15 Februari 2022
Hari ini tepat 80 tahun lalu, kerajaan British menyerah kalah dan menyerahkan Singapura kepada Jepun, yang memberi pulau ini sebuah nama baru – Syonan-To, bermaksud Cahaya Pulau Selatan. Ramai daripada penduduk Singapura yang melalui zaman perang itu dan pemerintahan Negara Matahari Terbit mulai hari tersebut pada 1942 telah meninggal dunia. Sempena ulang tahun ke-80 Kejatuhan Singapura itu, BERITA HARIAN menggali semula sejarah dengan menemui sebuah keluarga yang ayah mereka berkhidmat dalam angkatan laut British di Singapura ketika itu dan seorang mangsa yang melalui keperitan hidup pada zaman perang tetapi bangkit kemudiannya untuk membina kehidupan baik buat keluarganya.
LAPAN puluh tahun lalu, Cik Kamariah Mohd Naib bersama ibu dan tiga adik-beradiknya sentiasa bersedia untuk bergegas ke tempat bersembunyi apabila siren bom berbunyi.
Pada waktu siang, mereka bersembunyi dalam sebuah lobang di depan rumah mereka, manakala pada waktu malam, tanah perkuburan dekat kampung mereka menjadi tempat berlindung – berbantalkan batu nisan.
Sedang jiran sekampung berlari untuk bersembunyi, beliau, yang berusia empat tahun ketika itu, dan tiga adik-beradiknya berusia 15, dua dan satu tahun terpaksa menunggu jiran mereka untuk membantu ibu mereka yang lumpuh.
Jika tidak dapat masuk ke dalam kubu, serpihan bom yang dijatuhkan tentera Jepun boleh mencederakan atau membunuh mereka.
Itulah antara pengalaman hidup di Singapura beberapa bulan sebelum ia menjadi Syonan-To pada 15 Februari 1942 setelah diserah kepada Kerajaan Jepun, kata Cik Kamariah, kini 84 tahun.
Tiga tahun membesar dalam keadaan perang itu adalah tempoh sangat menyedihkan dan ngeri, ujarnya.
Mentelah keluarga semua perempuan itu menempuhi zaman perang tanpa ayah mereka, yang ditahan di Labuan, Malaya (kini Malaysia) oleh tentera Jepun sebelum mereka memasuki Singapura kerana beliau digajikan sebagai tukang masak oleh syarikat kejuruteraan British.
Cik Kamariah Mohd Naib menunjukkan peta yang menggambarkan kampung yang diduduki keluarganya di perkuburan Kristian Bidadari hingga 1945, semasa Singapura diperintah Jepun |
“Saya masih ingat apa yang saya perlu buat, walaupun hanya berusia empat tahun, untuk mencari nafkah,” kata Cik Kamariah, yang sudah kematian suami, ketika ditemui di rumahnya.
Menurut Cik Kamariah, keluarganya ketika itu menumpang di kuarters penggali kubur dari Indonesia di kubur Kristian Bidadari, dekat Upper Serangoon Road.
Menerusi lukisannya sendiri, tempat tinggal yang diketuai arwah datuknya itu ada tiga banglo dua tingkat. Tingkat pertama kolong serba guna dan tingkat dua mempunyai lapan bilik bagi sekitar 20 keluarga.
“Beberapa bulan sebelum British menyerah kalah, kami menghadapi pengeboman Jepun. Bila siren pertama berbunyi, pada siang kami masuk sebuah longkang kecil yang digali penduduk. Pada malam kami sembunyi di sebab takut longkang itu ada ular atau binatang lain,” jelas beliau.
“Apabila siren kedua berbunyi, ada bermacam bunyi letupan. Cahaya tembakan berwarna-warni muncul di langit. Saya sangka ada orang main mercun,” katanya.
Pada suatu ketika beliau melihat seorang lelaki maut dipercayai dek peluru sesat.
“Beliau hendak lari masuk ke dalam kubu sambil mendukung anak lelakinya yang cacat. Tiba-tiba saya lihat seolah-olah ada banyak ular keluar dari perutnya. Rupa-rupanya peluru sesat terkena badannya hingga tali perutnya terkeluar… ngeri!” tambahnya.
Hidup bertambah susah apabila British tewas dan Singapura dikuasai Jepun. Sekali setiap minggu, sebuah trak askar Jepun datang mengagih ubi kayu dan nasi.
“Sedang pasangan dewasa dan budak-budak keluar mengambil makanan, perempuan remaja dan perawan, seperti kakak saya, digulung dengan tilam dan disembunyikan di bawah katil sebab takut Jepun ambil mereka.
“Untuk menggalak askar Jepun tidak mengganggu kami, budak lelaki bermain kompang menyambut mereka, sementara kanak-kanak lebih kecil, seperti saya, menari sebagai hiburan,” kata Cik Kamariah lagi.
“Kadang-kadang pekerja disuruh Jepun menggali lobang besar dan kami lihat ia diguna untuk mengebumikan banyak mayat. Ada digunakan untuk buang makanan, mungkin sebab Jepun nak kawal makanan kita.
“Jadi kami pun sibuk gali balik makanan itu; ada ikan, ada sotong. Kami bawak balik untuk dimasak dengan nasi.”
Namun, beliau percaya tidak semua askar Jepun kejam.
“Pernah seorang askar Jepun mengusap kepala saya sambil menunjuk satu jari ke langit dengan senyuman sedih. Mungkin dia teringat anaknya di kampungnya,” kata Cik Kamariah.
Ayah Cik Kamariah dikembalikan kepada mereka selepas Jepun menyerah kalah pada 1945.
Sampai sekarang ibu tiga anak itu tidak boleh tengok kisah perang di televisyen.
“Ia satu titik dalam kehidupan saya yang betul-betul menyedihkan. Tetapi ia satu pengajaran untuk saya, bahawa kita harus maju dan mempertingkat kehidupan kita walaupun sedikit demi sedikit,” kata mantan guru Bahasa Melayu itu.
Sumber : Berita Harian Singapura
https://www.beritaharian.sg/setempat/kakak-digulung-dengan-tilam-disembunyikan-bawah-katil