Kampung Tebuk Pulai telah dibuka oleh kumpulan perantau dari Tanah Jawa pada sekitar awal tahun 1930-an. Terdapat tiga peringkat pembukaan kawasan ini. Peringkat pertama melibatkan pembukaan Kampung Tebuk Lama. Sementara peringkat kedua ialah pembukaan Kampung Tebuk Kencong. Ketua kumpulan peneroka di sini ialah seorang peneroka yang bernama Bakar atau digelar juga sebagai Karimun. Sebab itulah Kampung Tebuk Kencong itu juga selalu disebut sebagai Tebuk Karimun. Akhir sekali, peringkat ketiga ialah pembukaan Kampung Tebuk Pulai. Ini bermakna, antara ketiga-tiga kampung ini, Kampung Tebuk Pulai merupakan kampung terakhir yang dibuka.
Mengikut ceritanya, nama Tebuk Pulai diambil daripada peristiwa semasa hendak membuka kampung ini. Apabila kawasan kampung ini dibuka dan hutan dibersihkan untuk membuat jalan, ada sepohon pulai yang besar lilitannya menyekat kerja-kerja membuat jalan ini. Oleh kerana pokok ini agak menyusahkan dan menghalang kerja maka ditebuklah pokok Pulai itu. Maka sebab itulah dinamakan kampung tersebut Tebuk Pulai.
Di Kampung Tebuk Pulai ini terdapat kisah mengenai kekejaman komunis yang sukar dilupakan oleh penduduk tempatan terutama oleh generasi tua. Menurut cerita, pada masa komunis berleluasa terdapat banyak pembunuhan yang berlaku di kawasan ini. Dalam satu peristiwa, pihak komunis telah menangkap Ketua Kampung Tebuk Pulai yang pertama iaitu Haji Mat Yatim dan hendak dibunuh oleh mereka. Pihak komunis ini terdiri daripada tiga orang lelaki Cina yang telah menangkap Haji Mat Yatim dan anaknya yang bernama Yusuf. Mereka telah ditangkap dan dibawa ke dalam hutan berhampiran kampung ini.
Malangnya, Yusuf telah dipukul dengan teruk dan dibunuh kejam dengan cara menanamnya hidup-hidup sehingga menemui ajal. Dengan kuasa Allah SWT, pada suatu malam ketiga-tiga komunis itu telah meninggalkan Haji Mat Yatim yang telah diikat dan diletakkan di tepi sebuah lubang yang hendak dijadikan lubang kuburnya. Pada ketika itu, terbuka hati salah seorang penduduk kampung yang menganggotai kumpulan komunis itu dan merupakan rakan sekampung beliau untuk mengetahui keadaan dan nasib Haji Mat Yatim. Melihatkan ketiga-tiga komunis itu telah pergi maka tanpa berfikir panjang dilepaskannya Haji Mat Yatim.
Ketika komunis itu datang semula dan melihat Haji Mat Yatim sudah tiada maka mereka pun pergi ke Kampung Tebuk Pulai dan bertanyakan di mana Haji Mat Yatim disorokkan. Orang-orang kampung telah bersepakat menjawab bahawa Haji Mat Yatim mungkin sudah terbang melepaskan diri. Sebenarnya, beliau telah lari ke rumah salah seorang penduduk yang memberikannya perlindungan. Oleh kerana marah disebabkan Haji Mat Yatim telah terlepas maka berlakulah huru-hara dalam kampung. Pemgganas Komunis tersebut telah mengamuk selama tiga hari tiga  malam dan bertekad untuk mencari pengganti Haji Mat Yatim. Namun begitu, kuasa Allah SWT. mengatasi segalanya kerana Haji Mat Yatim tidak ditemui oleh mereka dan tiada seorang pun dijadikan ganti beliau seperti yang dimahujan oleh pihak komunis sebelumnya.
Rujukan : Koleksi cerita rakyat

2 thoughts on “Kekejaman pengganas Komunis di Tebuk Pulai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *