Makam Habib Nuh

Makam Habib Nuh bin Muhammad Alhabshi sememangnya menyimpan pelbagai sejarah sejak 200 tahun lalu. 
Satu ketika dahulu, di bahagian kanan belakang qubah atau bangunan makam Habib Nuh terdapat beberapa kubur lama. 
Mengikut catatan nota Shaikh Muhammad bin Ahmad Balkhair (Imam / pengamanah makam Habib Nuh) pada tahun 1907, kubur-kubur tersebut adalah milik ahli keluarga Haji Muhammad Salleh yang telah mewakafkan tanahnya untuk didirikan Masjid Haji Muhammad Salleh (Palmer Road). 
Dalam catitan tersebut juga ada disebut mengenai sebatang pokok delima di atas tanah perkuburan itu. 
Pokok delima itu telah wujud lebih awal dari tanah perkuburan tersebut. Ia ditanam sendiri oleh Habib Nuh semasa hayatnya. 
Bukit yang menempatkan makam Habib Nuh itu pada awalnya dikenali sebagai Bukit Kampong Sambu dan merupakan tempat khalwatnya Habib Nuh. 
Pada Februari 1942, makam Habib Nuh digegarkan oleh letupan bom yang dijatuhkan dari pesawat tempur Jepun. Kubah bangunan makam hancur, pokok-pokok pisang di belakang bangunan makam menjadi debu; sedangkan makam Habib Nuh langsung tidak terjejas apatah lagi condong nisannya. 
Akibat kesan dari letupan tersebut, sebahagian pokok delima itu juga rosak dan hangus. Oleh yang demikian, selepas berbincang dengan keluarga Habib Nuh, Shaikh Muhammad telah memutuskan untuk menebang pokok tersebut demi keselamatan pengunjung. 

(Anak panah) lokasi pokok delima

Maka, pokok itu pun akhirnya ditebang dengan terasnya yang masih elok diserahkan kepada ahli keluarga Habib Nuh. 
Sebahagian teras pokok delima itu pernah dicanai oleh Habib Haroon bin Ali Alhabshi (Imam Masjid Kampong Marican; Moonstone Lane) untuk dijadikan seutas tasbih. Dikatajan teras pokok delima itu mampu menjadi ikhtiar penawar pelbagai penyakit.
Berikutan perlunya memperluaskan kawasan sekeliling bangunan makam, maka kesemua kubur ahli keluarga Haji Muhammad Salleh itu telah digali dan dipindahkan ke Pusara Abadi pada tahun 1986. 
Sehingga ke hari ini, sisa dari teras delima yang ditanam sendiri oleh Habib Nuh itu masih disimpan dengan baik dan merupakan sebahagian dari tarikan atau khazanah langka peninggalan Habib Nuh.

Teras pokok delima

1 thought on “Kisah pokok delima di makam Habib Nuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *