1. Dunia dikejutkan dengan kemaraan Taliban yang kembali menguasai majoriti wilayah Afghanistan, 20 tahun selepas ia dikalahkan Amerika susulan serangan World Trade Center pada 11 September 2001 (Peristiwa 9/11).

2. Kenapa Amerika berundur membiarkan Afghanistan jatuh ke tangan Taliban? Apa beza Taliban, Al-Qaeda, dan Daesh/ISIS? Kenapa Amerika tidak terus menggunakan serangan dron untuk hapuskan atau sekat kemaraan Taliban? Jawapannya kerana percaturan Amerika untuk menghalang peluasan geoekonomi China di Selatan Asia Tengah, serta mengalihkan sumber mereka untuk mengimbangi Belt and Road Initiative China, di samping pemodenan tentera Amerika untuk mengimbangi Beijing di Laut China Selatan.

3. Taliban atau dalam Bahasa Pashtun bermaksud ‘pelajar’ sebenarnya berasal daripada kumpulan pelajar agama Afghan aliran Deobandi yang menuntut di Pakistan pasca-penjajahan Kesatuan Soviet di Afghanistan.

4. Selepas Kesatuan Soviet berundur daripada Afghanistan pada 1989, pengasas Taliban iaitu Mullah Omar tidak berpuas hati dengan kerajaan Afghanistan ketika itu yang tidak melaksanakan undang-undang Syariah, di samping kadar rasuah yang terlalu teruk.

5. Taliban berbeza dengan Al-Qaeda dan Daesh/ISIS; meski pun ketiga-tiga gerakan ini mengikuti mazhab Sunni dan bercita-cita menegakkan undang-undang Syariah, namun pendekatan mereka jauh berbeza.

6. Jika Taliban berpegang pada aliran Deobandi yang menekankan doktrin taqlid dan sebahagian besar mengikuti Mazhab Hanafi, Al-Qaeda yang diasaskan Osama Bin Laden berpegang kepada Wahhabisme serta kaedah kekerasan untuk memerangi Barat (antaranya didakwa mendalangi serangan 11/9). 

7. Daesh/ISIS pula berpegang pada Wahhabi-Salafis yang lebih kuat menegaskan agenda takfiri iaitu menghukum sesiapa yang berbeza pandangan dengan mereka (terutama orang Islam sendiri) sebagai kafir dan halal untuk dibunuh.

8. Pengikut Taliban yang dianggarkan sekitar 100 ribu orang adalah jauh lebih besar berbanding pengikut Al-Qaeda dan ISIS kerana sejarah panjangnya yang pernah berkuasa selama lima tahun di Afghanistan (1996-2001) serta kedudukan geografi bergunung-ganang yang memudahkan pemimpin mereka untuk berlindung.

9. Seperti mana dua faktor penting yang mengakibatkan Taliban menguasai Afghanistan pada tahun 1996 – sokongan rakyat Afghan yang muak dengan kadar rasuah serta ketiadaan penerapan undang-undang Syariah oleh kerajaan Afghan – begitu keadaan hari ini di mana Special Inspector General for Afghanistan Reconstruction’s pada 2020 yang melaporkan sekitar RM80 bilion wang rakyat telah diseleweng kerajaan Afghanistan. 

10. Namun begitu, situasi hari jauh berbeza dengan situasi 20 tahun lalu; Amerika bukan sahaja memiliki kekuatan ketenteraan yang paling berkuasa di dunia melalui teknologi dron yang boleh membunuh musuh dari jauh, menguasai segenap teknologi satelit dan komunikasi, serta juga sistem kewangan antarabangsa.

11. Lalu mengapa Amerika seolah-olah tidak bersungguh-sungguh menggunakan teknologi dron untuk menghalang kemaraan Taliban? Kenapa Amerika tidak memintas segala komunikasi dan koordinasi Taliban? Dari mana Taliban mudah mengakses senjata dengan cukup banyak dalam masa yang singkat hingga ke tahap mengalahkan tentera profesional Afghanistan yang dilatih selama 20 tahun oleh Amerika dan NATO? Perlu diingat, Afghanistan ialah negara yang tidak memiliki sempadan laut atau perairan – ia terkepung sebagai negara daratan dikelilingi Pakistan, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, dan Tajikistan.

12. Realitinya, Amerika lebih daripada mampu untuk menghalang kemaraan Taliban serta membantu kerajaan pimpinan Ashraf Ghani untuk mewujudkan Afghanistan yang stabil; namun begitu, Afganistan yang stabil akan memberi ruang kepada pesaing Amerika iaitu China untuk meluaskan projek geoekonomi Belt and Road Initiative (BRI) mereka.

13. Kemajuan projek China-Pakistan Economic Corridor (CPEC) memberi isyarat bagaimana Afghanistan juga berpotensi mengecap kemajuan serupa sekiranya mereka mampu menstabilkan politik mereka.

14. Paling mencabar bagi Amerika adalah hakikat bahawa pada 2019 Duta China ke Afghanistan Liu Jinsong menegaskan kepentingan strategik Afghanistan kepada BRI China.  Selain projek seperti Amu Darya basin oil project oleh syarikat petroleum terbesar China iaitu China National Petroleum Corporation, serta Aynak copper mine oleh Metallurgical Group Corporation dan Jiangxi Copper Company Limited, pelaburan China di Afghanistan pada tahun 2020 sahaja telah mencecah lebih RM16 juta dalam keadaan pandemik.

15. Amerika sebaliknya bukan sahaja bergelut dengan pemulihan pasca pandemik, bahkan sejak sekian lama menanggung beban Perang Afghanistan (sejak 2001) dan Perang Iraq (sejak 2003) selain komitmen NATO, pangkalan tentera di negara asing, serta pemodenan angkatan tentera laut mereka untuk mengimbangi China di Laut China Selatan.

16. Di bawah Presiden Biden juga, Amerika pada tahun ini telah melancarkan inisiatif ‘Build Back Better World’ (B3W) untuk mengurangkan jurang infrastruktur berjumlah RM160 trilion (USD40 trilion) dengan kerjasama G7 untuk menyaingi inisiatif infrastruktur BRI China. 

17. Maka, seperti mana CIA Amerika menaja Mujahidin Afghanistan dahulu untuk berperang dengan Komunis Soviet, hari ini Amerika seolah-olah membiarkan Taliban mara secara ketenteraan untuk menyahstabilkan Afghanistan sekali gus menghapuskan potensi rancangan geoekonomi China-Pakistan-Afghanistan.

18. Sebagai tindak balas, China telah mengadakan rundingan peringkat tertinggi dengan Taliban secara terus apabila Menteri Luar China Wang Yi menjemput pengasas bersama yang juga Naib Ketua Taliban Mullah Abdul Ghani Baradar bersama lapan lagi wakil Taliban di Tianjin, China pada 28 Julai baru-baru ini. Tindakan China ini berbeza dengan sikap mereka yang tidak mengiktiraf Taliban sama sekali ketika ia menguasai Afghanistan pada 1996-2001 dahulu.

19. Hakikatnya, seluruh dunia sedang menanti dengan penuh debar bagaimana Taliban akan melaksanakan kuasanya di Afghanistan – adakah akan mengulangi dasar menghalang perempuan daripada mendapat pendidikan formal dan bekerja di sektor awam, mengharamkan muzik, serta memencilkan Kabul dari persada antarabangsa seperti era 1996-2001 dahulu? Ataukah Taliban akan menjalin kerjasama geopolitik dan geoekonomi dengan China dan Pakistan yang berbeza dengan kerajaan tajaan Amerika-NATO sebelum ini? Apa yang pasti, kuasa Barat telah memberi amaran bahawa Afghanistan di bawah Taliban akan dipulau daripada sebarang bantuan ekonomi – isyarat jelas ketidakstabilan bakal berterusan.

Abdul Muein Abadi

Penyelidik PhD Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *