Sir Charles Spencer Chaplin Jr., lahir pada 1889, merupakan pelakon komedi legenda era filem bisu & peralihan ke filem bersuara Hollywood sekitar 1910-an dan 1920-an. Beliau yang masyhur dengan wataknya The Tramp, juga pembikin filem yang disegani.
Melayari lebih 75 tahun karier dalam dunia perfileman, Chaplin menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Krismas 1977 di usia 88 tahun. Jasadnya bersemadi di sebuah perkuburan berhampiran rumahnya di Corsier-sur-Vevey, Switzerland.
Namun pada 2 Mac 1978, kira-kira 2 bulan selepas dikebumikan, kuburnya dibongkar & jasadnya dicuri bersama keranda. Hal itu disedari oleh penduduk sekitar yang melaporkannya kepada polis, lalu siasatan dan pemburuan si pelaku dilancarkan.
Tidak kama kemudian, balu Chaplin, Oona mula menerima panggilan telefon yang meminta wang tebusan sebanyak USD600,000. Malah si pemanggil itu mengugut sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, nyawa dua anak kecil Oona akan diancam.
Begitupun, Oona enggan akur. Pada masa sama, polis memintas talian telefon kediaman Chaplin & mengawasi 200 pondok telefon di sekitar wilayah itu. Selepas lima minggu, akhirnya pelakunya berjaya diberkas – dua orang mekanik bernama Roman Wardas dan Gantscho Ganev.
Ia membawa kepada penemuan semula jasad Chaplin pada 17 Mei yang mereka tanam di ladang jagung kira-kira sebatu dari kediaman keluarga Chaplin. Disember itu, mereka dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merompak kubur dan cubaan memeras ugut.
Wardas dari Poland dan Ganev dari Bulgaria, mengaku bersalah dan menyatakan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai penyelesaian kepada kesempitan kewangan memandangkan kedua-duanya adalah pelarian politik dari Eropah Timur.
Wardas yang didapati sebagai dalang dihukum 4 tahun setengah kerja berat dan Ganev diberi amaran supaya tidak melakukan kesalahan sama selama 18 bulan. Jasad Chaplin dikebumikan semula di tempat asalnya dan ditutup dengan konkrit.
Sumber: History, Smithsonian Magazine