Mohd Halmi Kg Gajah

Sempadan negeri Perak- Reman telah ditetapkan ketika pemerintah Sultan Mansor Shah (1549-1577) yang bersemayam di Kota Lama Kanan. Baginda menetapkan sempadan dari Tapong membawa ke Padang Limau Nipis yang berhampiran Sungai Pattani. Sempadan ini telah diakui oleh Raja Pattani.

Mengikut catatan seorang pengembara Inggeris, John Smith pada tahun (1600-1605 masihi) , Ratu Hijau,( pememerintah Pattani) mendapat maklumat Putera Reman tidak mahu lagi bernaung di bawah kekuasaan Pattani, tetapi mereka mahu menjadi naungan negeri Perak. John Smith yang dilantik menjadi Dato’ Dagang, bersama Che Alang dan Ketua Puak Semang telah mengambil tindakan menangkap Putera raja Reman dan membawanya menghadap Ratu Hijau.

Kuasa Putera Raja Reman itu telah dilucutkan jawatannya dan dikahwinkan dengan anak Che Alang. Ketua puak Semang telah melantik sepupu Putera Raja Reman sebagai penguasa yang baru. Untuk menstabilkan negeri Reman. Ratu Hijau telah menyiapkan angkatan gabungan Pattani dan Reman untuk memerangi, Perak. Angkatan tersebut berjaya mengalahkan negeri Perak. 

Pada tahun 1810,Tuan Tuk Nik Tok Leh( Kerabat Pattani) telah memberontak dan mengangkat dirinya menjadi Raja Reman, perperangan berlanjutan hingga Siam campur tangan dan melantik secara rasmi Tuan Tuk Nik Tok Leh menjadi Raja Reman. 

Telah berlaku perperangan kali kedua antara Perak -Reman pada masa pemerintahan Sultan Abdullah Muazam Shah 1824-1830, kerana Reman telah meceroboh Kilan Intan yang kaya dengan bjih timah. Baginda telah menghantar adiknya, Raja Andak dan suaminya Dato’ Seri Lela yang berasal dari Kroh, tentera Reman dapat dikalahkan dan berundur dari Klian Intan.

Raja Reman tidak berpuas hati, terhadap kekalahan tersebut dan mendengar pula kejelitaan Raja Andak. Beliau telah menggunakan ‘muslihat percintaan’ yang menyebabkan Dato Seri Lela terbunuh  ketika berkelah di sebuah anak sungai. Kematian Dato’ Seri Lela menyebabkan mereka berjaya menawan Klian Intan, Kroh dan Kubu Kapeh. Kuala kepayang masih menjadi kubu tentera Perak.

Pada tahun 1838, Tok Nang Sikuat yang merupakan pemerintah Klian Intan dan Kubu Kapeh telah menjemput Raja Sahid (panglima Perak di Kuala Kepayang) berkahwin dan tinggal bersamanya di Kubu Kapeh. Perbuatan ini membuatkan Raja Reman murka terhadap Tok Nang Sikuat, dan berjaya membunuh Raja Sahid dengan muslihat, apabila keluar dari kubunya.Reman dapat menguasai Hulu Perak selama sepuluh tahun selepas kematian Raja Sahid.

Pada tahun 1852, Sultan Abdullah Muhammad Shah telah menghantar tentera Perak, untuk merebut Hulu Perak kembali. Apabila mengetahui, perkara ini Tok Nang Sikuat melantik Mengkong Daleha sebagai panglima Reman.

Dalam pertempuran pertama tentera Perak telah kalah di Lepang Nenering. Dua tahun kemudian tentera Perak menyerang lagi, diketuai oleh keturunan Syed, Syed Abdullah dan tenteranya telah bertempur di Kuala Kwa. Kubu Reman didirikan merintangi kawasan lembah yang sempit. Pasukan Reman berkawal dilereng bukit. Apabila hampir kalah, Mengkung Daleha mengarahkan tentera Reman yang berkawal di lereng bukit menyerang pasukan Perak, yang menyebabkan ramai lari dan terbunuh.

Mengkung Daleha, tidak berpuas hati, dan mengejar hingga ke Temelung (kubu tentera Perak) dan berjaya mencuri ubat bedil. Apabila mendapat tahu, tentera Reman menceroboh, mereka kebanyakannya telah dibunuh oleh tentera Perak. Tetapi Mengkong Daleha yang cedera parah telah berjaya menyelamatkan diri dan kembali ke Hulu Perak dan disambut oleh Tok Nang Sikuat.

Sejak itu Hulu Perak dikuasai oleh Reman. Untuk menyekat kemaraan Reman. Kerajaan Perak telah membuat perundingan dengan Siam melalui perantaraan Kedah. Maka pada 1882 telah ditetapkan sempadan  Perak dan Reman di Bukit Nasah (antara Kenayat dan Tawai) . Perak hanya benar-benar menguasai Hulu Perak pada 16 Julai 1909 apabila Perjanjian Inggeris-Siam termetrai, maka secara rasminya Hulu Perak diserahkan kembali oleh Siam kepada Perak.

Sumber: Tok Muda Raja Razman, Tok Muda Haji Meor Shamsuddin dan Hussain bin Mahmud, Hulu Perak Dalam Sejarah, 1963.  FB Saudara Wan Amir Langgar Buruk, The Adventures of  John Smith in Malaya 1600-1605, A. Hale.  Histourism – History & Tourism

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *