Sumbangan terbesar Selangor kepada negara ialah penyerahan Kuala Lumpur kepada Persekutuan. Bahkan idea pembentukan Wilayah Persekutuan itu sendiri dicetuskan oleh anak Selangor – satu pengorbanan yang tidak akan cukup jika sekadar mengucapkan hanya terima kasih.
Pengorbanan yang sebegini besar semestinya dicatatkan dengan tinta emas di persada sejarah negara. UMNO Selangor melontarkan idea itu lantaran Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai beberapa negeri yang membentuk sebuah Persekutuan, wajar mempunyai sebuah ibu negara yang ditadbirkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Mengimbas kembali saat-saat tercetusnya idea dan seterusnya rintisan ke arah penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohd Muhyiddin bin Wan Nawang yang pada ketika itu Ketua Penyelidik UMNO Malaysia menceritakan. “idea ini tercetus hasil perbincangan dalam Jawatankuasa Penyelidikan UMNO Selangor yang diketuai oleh Haji Suhaimi bin Kamaruddin (Dato’).
Menurut Wan Muhyiddin, Suhaimi mencadangkan agar satu kertas kerja dibuat. “Kita apungkan idea ini dan kita bawa kepada UMNO Selangor,” kata Suhaimi kepada Jawatankuasa Penyelidikan UMNO itu. “Saya masih ingat, Suhaimi berkata begitu pada awal 1971” jelas Muhyiddin lagi.
“Jawatankuasa tersebut terdiri daripada tiga orang – iaitu Suhaimi Kamaruddin sebagai pengerusinya. Beliau ketika itu merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor. Seorang lagi ialah Raja Mohd Affandi Raja Halim yang juga adalah pegawai di Jabatan Perdana Menteri serta saya sendiri,” tambah Muhyiddin lagi.
Apabila idea itu dilontarkan kepada Dato’ Harun bin Idris yang ketika itu menjadi Menteri Besar Selangor, beliau menerima idea itu. Dato’ Harun bagaimanapun berkata bahawa idea ini tidak boleh dilaksanakan bersendirian, maksudnya mestilah turut dibincangkan dengan Kerajaan Pusat.
Ekoran dari itu, Dato’ Harun dan Suhaimi menemui Tun Abdul Razak (Allahyarham) yang baru sahaja menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Terserahlah kepada Dato’ … ini negeri Dato’,” kata Tun Razak yang jelas begitu tertarik dengan idea tersebut. Untuk melanjutkan hasrat ini, Dato’ Harun mengadap Sultan Selangor – Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah.
Pertemuan berlangsung di Istana Klang. Menurut Muhyiddin, selepas pertemuan itu Dato’ Harun memberitahu bahawa Sultan kurang faham tentang tujuan penubuhan itu. Menurut Dato’ Harun, Sultan menyatakan Kuala Lumpur adalah hak nenek moyang baginda… tanah-tanahnya sangat berharga, kerana itu baginda keberatan,” tambah Muhyiddin lagi.
Hasil pertemuan itu dilaporkan oleh Dato’ Harun kepada Tun Razak. Beliau juga meminta campur tangan Tun Razak agar dapat melembutkan hati sultan.
Mendengarkan kata-kata Dato’ Harun itu, Tun Razak pon berkata “You all pun sama-sama kena jumpa Sultan.”
Dato Harun dan Suhaimi pun mengadap semula Sultan Selangor, satu hujah baru diberikan kepada Sultan, Dato’ Harun bertanya kepada Sultan, adakah baginda sayang pada orang Melayu di Selangor.
“Tentulah kita kasih rakyat kita..,” jawab Sultan Selangor.
“Kalau Tuanku kasih…,”jelas Dato’ Harun, “Tuanku mestilah serahkan kawasan, kalau tidak kerajaan akan diperintah oleh orang bukan Melayu, mungkin lebih teruk lagi… dengan menyerah kawasan akan dapat menyelamatkan Negeri Selangor.”
“Betulkah begitu.?” bertanya pula sultan.
Wan Muhyiddin menerangkan selanjutnya, “Sultan termenung dengan hujah Dato’ Harun itu. Harun berkata, “itulah pengorbanan yang Tuanku harus buat untuk menyelamatkan orang Melayu,”
Tuanku termenung lagi, tiba-tiba air mata baginda berlinang.. kemudian menitis satu…, satu…, jatuh di ribaan baginda.
“Kalau untuk menyelamatkan orang Melayu Dato’, buatlah apa yang patut,” akhirnya suara baginda keluar dalam nada antara dengar atau tidak.
Dato’ Harun menerangkan bahawa, baginda tidak perlu khuatir dengan kedudukannya sebagai raja yang memerintah. Kepentingan baginda, akan diteruskan dan dipelihara dari segi protokol. Tuanku boleh membina istana Selangor dalam kawasan tersebut dan jawatan-jawatan penting dalam wilayah akan dijawat oleh anak-anak Selangor.
Kemudian Dato’ Harun pun melaporkan hasil pertemuan keduanya itu kepada Tun Razak. Ketika itu demam pilihanraya tahun 1974 sudah hampir terasa.
Tun Razak kemudiannya memanggil Dato’ Harun dan Suhaimi untuk menetapkan persempadanan Wilayah Persekutuan yang dicadangkan itu. Tun Razak meminta Suhaimi melukis sempadan Wilayah Persekutuan. Tun Razak mahu segala-galanya disegerakan.
Sebenarnya Suhaimi tidak pernah melukis sempadan dan tidak tahu bagaimana nak memulakannya. Menurut Wan Muhyiddin, Suhaimi kemudiannya menemui Raja Shah Kobat, Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Selangor.
Raja Shah Kobat menyatakan beliau juga tidak pernah melukis sempadan. Ekoran daripada itu, mereka pun pergi on the ground dan membuat rajah sempadan berdasarkan sungai, jalanraya dan rel kereta api. Itulah caranya mereka menentukan sempadan Wilayah Persekutuan.
Setelah sempadan Wilayah disiapkan, Suhaimi membawa rajah itu kepada Dato Harun, tetapi apabila melihat rajah itu Dato Harun tidak berpuas hati sebab dimasukkan sekali Petaling Jaya.
“Kalau begini rupanya, habislah kawasan yang baik-baik di Negeri Selangor,” kata Dato’ Harun pula kepada Haji Suhaimi.
Terpaksalah rajah itu diubah semula dengan mengeluarkan Petaling Jaya. Setelah dipersetujui, sekali lagi ia terpaksa dibawa mengadap Sultan Selangor bagi mendapatkan tandatangan baginda.
Perjanjian itu kemudiannya dibawa ke Dewan Undangan Negeri Selangor untuk diluluskan. Dalam masa yang singkat perjanjian itu dibawa ke Bangunan Parlimen untuk dibincang dan diluluskan oleh badan perundangan tertinggi negara.
Pada 1 Februari 1974, di Istana Negara, Kuala Lumpur semasa memeterai perjanjian Wilayah Persekutuan itu, sebaik Sultan Selangor mengangkat pen untuk menurunkan tandatangan, sekali lagi air mata baginda bergenang di kelopak mata.
Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah raja raja Melayu serta pembesar negara peringkat Persekutuan dan Negeri Selangor, termasuk Dato’ Harun Idris bersama barisan exconya.
Sebaik Sultan Selangor menarik penanya dari atas kertas perisytiharan yang ditandatanganinya itu, termaktublah penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Menyaksikan peristiwa itu dari jauh ialah seorang penulis yang dapat merasa apa yang dirasa oleh Sultan Selangor. Penulis ini ialah Raja Azam bin Raja Bidin (MASBENA) merakamkan perasaan baginda melalui sebuah sajak yang berjudul:
Airmata seorang Raja
Dan akhirnya,
dengan penuh kerelaan,
dan dengan rasa pengertian,
kau diserahkan.
Sesungguhnya,
kau telah cukup dewasa,
gagah meredah zaman,
bergelumang suka duka,
banjir memanjat bumbung,
dan titik-titik darah,
bermula suatu sejarah,
kebangkitan suatu ummah.
Masih kuingat lagi,
hari dan detik pemergianmu,
tanggal 1 Februari 1972,
Tuanku menandatangani watikah,
Kuala Lumpur milik wilayah.
Bergenang airmatanya,
melihat putera kesayangan,
yang diasuh,
kemudian dibesarkan,
masyhur ke seluruh dunia,
pergi meninggalkannya,
dan pintu kota Darul Ehsan,
tanda kenang-kenangan.
Demikianlah,
Darul Ehsan kehilangan Kuala Lumpur,
dan bandar baru Shah Alam,
meniti di hati.
Teks sepenuhnya daripada buku ‘ Jejak Pejuang’, 1996.

Dato’ Harun Idris

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *