Menurut penceritaan lisan orang-oramg lama di Sabak Bernam, terdapat enam (6) keramat yang merujuk kepada kawasan penerokaan awal enam orang sahabat yang dipercayai peneroka awal daerah ini dan selain diteroka kawasan tersebut juga dipercayai menjadi tanah perkuburan mereka.

Terdapat banyak kisah-kisah mistik yang sering dikaitkan dengan keramat-keramat ini semua dan pengkisahan ini semakin tenggelam dalam arus masa ditambah pula kurangnya usaha eksplorasi menggali kisah-kisah lagenda tempatan. Daripada enam keramat tersebut terdapat tiga keramat yang diperkatakan sangat misteri iaitu Keramat Changkat Menteri, Keramat Sungai Lang dan Keramat Lubuk Pusing.
Keramat Changkat Menteri
Di hulu Sungai Bernam iaitu lebih kurang 30 batu dari Kampung Sungai Panjang, ada sebuah keramat lagi yang bernama Keramat Changkat Menteri. Cerita berkenaan dengannya tidak dapat diketahui secara sah, melainkan menurut ceritanya dalam tahun 1930-an satu rombongan saudagar kulit putih telah datang menyiasat keadaan tanah-tanah di daerah itu. Kesan-kesan kerja membuat ladang barli (ladang ini tidak jadi diusahakan disebabkan tanahnya tidak sesuai) masih terdapat di hulu Sungai Panjang. Rombongan ini kemudiannya menghulu lagi hingga sampai ke Changkat Menteri Tempat ini dikatakan masih ada kesan-kesan keramat. Oleh itu, rombongan tersebut telah menggali tempat ini dan menjumpai barang-barang purba seperti wang ringgit, keris dan emas. Barang- barang ini telah dibawa oleh mereka balik ke negara barat.
Adalah dipercayai bahawa, changkat yang dinamakan Menteri itu berasal dari orang-orang pelayaran yang membawa dagangan keluar masuk dari luar negeri hingga ke Tanjung Malim. Pada zaman itu, Sungai Bernam boleh dimasuki oleh kapal-kapal besar kerana sungai ini pada masa itu lebih besar dan dalam. Dalam pelayaran hilir mudik itu, seorang telah mati di changkat tersebut (dipercayai changkat ini masih diduduki orang pada zaman tersebut), dan dikebumikan di tanah perkuburan yang bersesuaian bersama-sama harta bendanya. Itulah sebabnya tempat ini dinamakan Changkat Menteri.
Keramat Sungai Lang
Menurut ceritanya, di kawasan Keramat Sungai Lang itu ada sepohon pokok cili sebesar gantang pokoknya, serta pokok kunyit, beberapa ekor ayam dan itik putih. Sebuah kawah besar juga ada di tebing sungai. Apabila air sungai surut, kawah ini boleh kelihatan. Walau bagaimanapun, tidak semua orang dapat melihat suasana ini kecuali mereka yang tersesat ke alam ghaib atau sengaja disesatkan oleh penunggu di kawasan tersebut yang berpeluang melihatnya.
Keramat Lubuk Pusing
Pada masa lalu, keramat ini dipercayai boleh mendatangkan bahaya kepada mereka yang tidak cermat menggunakan jalan perairan di sini. Lubuk dan teluk di kawasan Lubuk Pusing dikatakan tersangat panjang dan melingkungi kawasan hampir 10 batu jaraknya. Pada masa kini, teluk tersebut telah putus ke sebelah tanjung di hilirnya. Di kawasan lubuk ini, arusnya sangat kuat dan berpusing-pusing. Dikatakan bahawa pada masa dahulu, pernah sebuah kapal tenggelam kerana disedut oleh putaran air di situ.

Keadaan Lubuk Pusing hari ini

Sumber : Koleksi Cerita Rakyat Sabak Bernam

1 thought on “Kisah-kisah misteri tiga keramat di Sabak Bernam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *