Tuan Guru Hussein Soleh

Tokoh Ulama PAS Negeri Kedah, Tuan Guru  Hussein Soleh telah meninggal dunia pada 21 Julai 1997 kerana sakit tua. Allahyarham, merupakan seorang ulama’ aktif bersama PAS secara berterusan dari zaman muda hingga ke akhir hayatnya.

Beliau adalah pengasas kepada Pondok Tuan Guru Haji Hussein yang juga seorang guru yang berpengalaman dan mempunyai ramai murid di seluruh negeri Kedah khasnya.

Hingga akhir hayat, Allahyarham masih lagi memegang jawatan Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah dan Ahli Majlis Zakat Negeri Kedah.

Tuan Guru mendokong perjuangan Islam yang diterajui PAS sejak daripada mula hingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham juga merupakan pengasas Sekolah Menengah Agama Raudhatul Ulum, Fatimah Hasyim di kawasan Padang Terap.

Allahyarham sering mengikuti perkembangan semasa, kerana itu tidak pernah ketinggalan untuk mengikuti perjalanan muktamar tahunan yang diadakan pada setiap tahun.

Mengenangkan jasanya yang besar dalam menggerakkan kebangunan perjuangan lslam di Kedah khasnya, sempena Hari Penerangan PAS Kedah pada tahun 1966, beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Ulama PAS Kedah.

Sebelum majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Muasasah Darul Ulum oleh Presiden PAS pada 17 Julai 1997, Allahyarham sempat membeli tanah wakaf muassasah sebanyak RM10,000.

Beliau dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah oleh Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 1991 dan dikurniakan gelaran Dato’ oleh Sultan Kedah pada tahun 1994.

Allahyarham telah meninggalkan dua balu, Hajah Izzah Syeikh Ismail dan Hajah Darma Haji Ahmad serta 16 anak terdiri dari tujuh lelaki dan selebihnya perempuan, 51 cucu dan seorang cicit.

Solat jenazahnya yang pertama telah diimamkan oleh anak sulungnya, Syeikh Mohamad Haji Hussein dan yang kedua oleh Presiden PAS ketika itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Jenazahnya telah selamat dikebumikan di kawasan perkuburan Pondok Tasak, Langgar.

Sebahagian besar daripada pimpinan PAS Negeri Kedah telah hadir pada hari itu termasuk Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi dan Ahli Majlis Fatwa Negeri.

Bekas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Saudara Sukarno Abdul Hamid adalah anak saudara Tuan Guru, begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Dr Afiffudin Omar juga adalah anak saudaranya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *