Sejarah Madrasah Darul Islah Lil Banat
Bermula dengan Rumah Kebajikan Darul Islah Lil Banat yang beroperasi sejak 2011 hingga kini. Pada peringkat awal telah didaftarkan dengan nama Rumah Kebajikan Darul Islah Lil Banat dan mulai tahun 2017 telah didaftarkan dengan nama Rumah Kebajikan Darul Islah.
Penukaran nama ini berikutan telah membuka dua aliran(Perempuan-Lil Banat) dan (Lelaki-Lil Banin).
Menjalankan pelbagai aktiviti rawatan dan pemulihan secara Islam untuk pelbagai masalah sosial, pengajian agama(Tahfiz dan Pengajian Berkitab Pondok Moden) khusus kepada kanak-kanak mahupun para remaja.
Ditubuhkan berikutan permintaan masyarakat yang semakin bertambah untuk mendidik anak-anak dengan pendidikan agama, juga menjalankan program kerohanian, Fardhu Ain, Motivasi Pelajar dan Kemahiran sebagai contoh memasaka dan menjahit.
Madrasah induk adalah (Darul Islah, Sabak Bernam) yang telah diasaskan oleh Almarhum Ayahanda Tuan Guru Kiyai Haji Ahmad Shuhod Bin Haji Ikhsan sejak tahun 1980-an, yang menjalankan beberapa aktiviti kebajikan, rawatan dan pemulihan secara Islam (Syifa’) dan menjadi pusat pengajian agama bersistem pondok juga pengajian umum untuk masyarakat setempat.
Pada tahun 2009, Tuan Guru Kiyai Haji Ahmad Shuhod Bin Haji Ikhsan telah kembali ke Rahmatullah, lalu disambung oleh anakandanya Tuan Guru Ustan Hasan Shazili hingga tahun 2014 yang kemudiannya juga turut kembali ke Rahmatullah. Seterusnya disambung oleh waris lelaki tunggal Kiyai Haji Ahmad Shuhod Iaitu Tuan Haji Azraai Bin Haji Ahmad Shuhod sebagai Pengerusi dan Pemegang Amanah kepada Madrasah Darul Islah hingga sekarang.
Pada awal tahun 2011 Madrasah Darul Islah Sabak Bernam mula berkembang pula ke Daerah Kapar, Klang dan diusahakan oleh Hajah Siti Hasnah Binti Hj Ahmad Shuhod yang juga merupakan waris kepada Al Marhum Tuan Guru.
Pada peringkat awal penubuhan, adalah dengan menyewa sebuah Rumah kampung dua tingkat (Rumah Lama) yang disewa dengan kadar sewa RM300 sebulan.
Pembangunan madrasah ini agak lancar apabila mendapat kerjasama daripada Ketua Kampung Sungai Serdang iaitu Tuan Haji Hassan Bin Basiran. Pada tahun 2015 madrasah yang dibina secara berperingkat-peringkat melalui dana persendirian, pihak Ar Riqab(MAIS), dan bantuan orang ramai ditapak wakaf persendirian ketika itu kerana bilangan pelajar semakin bertambah dan memerlukan tempat yang lebih besar, selesa dan selamat untuk diduduki di Jalan Mawar, Kampung Sungai Serdang, Kapar Klang.
Para pelajar terdiri daripada asnaf, anak yatim,asnaf riqab anak ibu tunggal dan pelbagai kategori yang cenderung pada aliran agama dan memerlukan penempatan yang lebih selesa untuk menjalani program pengajian, pendidikan dan bimbingan agama dalam usaha membentuk akhlak Islam untuk kesihatan rohani dan jasmani.
Pada November 2016, Madrasah Darul Islah Sungai Serdang ini mula didaftarkan dengan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) sebagai Pemegang Amanah (Wakaf Khas untuk Madrasah Darul Islah Sungai Serdang) dan telah meluluskan penubuhan Tabung Dana Khas untuk pembangunan Madrasah Darul Islah di Sungai Serdang ini.