Menurut sejarah orang dahulu, Sabak Bernam dikatakan telah wujud sejak tahun 1720 (ada pendapat ianya didiami lebih awal daripada itu) yang mana di masa itu Sabak Bernam berada di bawah pemerintahan Raja Muda Perak yang bergelar Raja Inu. Semasa itu, cucuanda Sultan Ibrahim yang juga Sultan Selangor yang kedua dan memerintah dari tahun 1778 hingga 1826, yang bernama Raja Onus ( Raja Onus@Yunus Ibni Raja Usoh@Yusof Ibni Sultan Ibrahim) bersama kaum keluarga dan anak isterinya telah berpindah ke Sabak Bernam dengan seorang sahabat karibnya bernama Haji Ali yang juga membawa keluarga dan isterinya. Raja Onus telah memilih tempat tinggalnya di sebelah Negeri Perak yang kini dikenali dengan nama Kampung Kota. Haji Ali pula memilih tempat tinggal di tebing Sungai Bernam iaitu di sebelah Negeri Selangor. Raja Onus mempunyai putera seramai lima (5) orang iaitu Raja Hitam, Raja Indut, Raja Mat Aris, Raja Abidin dan Raja Nordin.

Salah satu makam kerabat diraja di Kampung Kota, Perak. 

Sumber : Merah Silu
Apabila Raja Onus meninggal dunia, maka puteranya yang sulung iaitu Raja Hitam dengan dipersetujui oleh semua saudaranya telah menggantikan tempat Raja Onus. Beliau telah memilih tempat tinggalnya di sebelah Negeri Selangor dan mendirikan kota yang dikenali dengan nama Kota Raja Hitam. Tempat tersebut pernah dikenali juga dengan nama Istana Hinggap Sultan Selangor.
Raja Hitam telah beristerikan seorang wanita bernama Dasimah dan mereka mendapat beberapa orang putera dan puteri iaitu Raja Tahir, Raja Ja’afar, Raja Nuteh, Raja Chik dan Raja Enson. Raja Tahir, Raja Ja’afar dan Raja Chik telah meninggalkan beberapa orang anak laki-laki dan perempuan.
Apabila Raja Hitam menggantikan Raja Onus, maka Raja Hitam telah melantik saudaranya Raja Indut menjadi Majistret untuk membicarakan jika ada kes-kes untuk dibicarakan. Semasa pentadbiran Raja Hitam, Residen British Negeri Selangor telah beberapa kali memujuk Raja Hitam agar bersetuju supaya Sabak
Bernam diletakkan di bawah pentadbiran Inggeris di Selangor, tetapi permintaan ini telah ditolak oleh Raja Hitam.
Pihak Inggeris tidak berputus asa dan telah menghantar pegawainya bernama Mr. Roger bagi memujuk Raja Hitam dengan memberikan janji-janji untuk kebaikan anak cucu Raja Hitam pada masa akan datang. Akhirnya Raja Hitam telah berunding dengan saudara-saudaranya dan telah bersetuju meletakkan Sabak Bemam di bawah tadbiran Inggeris di Negeri Selangor. Residen British di Selangor telah memberikan surat bercap mohor yang memberi jaminan kepada semua waris Raja Hitam.
Setelah Sabak Bernam diletakkan di bawah pentadbiran Negeri Selangor, pada tahun 1876, dalam surat bertarikh 13 haribulan Ogos Residen British Selangor bernama Kapten Bloomfield Douglas telah menulis surat kepada Raja Hitam yang berbunyi seperti berikut :
“Surat daripada Kapten Bloomfield Douglas Residen British Negeri Selangor kepada Raja Hitam ibni Al-Marhum Raja Yunus di Sabak Bernam bertarikh pada 13 haribulan Ogos 1876 mengenai peraturan baru untuk mengadakan pegawai orang putih Edward Neubroner memegang jawatan Collector of Land Revenue (Pemungut Hasil) Magistrate Police Sabak Bernam.”
Dengan penerimaan surat tersebut, maka kuasa pemerintahan Raja Hitam di Sabak Bernam telah berakhir. Semasa pemerintahan Edward Neubroner, beliau telah membina sebuah Pejabat Kerajaan dan sebuah balai polis yang dianggotai oleh seramai dua (2) orang mata-mata sahaja pada mulanya.
Setelah Sabak Bernam diletakkan di bawah pentadbiran Negeri Selangor, maka mulalah bangsa-bangsa lain seperti Inggeris, Cina dan India berhijrah ke Sabak Bernam. Orang Inggeris telah membuka tanah untuk dijadikan ladang-ladang seperti Ladang, Torkington Ladang Rajah Hitam, Ladang Sungai Bernam dan Ladang Bagan Terap. Mereka menggunakan buruh dari kalangan orang India yang dibawa masuk dari India. Di kalangan orang Cina pula, mereka yang tinggal di pekan telah membuka perniagaan seperti kedai menjual minuman (kopi dan teh), dan ada juga yang menjalankan kerja menjual kain baju dan barang-barang runcit. Terdapat juga di kalangan mereka yang tinggal di kawasan pinggir sungai dan laut dan menjadi nelayan.

1 thought on “Kisah berakhirnya pemerintahan Raja Hitam di Sabak Bernam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *