Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Buyong al-Hafiz dan beliau dilahirkan pada tahun 1910 di Batu 16, Jalan Ulu Langat, Selangor. Keturunannya berasal dari Mandahiling, Sumatera.
Apabila usianya meningkat remaja, beliau dihantar oleh kedua orang tuanya menghafal al-Quran di Klang. Setelah tamat pengajian di Klang, Tuan Guru Haji Abdul Majid menyambung pengajiannya di Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah di bawah asuhan Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani @ Pak Chu Him. Ketika di sini beliau bersahabat baik dengan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, Tuan Guru Haji Ghazali Mundok dan seorang lagi Tuan Guru yang berasal dari Chenak, Patani.
Setelah tamat di Kedah, Tuan Guru Haji Abdul Majid merasa tidak puas dengan ilmu yang ada lalu beliau ke Pondok Bunut Payung, Kota Bharu untuk belajar di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir sekitar awal tahun 1940an. Di Kelantan, Tuan Guru bertemu dengan ramai pelajar dari Pahang terutama dari Kampung Guai. Beliau juga sempat bertemu dengan Tuan Guru Haji Hasanuddin Mohammad dari Kampung Berhala Gantang. 
Setelah hampir 5 tahun di Kelantan, Tuan Guru Haji Majid berhasrat untuk naik ke Mekah, akan tetapi beliau telah dipelawa oleh rakan-rakannya dari Kampung Gual untuk membuka sebuah pondok di kampung ini. Hasrat itu disambut oleh beliau dengan senang hati.
Maka dengan itu, Tuan Guru Haji Abdul Majid  mengasaskan Madrasah al-Ittifaqiyah di Kampung Gual pada tahun 1947. Beliau memulakan pondoknya di satu kawasan yang berhampiran dengan Sungai Pahang di atas tapak seluas setengah ekar. Di sebelah bangunan madrasah, beliau mendirikan sebuah rumah untuk beliau tinggal. Sebuah surau pula didirikan di sebelah hulu masjid bagi tujuan mengajar dan latihan solat jemaah, dari surau ke rumah Tuan Guru dibuat satu titian yang panjang supaya memudahkan Tuan Guru datang ke surau pada waktu solat.
Pondok ini mendapat sambutan yang hangat dari penduduk setempat. Kata beberapa orang, Jepun yang menguasai kawasan Gual ketika itu sangat hormat kepada Tuan Guru Haji Abdul Majid dan memberi janji bahawa pasukannya tidak akan membuat kacau di Kampung Gual.
Di antara keistemewaan Tuan Guru ialah beliau tidak suka bercakap kosong atau sia-sia, jika tidak ada apa yang hendak diperbualkan maka beliau akan mengaji al-Quran dengan kuat. Biasanya jika ada jemputan kenduri maka dari penambang ke rumah yang dituju, beliau akan diiringi oleh penyambut tetamu dari belakang dan di hadapan dan dalam waktu itu beliau akan mengaji al-Quran. Kemerduan suara Tuan Guru menarik hati penduduk setempat untuk semakin rapat kepada beliau. Tuan Guru juga mengadakan kelas Maghrib setiap malam di Masjid Beliau, kelas ini khusus untuk golongan dewasa. Setiap malam di adakan kelas Tafsir, Fekah, Tasawuff, Tauhid dan sebagainya. Bagi pelajar pondok pula kelas di adakan sesudah solat subuh dan sebelah pagi, mereka diajar mengikut peringkat kemampuan mereka. Di antara murid Tuan Guru Haji Abdul Majid ialah :
1. Ustaz Abu Osman Bin Abu Bakar (Lanjut)
2. Ustaz Abdul Wahab Bin Osman(Gual)
3. Tuan Guru Haji Ahmad Bin Chik (Gual)
4. Ustaz Mat Sham(Buntut Pulau)
5. Ustaz Haji Idris Bin Omar(UKM)
6. Tuan Guru Lebai Mahmud
7. Tuan Guru Lebai Kassim Bin Kia
Beliau meninggal dunia pada tahun 1956 ketika berusia 46 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Bera, Pahang.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber – Ustaz Rahim & Website Sejarah Islam Pahang 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *