Penghijrahan rumpun Melayu dari Kepulauan Jawa ke Tanah Melayu seperti dari wilayah lain di Nusantara menyatukan pelbagai budaya, bahasa, dialek dan tradisi di negara ini yang sebenarnya berlaku sebelum abad ke-15 atau Kesultanan Melayu Melaka yang berlanjutan sehingga pemerintahan kolonial Inggeris.

Dalam konteks jalinan hubungan keturunan Jawa daripada dua negara itu, ia dapat dikesan melalui pelbagai penemuan antaranya kitab agama seperti naskhah Tarjamah Sabil Al-‘Abid ‘Ala Jawharah Al-Tawhil nukilan Kyai Haji Muhammad Salih ‘Umar Samarani yang diterjemahkan ke bahasa Jawa pada akhir abad ke-19.

Katanya, walaupun karya berkenaan ialah kitab agama yang memfokuskan kepada ilmu tauhid, kehadirannya sangat signifikan kerana dijadikan teks pembelajaran akidah Islam dalam masyarakat Jawa sehingga era 1980-an di Sabak Bernam.

“Oleh sebab penduduk Jawa yang berhijrah ketika itu kebanyakannya Islam, dipercayai kitab ini antara yang dibawa bersama ke Semenanjung Tanah Melayu khususnya golongan santri atau orang muda yang belajar di sekolah pondok.

“Kelompok santri yang berhijrah ini berusaha menarik saudara dan rakan untuk menghayati ajaran Islam termasuk melalui pendidikan yang antara lain menggunakan teks ini,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara utama yang turut dilakukan selepas menjejakkan kaki ke Tanah Melayu ialah mendirikan surau untuk mendidik masyarakat mengenai ajaran Islam.

“Kitab yang menggunakan tulisan pegon atau tulisan Arab berbahasa Jawa itu, dijadikan teks pengajaran dalam masyarakat Jawa.

“Bagaimanapun, tidak ramai dalam kalangan masyarakat Jawa masa kini yang mengetahui kewujudannya terutama generasi muda,” katanya.

Mohd Taufik Arridzo melakukan kajian terhadap kitab itu menerusi versi yang dijumpai di Sabak Bernam yang dipercayai diterbitkan antara tahun 1950 hingga 1960an dan dicetak dalam bentuk litografi.

Mohd Taufik Arridzo 

Beliau yang menggunakan kaedah filologi, iaitu menerusi transliterasi dan penyuntingan teks dalam kajian berkenaan berkata, kitab yang dikarang di Semarang, Indonesia itu berkemungkinan turut tersebar ke Tanah Melayu atas faktor perubahan sosio politik, ekonomi dan perkembangan agama Islam.

Berbicara mengenai kitab itu, Mohd Taufik Arridzo berkata, ia mempunyai beberapa versi berbeza dan dikatakan edisi terawal diterbitkan oleh penerbit al-Misriyah, Cirebon pada tahun 1896.

Berdasarkan kajiannya juga, antara kampung di daerah Sabak Bernam yang paling ramai didiami keturunan Jawa adalah Kampung Batu 37 Darat, Kampung Banting dan Kampung Tebuk Jawa.

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat keturunan Jawa hari ini di Sabak Bernam adalah generasi ketiga dan keempat yang kebanyakannya sudah tidak boleh bertutur bahasa Jawa dengan baik.

“Majoriti orang Jawa di Sabak Bernam datang dari Jawa Tengah sehingga 76 peratus etnik Melayu di daerah ini pada masa kini adalah berketurunan Jawa.

“Mereka dipercayai datang beramai-ramai ke Tanah Melayu ketika penjajahan Inggeris dengan membuka kawasan baharu dan bergiat dalam penanaman kelapa dan bersawah.

“Malangnya, sehingga kini tidak ada kajian atau data rasmi bagi menunjukkan perangkaan sebenar jumlah setiap keturunan di Sabak Bernam termasuk ras Jawa, Banjar, Bugis, Kampar dan Melayu,” katanya.

Mohd Taufik Arridzo turut memberitahu beliau dalam proses menterjemahkan naskhah berkenaan ke dalam bahasa Melayu kerana ia antara sumber ilmu terawal masyarakat Islam di Sabak Bernam dan banyak mempengaruhi hidup dan amalan mereka.

Rujukan : Berita Harian 13 Mei 2015

Kitab Tarjamah Sabil al-‘Abid ‘ala Jawharah Al-Tawhid Karangan Kyai Muhammad  Salih bin ‘Umar Semarang: Memperkukuh Pegangan Akidah Islamiyah Masyarakat Keturunan Jawa di Selangor  

Kitab Tarjamah Sabil al-‘Abid sangat memberi  bekas kepada masyarakat Jawa dan keturunan  mereka di Semenanjung Tanah Melayu, khususnya  di daerah Sabak Bernam, Selangor. 

Usaha golongan santri di kalangan mereka mengajar dan menarik masyarakat Jawa lain dengan keyakinan akidah yang betul, iaitu akidah Ahli al- Sunnah wa al-Jama‘ah, telah mengeluarkan mereka dari amalan-amalan yang menyimpang yang pada waktu itu masih dilakukan oleh para sesepuh dan saudara mereka di Pulau Jawa. Kesan mempelajari kitab seperti ini, masyarakat Melayu keturunan Jawa di Sabak Bernam pada hari ini, seingat penulis dari zaman kecil hingga sekarang, ritual-ritual memberi sajen pada makhluk halus di sawah atau kebun kelapa, juga ritual sedekah bumi tidak pernah dilakukan. 

Selain itu, usaha berterusan pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri Melayu di Malaysia (juga dikenali Malaya ketika sebelum dan baru merdeka), yang berusaha membasmi kepercayaan-kepercayaan animisme dan dinamisme di kalangan masyarakat Melayu turut sama membantu pengukuhan akidah di kalangan keturunan Jawa di Malaysia umumnya. Sebahagian masyarakat Melayu juga mempunyai amalan dan keyakinan yang menyeleweng dari akidah Islam. 

Banyak juga amalan dan keyakinan yang berasal dari fahaman- fahaman animisme dan dinamisme pada waktu itu masih diamalkan. Sebagai contoh, di kawasan pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu, sebagian mereka masih mempercayai beberapa amalan dan kepercayaan Melayu lama seperti Main Peteri dan Buang Ancak. Ramai kalangan ulama di sana termasuk Tok Ku Paluh yang sezaman dengan Kyai Muḥammad Ṣāliḥ Darat berusaha membasmi amalan tersebut. 

Hari ini pihak berkuasa Agama Islam di negeri-negeri juga banyak membantu menghalang amalan dan keyakinan yang bertentangan dengan Islam, iaitu melalui fatwa-fatwa yang dikeluarkan, juga hukuman kepada pelakunya. Antara contoh fatwa tersebut ialah fatwa amalan Puja Pantai di Pantai Cinta Berahi, Kota Bharu, Kelantan, yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada tahun 1960, fatwa Pengharaman Perbuatan Meletakan Ancak oleh Jawatan kuasa Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Perak pada 9 Mei 2011, dan fatwa Hukum Permainan Kuda Kepang Di Negeri Johor oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 18 Februari 2009. Contoh hukuman yang melakukan bertentangan dengan akidah ialah Enakmen 9 Tahun 1995, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Bahagian II-Kesalahan yang berhubungan Dengan ‘Aqidah Seksyen 4, yaitu “Pemujaan salah”. 

Tindakan penguatkuasaan melalui hukum, juga adalah antara yang ditegaskan oleh Kyai Muhammad Saliḥ Darat di dalam kitab Tarjamah Sabil al-‘Abid, kata beliau: 

Lan sêréhné dèn wajibakên ngrêksa agama maka dadi dèn lakokakên agama Islam jihādu al-kuffār lan dadi wajib matèni wong murtad tinggal agamané, lan wajib malih matèni ing wong kang tinggal ṣalāt zakat pusa. Ana dèné ingkang ngukumakên mêngkono iku Ratu Sharī‘at. 

Terjemahan: Dan adapun diwajibkan menjaga agama maka dibuat agama Islam jihadu al-kuffar, dan jadi wajib bunuh orang murtad meninggalkan agama, dan wajib lagi bunuh kepada orang yang meninggalkan ṣolat, zakat, puasa. Adapun yang berhukum seperti itu Ratu Shariat. 

Dari kerana itu, amalan-amalan yang dianggap bertentangan dengan Islam dapat diusahakan untuk dibuang dari kalangan orang Islam termasuk keturunan Jawa di Malaysia.

Gambar Kyai Muhammad Salih Darat

Gambar makam Kyai Muḥammad Salih Darat di Pemakaman Umum Bergota, Semarang.

Kyai Haji Muhammad Salih bin Umar Samarani dilahirkan pada tahun 1820, di Desa Kedung Jumpleng Kecamatan Mayong Kabupaten Jepara Jawa Tengah. Beliau meninggal dunia di Semarang pada hari Jumaat 28 Ramadan 1321 Hijrah 18 Disember 1903 dan dimakamkan di pemakaman umum Bergota, Semarang. 

Kyai Muhammad Salih Darat memperoleh pendidikan awal daripada ayahnya sendiri. Setelah mendapat pendidikan asas, maka dilanjutkan pengajian agama di beberapa pesantren khususnya di Jawa, dan kemudian di luar Pulau Jawa khususnya di Makkah.

Rujukan : Mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *