Anak-anak pelajar bersama para asatizah Maahad Ad-din al Islamiah

Pada Mac tahun 1910 bertempat di kediaman Habib Ali bin Shaikh Alhabshi di Kampong Woodleigh, bersama-sama dengan beberapa tokoh ulama tempatan yang lain, Habib Ali telah membincangkan mengenai penubuhan sebuah madrasah di kawasan Batu 3 Serangoon Road (kemudiannya dikenali sebagai Kampong Marican di Moonstone Lane). 
Hasil perbincangan tersebut, sebuah madrasah yang menggunakan sistem pendidikan ‘pondok’ yang terawal di Singapura telah berjaya diasaskan pada 12 Mei 1910 yang dikenali sebagai Madrasah Alhabshi Al-Islamiah. 
Jawatankuasa yang dibentuk itu juga telah melantik Habib Ali sebagai mudir madrasah yang pertama. 
Tenaga pengajar utama yang telah dilantik untuk menyumbang ilmu dan tenaga di Madrasah Alhabshi pada awal penubuhannya ialah:- 
[1] Habib Ali bin Shaikh Alhabshi 
[2] Habib Abdullah bin Idrus Al-Baroom 
[3] Habib Ahmad bin Muhammad Al-Quthban 
[4] Habib Muhammad bin Aqil Al-Bin Yahya
[5] Habib Abdul Rahman bin Abdullah Al-Bin Shahab 
[6] Shaikh Husain bin Abdul Rahman Al-Khatib
[7] Shaikh Muhammad bin Ahmad Balkhair 
[8] Shaikh Muhammad As-Suhaimi bin Abdullah As-Syaibani 
[9] Imam Kiyai Mohamed Yusof bin Mohamed Said 
[10] Imam Haji Abbas bin Mohamed Taha 
[11] Kiyai Mohamed Ashik 
Pada tahun 1912, oleh kerana ada percubaan untuk menjadikan Madrasah Alhabshi sebagai markas penyebaran fahaman Wahabi, maka pihak jawatankuasa pentadbir madrasah telah memecat mudir ke-2 pada ketika itu, Shaikh Hamzah bin Nasir Al-Basandiq dan melantik Imam Kiyai Mohamed Yusof bin Mohamed Said (Ketua Kadhi Singapura yang pertama) sebagai mudir-3. 
Oleh kerana rasa tidak puas hati dengan tindakan memecat Shaikh Hamzah, para penyokong tegar Shaikh Hamzah telah bertindak agresif dengan menyerbu dan membakar Madrasah Alhabshi pada pagi 25 April 1913. 
Pihak jawatankuasa madrasah kemudiannya terpaksa membuka kelas-kelas pengajian di Surau Alhabshi (yang kemudiannya dinamakan Masjid Kampong Marican pada tahun 1930). 
Beberapa tokoh ulama tempatan juga telah dilantik sebagai tenaga pengajar separuh masa di Madrasah Alhabshi pada pertengahan tahun 1930-an. Mereka ialah:- 
[1] Habib Abdullah bin Shaikh Balfaqih 
[2] Habib Abdullah bin Hassan Al-Shatiri 
[3] Habib Muhammad bin Ahmad Al-Shatiri @ Kunji Koya Thanggal 
[4] Habib Nuh bin Abdullah Alhabshi 
[5] Shaikh Umar bin Abdullah Bagharib 
[6] Kiyai Mahfuz bin Dahlan 
[7] Kiyai Abu Bakar bin Mohamed Ashik @ Kiyai Akong
Melihat kepada perkembangan dan pertambahan pelajar yang semakin pesat, para pelajar telah dipindahkan ke sebuah gedung dua tingkat yang ditawarkan oleh pemiliknya, Shaikh Umar bin Hassan Al-Amudi di Kampong Marican itu pada tahun 1937. 
Pada awal tahun 1941, atas usaha mudir ke-4 iaitu Imam Haji Abbas bin Mohamed Taha atau Syeikh Abbas Al-Azhari (Ketua Kadhi Singapura kedua dan Mufti Pahang kedua) sebuah madrasah baharu berjaya didirikan iaitu Madrasah Kampong Marican Al-Islamiah (Moonstone Lane). 
Namun pada tahun 1947, Madrasah Kampong Marican terpaksa ditutup kerana tapak tanahnya dikehendaki oleh pemerintah British bagi pembinaan gudang menyimpan beras. 
Setahun kemudian, atas saranan Shaikh Abdul Alim bin Abdul Hakim As-Siddique (Moulana Abdul Aleem Siddique), sebuah madrasah baharu telah didirikan bagi meneruskan legasi Habib Ali yang meninggal dunia di Pulau Pinang pada 16 Februari 1930. 
Madrasah baharu di Kampong Marican (Opal Crescent) yang siap dibina pada tahun 1951 itu dikenali sebagai Ma’ahad Ad-Din Al-Islamiah dan anak lelaki Habib Ali iaitu Habib Haroon telah dilantik sebagai mudir madrasah yang pertama. 
Ibu pejabat madrasah tersebut terletak di Beng Wan Road. Beberapa tokoh ulama tempatan juga dijemput oleh Habib Haroon untuk mengajar di Ma’ahad Ad-Din. Antaranya ialah Shaikh Muhammad bin Abdullah bin Salim Al-Bin Diab, Kiyai Maskol bin Ahmad dan Ustaz Mohamed Amin bin Muslim. 
Pada tahun 1958, Ma’ahad Ad-Din telah diperluaskan sehingga dapat menampung hampir 400 orang pelajar. Perkara ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa bantuan jabatan kewangan yang stabil yang diketuai oleh Syed Alwee bin Abdullah Al-Mashoor dari Lorong Ahadiyat (Potong Pasir). 
Antara tenaga pengajar yang banyak menyumbangkan ilmu dan tenaga mereka di Ma’ahad Ad-Din ialah:- 
[1] Ustaz Shamsudin bin Nordin 
[2] Ustaz Khairullah bin Zain 
[3] Ustaz Ahmad bin Omar 
[4] Ustaz Sulaiman bin Abu Sujak 
[5] Ustaz Abdul Kahar bin Abu Sujak 
[6] Ustaz Jahuri bin Mohamed 
[7] Ustaz Hassan bin Ahmad 
[8] Ustazah Hasnah binti Ahmad 
[9] Ustazah Zainah binti Mohamed Said 
[10] Ustazah Fatimah binti Mualim 
Selepas Habib Haroon meninggal dunia pada Mei 1958, jawatan mudir Ma’ahad Ad-Din diserahkan kepada Syed Umar bin Abdul Rahman Alsagoff yang memimpin madrasah tersebut dengan penuh dedikasi selama 19 tahun. 
Pada tahun 1977, Ma’ahad Ad-Din akhirnya melabuhkan tirainya dan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan kawasan tersebut; sekaligus mengakhiri sejarah gemilang legasi perintis dan pelopor utama institusi pendidikan Islam berlandaskan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah di Kampong Marican iaitu Habib Ali bin Shaikh Alhabshi. 

Habib Ali bin Shaikh Alhabshi

Habib Haroon bin Ali Alhabshi (duduk di tengah; bertongkat)
Syed Umar bin Abdul Rahman Alsagoff

Syed Alwee bin Abdullah Al-Mashoor

Sumber:- 
[1] “Manaqib Habib Ali Bin Shaikh Alhabshi” oleh Habib Hashim bin Abdullah Alhabshi dari Gresik; tahun 1930 
[2] Makalah “Kampong Marican Mosque & Alhabshi Islamic School: A Family Legacy”; tahun 1972 
[3] Waris Shaikh Ahmad bin Ali Ba’Isyan; Selangor 
[4] Waris Habib Zain bin Salikin bin Muhammad Alhabshi; Indonesia 
[5] Waris Habib Abdullah bin Idrus Al-Baroom; Kuala Lumpur 
[6] Waris Shaikh Zain bin Shuaib Bafadhal; Kedah 
[7] Waris Habib Abdul Rahman bin Murtadha bin Abdul Rahman Alhabshi; Melaka 
[8] Waris Habib Abdullah bin Idrus Al-Baroom; Singapura

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *