Tahun 1999, ayahnda Dato’ Ustaz Taib Azamudden Md Taib – Rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Baling. 
Pada tahun yang sama, ayahnda telah dipinang oleh Almarhum Dato’ Ust Fadzil Noor untuk balik bertanding di dalam PRU ke-10 sebagai calon PAS di Baling, tanah tempat ayahnda lahir dan mengenali kehidupan. 
Sebenarnya, di dalam PRU ke-9 (tahun 1995) lagi ayahnda telah diminta untuk bertanding. Namun pada ketika itu ayahnda memilih untuk terus berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara. Ruang dakwah di dalam pentadbiran khasnya dalam aspek pengurusan masjid ketika itu terbuka luas. 

Setelah berlaku tekanan demi tekanan di dalam perkhidmatan, mulut ayahnda telah ditutup daripada berkhutbah di mimbar Masjid Negara. Ayahnda telah ditukarkan ke Bahagian Halal JAKIM sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP). Tak lama selepas itulah Almarhum Dato’ Ust Fadzil Noor memanggil ayahnda pulang bertanding di Baling. 
Dengan pengaruh sebagai anak tempatan dan bekas Imam Besar Masjid Negara, ayahnda menang dengan majoriti lebih 1,300 undi berbanding calon BN. Difahamkan itu kali kedua PAS memenangi kerusi Parlimen Baling sejak ia dimenangi kali pertama oleh Dato’ Nakhaie Haji Ahmad suatu ketika dahulu. 
Sungguh tak sangka, 23 tahun selepas itu, saya berdiri dan duduk di tempat yang sama ketika ayahnda mengangkat sumpah sebelum ini. 
Tak pernah ada dalam cita-cita untuk duduk di kerusi ini. Tak pernah dikejar dan tak pernah diburu. Hanya mentaati keputusan jamaah dan arahan pimpinan. Tidak ada apa-apa impian selain dari itu. 
Terima kasih kepada ayahnda, bonda, isteri, anak-anak, adik beradik, kaum keluarga, sahabat handai dan para pengundi yang memberi kepercayaan dan tugas berat ini. 

Terima kasih juga kepada mentor politik YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang masih memberi kepercayaan hingga ke saat ini. Amat banyak pelajaran dan ‘test’ yang diberi. Insya-Allah topik ini akan dikongsi dalam tulisan-tulisan seterusnya. 
Afnan Hamimi
13 Januari 2023
Nota : Kini Ust Afnan Hamimi merupakan Ahli Parlimen kawasan Alor Setar setelah menang dalam PRU15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *