Sejarah panjang pembangunan sektor penanaman padi di Sabak Bernam sehingga diakui kawasan penanaman padi terbaik di Malaysia tidak boleh sama sekali menafikan dibantu dengan kewujudan infranstruktur pengairan yang baik dan sistematik.
Sebut sahaja nama Omar Bakey bin Abdul Wahab, generasi hari ini hanya menggelengkan kepala kerana kurangnya pengkisahan sejarah sosok penting ini kepada kemajuan sistem pengairan di Daerah Sabak Bernam.
Bagi mereka yang mengenali Omar Bakey, mengakui beliau sememangnya seorang yang “Low Profile” sungguhpun jasa dan baktinya kepada Daerah ini sangat penting untuk dicatatkan didalam lembaran sejarah.
Berdasarkan penceritaan daripada saudara Ronny Linoby yang merupakan anak lelaki kepada Omar Bakey, menceritakan perihal ayahnya yang lahir di Beruas, Perak pernah menjawat jawatan sebagai Majistret di Mahkamah Juvenile di Daerah Sabak Bernam sekitar tahun 1970an.
Beliau seorang penjawat awam yang tegas dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan dan tidak pernah melibatkan diri dalam soal politik kepartian yang boleh menjejaskan integritinya sebagai penjawat awam.
Selain pernah menjawat jawatan sebagai Majistret, Omar Bakey juga pernah memikul amanah sebagai “Chief Drainage and Irrigation Inspector ” Jabatan Pengairan dan Tali Air (JPT) yang kini dikenali sebagai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Jawatan yang disandang oleh beliau ini sepertinya Jurutera Daerah yang bertanggungjawab kepada sistem pengairan dan peparitan di Daerah Sabak Bernam.
Tinta sejarah Daerah Sabak Bernam mencoretkan nama Omar Bakey sebagai individu yang pertama dan terawal bertanggungjawab menyelia pengairan kawasan sawah padi dari Sekinchan sehingga ke Sabak bersama sahabat beliau Encik Jamil yang ditugaskan menyelia di kawasan Tanjung Karang.
Mereka berdua melaksanakan tugas dibawah penyeliaan dan pemantauan JPT Selangor yang ketika itu diketuai oleh SM Gunting seorang yang berketurunan India Serani.
Setelah bersara sebagai penjawat awam, Omar Bakey tidak hanya berehat di rumah seperti kebiasaan seorang pesara namun meneruskan khidmat bakti beliau kepada masyarakat di Daerah Sabak Bernam sebagai Ketua Unit Kutipan Zakat di Pekan Sungai Besar.
Sebagai mengenang curahan jasa dan bakti, nama Omar Bakey bin Abdul Wahab turut tersenarai menerima Darjah Kebesaran Ahli Mangku Negara yang disampaikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke tiga almarhum Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni almarhum Syed Hassan Jamalulail. Beliau menerima darjah kebesaran ini bersama dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam majlis istiadat pengurniaan yang sama.
Rumah bekas “Resthouse” J.P.T yang di hadiahkan kepada Omar Bakey. Lokasi asal depan stesen bas Pekan Sungai Besar hari ini
Omar Bakey paling kanan (duduk). Turut bersama Dato Taiban Hassan, lima dari kanan (duduk) dan Dato Ghazali Kantan dua dari kiri (duduk).
Omar Bakey telah mendirikan rumah tangga bersama Rosezelind Binti Dool iaitu kakak kepada Noraini binti Dool (Isteri Dato Haji Lope Salleh) dan dikurniakan enam orang anak.
Nota : Terima kasih kepada tuan Ronny Linoby di atas perkongsian sejarah pengkisahan hidup Omar Bakey bin Abdul Wahab