ALOR SETAR: Kitab Ilmu Bedil yang masih dalam bentuk manuskrip, dapat menafikan pandangan stereotaip Kesultanan Melayu Melaka jatuh pada 1511 kerana bersenjatakan keris saja.
Justeru, fakta sejarah perlu diperkemaskan untuk membentuk jati diri bangsa yang kukuh, termasuk mengemukakannya kepada pihak berwajib untuk memperbetulkan fakta berkenaan.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, berkata ia menjadi agenda penting pihaknya untuk menyebarluaskan kehebatan warisan bangsa kepada generasi muda berbanding Barat.
“Saya kecewa apabila ada pemimpin menyebut Kesultanan Melayu Melaka jatuh kerana hanya menggunakan tanah dan keris untuk melawan Portugis yang menggunakan senjata api dan meriam.
“Tanggapan itu salah kerana tentera Sultan Mahmud Shah sudah bersenjata api, malah ada ciptaan kita jauh lebih baik daripada Portugis dan setanding Jerman.
“Ini bukan kenyataan saya, tetapi dipetik daripada catatan penulis dari Barat seperti dalam buku Asia Portugueza karya Manual de Faria Y Souza.
“Beliau menyebut senjata api buatan Melaka setanding Jerman, manakala semua meriam dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun meriam buatan Portugis,” katanya pada Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia dan Wacana Bedil: Tradisi dan Kini di sini.
Abdul Mua’ti selaku pengkaji manuskrip Kitab Ilmu Bedil, adalah antara panel jemputan pada wacana terbabit bersama Pengerusi Banyan Antiques House Sdn Bhd, Dr Zikri Abd Ghani.
Abdul Mua’ti berkata, penulisan terkandung dalam kitab itu membuktikan orang Melayu sudah arif mengenai ilmu bedil atau menembak yang turut menceritakan cara pembuatan senjata.
Beliau berkata, dalam manuskrip itu juga tertulis cara membidik secara manual yang diceritakan satu persatu. Antara senjata api yang orang Melayu hasilkan ialah Malacca Musket (istingar) dan Malay Matchlock.
“Selepas kejatuhan Melaka, kita tidak lagi menghasilkan senjata dan cuma memasangnya di sini.
“Jadi adalah salah pahlawan Melayu dulu digambarkan hanya membawa keris sedangkan sejarah membuktikan senjata utama adalah senjata api.
“Seperti tentera sekarang membawa lebih lima senjata, begitu juga hulubalang dulu kerana mereka membawa senjata api bersama keris dan beberapa lagi senjata rahsia,” katanya.
Abdul Mua’ti memetik Pegawai British di Melaka, Thomas John Newbold dalam tulisannya, Political and Statistical Account of The British Settlements In The Straits Of Malacca, ‘Tidaklah menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api seperti istinggar.’
“Ungkapan Edward Monckton pada 1722 juga menyebut Sultan Melayu termasuk Sultan Kedah memiliki senjata api yang mampu menghalau semua orang Eropah dari India sekiranya mereka tahu menggunakannya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan rasmi dengan kementerian berkaitan untuk memperkemaskan fakta sejarah terbabit.
“Kita sudah menyebarkan maklumat tidak betul dan perlu ada komunikasi warisan untuk memberitahu generasi muda bahawa nenek moyang kita dahulu hebat.
“Kita ada kitab Ilmu Bedil yang semuanya lengkap, sekali gus perlu mengemukakannya kepada pihak berwajib untuk memperkemas fakta sejarah. Ini tidaklah bermakna semua fakta tidak betul, sebaliknya ada tempat tertentu perlu diperkemaskan,” katanya.
Sumber : Facebook
NOOR AZURA ABDUL RAHMAN
bhsastera@bh.com.my