Tok Ayah Haji Hassan @ Pok Long – Murid Terakhir Tok Kenali
Haji Hassan Bin Salleh dilahirkan pada tahun 1912 di Kampung Gong Datuk, 16800, Pasir Puteh, Kelantan. Dalam kad pengenalannya, tertulis tahun lahir 1928, namun katanya beliau daftar kelahiran lewat belasan tahun kerana kesukaran hidup pada waktu itu. Beliau mempunyai dua orang kakak seibu sebapa. 
Pendidikan agamanya diperolehi sekitar Kelantan. Beliau sempat belajar dengan wali Allah Tok Kenali selama beberapa bulan sebelum Tok Kenali meninggal dunia. Katanya lagi, beliau masih ingat keadaan Tok Kenali mengajar dan bagaimana khadam-khadam Tok Kenali berkhidmat dengan Tok Kenali. Pada awalnya, beliau pergi ke pondok Tok Kenali lalu berjumpa Tok Kenali untuk menyatakan hasratnya belajar ilmu Sufi. Namun Tok Kenali menyuruhnya balik. Lama kelamaan barulah beliau tahu bukan ilmu Sufi yang sebenarnya tetapi ilmu Tasawuf. Selepas itu baru beliau diterima belajar oleh Tok Kenali. Pok Long cerita juga dihari meninggalnya Tok Kenali, orang yang menziarahi jenazahnya sangat ramai, ribuan. Tak putus-putus orang mengaji di kubur Tok Kenali.

Tok Ayah Haji Hassan

Selepas Tok Kenali meninggal dunia, beliau berpindah duduk di Bachok dan dalam kesempatan itu beliau belajar dengan wali Allah Tok Bachok dalam 3 atau 4 tahun. Di situ beliau bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Zain Kemudi (anak Tok Bachok).
Setelah itu, beliau pulang ke kampung halaman lalu menyambung pula pengajian dengan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Pondok Gaal selama beberapa tahun. Di sini beliau belajar dan berkhidmat dengan Tok Guru. Tambahan beliau tadi, beliau juga sempat bertemu dengan wali Allah Tok Selehor.
Habis belajar di pondok, Pok Long mencari rezeki dengan membuka kedai gunting rambut di Kampung Gong Datuk sehingga usianya lanjut.

Tok Ayah @ Pok Long yang kini berusia 110 tahun masih dikurniakan Allah Taala kesihatan yang baik, mata yang masih boleh melihat, telinga yang jelas pendengaran serta ingatan yang masih kuat.
Antara pesanan beliau:
1. Ngaji buat mudah jangan buat susah, manfaatkan waktu muda
2. Solat jangan tinggal walau susah macam mana sekalipun
Beliau adalah murid terakhir kepada Tok Kenali yang masih ada. Walaupun beliau bukan seorang tok guru yang membuka pondok atau mengajar, tapi berkatnya mengaji dengan Tok Kenali dan Tok Bachok masih ada. Dan mudah-mudahan asbab keberkatan tersebut, kita peroleh manfaat. InsyaAllah.
– Tengku Yusuff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *