Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong ( 1862 – 1945 )

Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Ahmad Shafie Bin Haji Muhammad Amin Bin Haji Abdul Rahman Bin Syeikh Ahmad al-Zabidi dan beliau dilahirkan di Kuala Kangkong, Simpang Empat,  Kota Setar, Kedah pada tahun 1862. Beliau berasal dari rumpun keluarga yang alim lagi wara’. Datuknya ialah Syeikh Abdul Rahman atau gelarannya Tok Suboh adalah seorang ulama’ besar yang berasal dari Yaman lalu berhijrah menetap di Kedah atas suruhan ayahnya iaitu Syeikh Ahmad al-Zabidi .
Ayahnya dan adik beradiknya juga merupakan tokoh ulama’ yang menjadi rujukkan masyarakat. Mereka ialah :
1. Tuan Guru Haji Muhammad Amin (Ayah) – Guru agama di Kedah.
2. Tuan Guru Haji Mohd Tahir (Abang) – Ulama’ di Pantai Remis, Perak
3. Tuan Guru Haji Omar Merbok (Adik) – Ulama’ di Merbok, Kedah
Setelah mendapat pendidikan asas dari kalangan keluarganya di kampung halaman, Tuan Guru Haji Mat Shafie berhijrah ke Terengganu pada tahun 1885 atas tujuan untuk mendalami ilmu agama. Pondok yang pertama beliau masuki ialah Pondok Terusan di Losong, Kuala Terengganu. Di samping itu, beliau juga sempat menuntut ilmu dari wali Allah Tokku Paloh.
Di antara guru-gurunya ialah :
1. Tuan Guru Haji Abdul Hamid Terusan
2. Tuan Guru Haji Abdul Latif – Tok Qadhi Losong
3. Tokku Paloh
4. Tuan Dalam – Adik Tokku Paloh
Beliau bersahabat baik dengan Tok Kenali dan Tuan Hussien Kedah al-Banjari. Tuan Guru Haji Mat Shafie pernah berlayar ke Mekah bersama Tuan Hussien Kedah di mana beliau telah menolong Tuan Hussien yang mengalami mabuk laut.
Tuan Guru Haji Mat Shafie adalah seorang pengamal Tareqat Syatariah. Beliau pakar di dalam ilmu fiqh dan kuat beramal dengan ratib al-Haddad. Beliau ada membina sebuah rumah kecil berdekatan masjidnya untuk berkhalwat dan beribadat.
Selain ilmu fiqh, beliau juga sangat alim di dalam ilmu tasawuf sehinggakan Tok Kenali pernah berkata :
” Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Haji Mat Shafie Losong”
Atas permintaan gurunya Tuan Dalam, Tuan Guru Haji Mat Shafie telah mendirikan sebuah pondok pengajian di Losong yang terletak di Kuala Terengganu pada tahun 1891 di atas rumah wakaf Tuan Dalam. Rumah tersebut telah dibangunkan menjadi sebuah madrasah dan masjid.
Para pelajarnya datang dari pelbagai daerah di seluruh Nusantara. Antaranya daripada Acheh, Patani, Kedah & Kelantan. Pondok Kampung Losong pernah menerima zaman gemilangnya pada tahun 1930 apabila jumlah pelajar mencapai ratusan orang. 
Di antara alim ulama’ yang menjadi muridnya ialah : 
1. Tuan Guru Haji Bidin Dungun
2. Tuan Guru Haji Muhammad Bin Awang Kampung Teras Besar
3. Tuan Guru Haji Yunus Bin Salleh al-Kalantani – Ayah Tuan Guru Pak Man Bukit Besar
4. Tuan Guru Haji Wan Hassan Bin Haji Wan Muhammad – Qadhi Besar Kelantan
5. Tuan Guru Haji Nik Daud Bin Nik Mat Tanah Merah
6. Tuan Guru Haji Yaakub Bin Imam Awang Kechik
7. Tuan Guru Haji Abdul Latif, Kemaman
8. Tuan Guru Haji Mat Teresat @ Ahmad Bin Taib – Cucu Menantu
9. Tuan Guru Haji Ahmad Merbau Patah
10. Tuan Guru Muhammad al Bakri – Ayah Menteri Agama Datuk Seri Dr Zulkifli al-Bakri
11. Syeikh Nawawi Janggut Merah – Anak saudaranya
12. Tuan Guru Haji Ali Atas Tol
Selepas kewafatan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong pada tahun 1945, peneraju pondok diamanahkan kepada cucu menantunya iaitu Tuan Guru Haji Mat Teresat (1908-1985) sehingga 1985. Setelah Tuan Guru Haji Mat Teresat wafat, anak ketiganya Tuan Guru Haji Ghazali Bin Haji Ahmad (1946-2012) pula mengambil alih pentadbiran sehingga tahun 2003. 
Pondok Losong pernah dinaik taraf menjadi lebih luas dan besar apabila pondok asal dinaikkan menjadi tingkat kedua dan ketiga. Malangnya pembinaan tersebut tergendala sehingga kini tetapi binaan asal pondok masih ada sebagai bukti sejarah penyebaran ilmu di Kuala Terengganu.
 
Disebut dalam riwayat, Tuan Guru Haji Mat Shafie mempunyai beberapa karomah yang mencarik adat. Di antara yang masyhur diperkatakan ialah :
1.Sewaktu penaklukan Jepun beliau dilihat menghembus sesuatu ke arah kapal terbang Jepun dan bom tentera Jepun tidak jatuh di sekitar tempat beliau menetap.
2.  Sewaktu Terengganu dilanda kemarau pada awal kurun ke-20, pemerintah kerajaan Terengganu akan bertanya kepada beliau di mana tempat yang perlu digali perigi kerana tempat yang ditunjukinya biasanya akan mempunyai air.
3. Suatu hari ketika banjir besar, air semakin tinggi dan telah meneggelamkan sebahagian besar rumah penduduk kampung. Lalu beliau mengambil sebatang kapur dan membuat satu garisan di dinding rumahnya. Ajaib air banjir berhenti pada garisan dan tidak melebihi ia.
4. Beliau pernah menyelamatkan dua pegawai daerah yang terkencing kerana ketakutan apabila bertembung dengan seekor harimau. Dalam peristiwa itu, Tuan Guru Haji Mat Shafie hanya membuat isyarat kepada harimau tersebut sambil berkata “Lari, jangan ganggu”, lalu harimau itu pun berundur.
Tuan Guru Haji Mat Shafie suka berjalan menggunakan tongkat. Beliau berjalan terus, tidak memandang kiri ke kanan. Langkahnya sederhana namun ketika mengharungi kawasan paya, beliau berjalan dengan cepat kerana terlalu geli kepada lintah. Dari segi pakaian pula, Tuan Guru Haji Mat Shafie suka memakai pakaian putih atau berjubah putih.
Akhlak yang mulia sejak kecilnya itu telah menarik minat beberapa keluarga di situ yang kemudiannya menjodohkan beliau dengan Hajah Wan Khadijah Binti Zainal. Perkahwinannya itu berakhir dengan Hajah Wan Khadijah meninggal dunia setelah mendapat anak-anak iaitu :
1. Haji Abdul Rahman
2. Abdullah
3. Maryam
4. Said
5. Haji Abdul Hamid
6. Haji Abdul Wahhab
7. Ahmad
8. Fatimah
9. Hajah Maimunah – Isteri Tuan Guru Haji Zainal Abidin Merbok
Setelah isteri pertama meninggal, beliau berkahwin pula dengan Hajah Su dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu :
1. Haji Din
2. Haji Abdul Halim
3. Haji Abdul Rahim
Tuan Guru Haji Mat Shafie meninggal dunia pada 5 September 1945 bersamaan 28 Ramadhan 1364H ketika berusia 83 tahun. Jenazahnya dimakamkan di belakang Masjid Losong, Kuala Terengganu, Terengganu. 

Sumber – Buku Tokoh Ulamak Semenanjung Melayu Jilid 1, Bual bicara bersama cicitnya Pok Awie dan Buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan, Jejak Ulama Nusantara, Tengku Yusuff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *