Bulatan Kuning Kiyai Mohamed Yusof
Beliau adalah Murshid Thariqah Naqshahbandiah pada zamannya dan Imam Masjid Sultan yang paling lama berkhidmat iaitu selama 40 tahun.
Imam Kiyai Mohamed Yusof bin Mohamed Said lahir pada tahun 1866 di Pulau Bawean.
Semasa berusia 6 tahun, bapanya telah membawanya ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji.
Sewaktu berumur 17 tahun pula, beliau sekali lagi ke Makkah, kali ini untuk melanjutkan pengajiannya selama 8 tahun.
Sekembalinya ke Singapura pada tahun 1891, Tengku Alam bin Sultan Ali Iskandar Shah dari Istana Kampong Gelam telah melantik Imam Kiyai Mohamed Yusof sebagai Imam Masjid Sultan dan kadhi bagi kawasan Kampong Gelam.
Imam Kiyai Mohamed Yusof pernah membuka pusat pengajian di kediamannya di 58 Bussorah Street. Para pelajarnya datang dari dalam dan luar negara termasuk Johor dan Melaka.
Pada tahun 1896, sebuah surau yang dinamakan sempena namanya iaitu Surau Haji Yusoff telah dibina di Hillside Drive. Surau itu kemudiannya telah digantikan dengan sebuah masjid pada tahun 1920 oleh Sheikh Umar bin Abdullah Bamadhaj di atas tapak tanah yang telah diwakafkan oleh Ahmad bin Mohamed Salleh Angullia.
Sebagai seorang alim yang amat dihormati dan disegani oleh masyarakat Islam tempatan dan Nusantara keseluruhannya, beliau dipandang sebagai tokoh yang paling sesuai untuk mewakili masyarakat Islam ketika itu. Lantas, beliau dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kadhi Singapura yang pertama pada tahun 1910.
Antara tugas-tugas Imam Kiyai Mohamed Yusof selain menguruskan ehwal nikah dan cerai pasangan Islam serta mengajar ialah untuk menentukan tarikh awal bulan Islam khususnya untuk bulan Ramadhan, Syawal, Dzulhijjah dan Muharam melalui kaedah ‘rukyah hilal’. Beliau akan mengarahkan beberapa rombongan yang diketuai oleh para kadhi dari seluruh kawasan di Singapura untuk melihat anak bulan khususnya di kawasan pemerhatian anak bulan (observatory) Mount Faber dan Fort Canning, Tanah Merah Besar, Pasir Panjang dan Serangoon pada petang Hari Raya Eidul Fitri.
Beliau jugalah yang bertanggung-jawab meminta keizinan dari pemerintah British untuk anak saudaranya, Habib Ali bin Shaikh Alhabshi mendirikan sebuah masjid di Bidadari Muslim Cemetery (Upper Serangoon Road) pada tahun 1910. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Bidadari. Ibu Habib Ali adalah kakak kepada Imam Kiyai Mohamed Yusof.
Pada tahun 1912, Imam Kiyai Mohamed Yusof banyak terlibat dalam aktiviti masyarakat Islam dengan menganggotai Singapore Muslim Association hingga tahun 1930. Beliau telah mengambil inisiatif menganjurkan satu pertemuan dengan wakil pemerintah British untuk mengusul dan membincangkan tentang perlaksanaan hari cuti umum bagi sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha di Singapura.
Dalam bidang sosial pula, beliau menunjukkan minatnya terhadap penubuhan Malay Vigilante Corps dan Malay Scouts Association.
Pada 19 Jun 1915, pemerintah British menubuhkan Muslim Advisory Board (MAB) dengan tujuan menguruskan ehwal Agama Islam, pendidikan dan budaya masyarakat Islam di Singapura; Imam Kiyai Mohamed Yusof dilantik sebagai salah seorang ahlinya.
Sepanjang penglibatannya selama 20 tahun sebagai ahli MAB, Imam Kiyai Mohamed Yusof telah berkerjasama dengan ramai pemimpin masyarakat Islam yang terkemuka.
Pada Ogos 1923, United Islamic Association (UIA) – sebuah persatuan untuk mewakili ‘suara’ masyarakat Islam tempatan telah ditubuhkan dan Imam Kiyai Mohamed Yusof telah dilantik menjadi pengerusinya yang pertama.
Di bawah kepimpinan Imam Kiyai Mohamed Yusof, banyak usaha-usaha lain untuk manfaat masyarakat Islam tempatan telah berjaya dilakukan oleh persatuan tersebut. Antaranya:-
(1) Pemerintah British mengizinkan UIA secara percuma untuk melepaskan tembakan meriam pada waktu Maghrib setiap hari semasa bulan Ramadhan di tempat yang ditentukan oleh pihak berkuasa.
(2) Pemerintah British memberikan kelulusan untuk menyertakan subjek pembelajaran Agama Islam dalam kurikulum sekolah vernakular Melayu di Singapura.
(3) Menerbitkan buku panduan Agama yang berlandaskan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.
(4) Membantu menganjurkan bengkel/kursus latihan untuk para guru secara percuma bagi meningkatkan lagi kemahiran dalam mengajar subjek Agama kepada para pelajar Islam di sekolah Melayu pemerintah.
Beliau juga merupakan antara pengasas Persatuan Bolasepak Malaya (kini Persatuan Bolasepak Malaysia) pada 11 September 1926.
Imam Kiyai Mohamed Yusof amat dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin ugama kerana ilmu, wara’ serta perwatakannya yang sederhana. Beliau juga seorang alim yang mudah didekati dan ramah.
Masyarakat Islam ketika itu amat beruntung kerana Imam Kiyai Mohamed Yusof merupakan pemimpin yang gigih, amanah serta bertanggung-jawab dan sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat Islam tempatan.
Atas jasanya kepada masyarakat Islam, pemerintah British melantik beliau sebagai Justice Of Peace pada 3 Jun 1929. Beliau juga menerima Certificate Of Honour dari King George V (King Of The United Kingdom) pada 17 Julai 1929.
Pada tahun 1932, beliau dilantik sebagai penaung Persatuan Seruan Islam (JAMIYAH) di samping Shaikh Abdul Alim bin Abdul Hakim As-Siddique atau Maulana Abdul Aleem Siddique.
Imam Kiyai Mohamed Yusof menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya di 58 Bussorah Street pada 19 November 1935 dalam usia 70 tahun.
Jenazah beliau disolatkan di Masjid Sultan pada hari yang sama dan disemadikan di Bidadari Muslim Cemetery.
Di hari pengebumiannya, semua kedai-kedai milik orang Islam di Kampong Gelam telah diarahkan tutup beberapa jam untuk menghormati jasa dan sumbangan beliau kepada masyarakat Islam di Singapura khususnya.
Beliau meninggalkan empat anak perempuan dan tiga orang cucu. Dua orang menantu lelakinya ialah Imam Haji Ali bin Muhammad Said (Ketua Kadhi Singapura ketiga) dan Abdullah bin Sahid. Ketua Kadhi Singapura kedua dan Mufti Pahang kedua iaitu Imam Haji Abbas bin Mohamed Taha juga merupakan salah seorang anak saudaranya.
Rujukan : Jejak Warisan Singapura, Ulama Nusantara