Kampung Tanjung Jawa ini di dalam Mukim Sabak, terletak di tepi Sungai Bernam dan bersempadan dengan Teluk Buloh, Hutan Melintang, Perak. Keluasan kampung ini ialah 1,280 ekar dengan tanaman kelapa dan kelapa sawit merupakan hasil pertanian utama. 
Menurut cerita, kampung ini dinamakan Kampung Tanjung Jawa ialah kerana pada tahun 1913, kampung ini telah dibuka dan diterokai oleh orang-orang Jawa yang datang dari Tanah Jawa dan diketuai oleh Haji Alias. Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Ketua Kampung yang pertama bagi kampung ini. Ketika itu, penduduk kampung ini memang ramai dan tiap-tiap sekeping tanah dipunyai oleh seorang ahli keluarga.

Oleh kerana kampung ini terletak di hujung tanjung di tepi Sungai Bernam, apabila air pasang besar, kampung ini selalu dibanjiri air. Penduduk kampung berasa bosan dengan keadaan ini dan mereka mula menjual tanah dan kebun kepada penduduk keturunan Cina. Kebanyakan mereka kemudiannya telah berpindah ke kawasan Sungai Besar dan membeli tanah sawah untuk bertanam padi. 

Dari segi sejarah pentafbiran kampung ini, Ketua Kampung kedua ialah Haji Husin dan yang ketiga ialah Pak Nakip yang meninggal dunia pada tahun 1940. Beliau telah digantikan oleh anaknya iaitu Haji Yusop @ Supian bin Nakip. Beliau merupakan Ketua Kampung yang paling lama bagi kampung ini iaitu selama 38 tahun. Oleh kerana beliau telah uzur dan sering sakit, maka beliau telah meletakkan jawatannya. Pada 1 Oktober 1978, Sidang Haji Sha’ari bin Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Kampung Tanjung Jawa.
Pada masa lalu, keadaan kampung ini agak kurang selesa kerana sering ditenggelami air. Walau bagaimanapun, masalah ini selesai apabila ban dibina di tepi sungai dari Kampung Baharu hingga ke Ladang Sungai Bernam Estet iaitu sepanjang 338 rantai. Ban di tepi sungai ini mula dibuat pada tahun 1974.
Sumber : Koleksi Cerita Rakyat Sabak Bernam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *