota itu, Saidina Umar RA bersetuju untuk menurutinya.
Maka beliau berangkat ke Baitulmaqdis tanpa rombongan besar, hanya bersama seorang khadam dan seekor unta. Sepanjang perjalanan kira-kira 919 km itu, beliau dan khadamnya saling bergilir menunggang unta serta berjalan kaki.
Beliau juga hanya memakai pakaian biasa seperti khadamnya. Kesederhanaan itu mengagumkan warga Baitulmaqdis tatkala beliau tiba di kota itu dan disambut oleh Sophonius.
Saidina Umar RA dibawa melawat sekitar kota termasuk Gereja Makam Suci tempat dikatakan Nabi Isa AS disalib. Setibanya waktu solat, Sophonius menjemput Saidina Umar RA bersolat di dalam gereja itu namun beliau menolak.
Ini kerana kata Saidina Umar RA andai beliau berbuat demikian, umat Islam akan menuntut tempat itu sebagai milik mereka dan menjadikannya masjid. Maka beliau bersolat di luar gereja dan ruang tersebut kemudian didirikan Masjid Umar.
Beliau juga meminta dibawa ke batu suci 3 agama di mana lokasi dipercayai Rasulullah SAW diangkat ke langit semasa Isra’ Mikraj. Beliau mengarahkan sekitar kawasan itu dibersihkan dan dibina Masjid al-Aqsa tidak jauh dari situ.
Penaklukan Baitulmaqdis itu menjadi rasmi dengan termeterainya Perjanjian Umar yang menggariskan bahawa semua agama boleh diamalkan di kota itu, asal patuh kepada undang-undang serta membayar cukai.
Selepas 500 pemerintahan tidak adil Empayar Rom di kota itu, akhirnya Islam, Kristian dan Yahudi dapat hidup aman bersama di Baitulmaqdis.