Kepada penggemar sukan MMA, sudah tentu mereka tak terlepas untuk menonton perlawanan kejuaraan dunia Heavyweight pada minggu lepas, termasuk juga saya. Perlawanan yang di menangi oleh Francis Ngannou (FN) menentang bekas rakan sepasukan yang pernah berlatih bersama suatu ketika dahulu Ciryl Gane, mendapat perhatian peminat dan pihak media di seluruh dunia kerana jalan ceritanya yang menarik. Perlawanannya amat epik tetapi bukan itu yang saya nak kongsikan dengan anda semua, yang saya nak kongsikan adalah cerita tentang kecekalan si FN ni.
FN ni dia lahir di Batié, Cameroon. Cameroon adalah salah satu dari negara Afrika Tengah yang menggunakan bahasa rasmi French dan English dan juga mempunyai 250 dialek tempatan. Kampung FN di Batié ada lebih kurang 12,000 orang dan terkenal dengan perlombongan pasir. Oleh kerana datang daripada keluarga yang susah, FN terpaksa bekerja di lombong pasir seawal usia 10 tahun untuk menanggung ibu, keluarga, nenek serta mak saudaranya. Hasil titik peluh beliau itu juga adalah untuk membayar yuran serta membeli barangan persekolahan. “Disini kanak-kanak banyak yang bermasalah. Mereka rasakan semuanya tiada walaupun mereka belum lahir. 
Seolah-olah mereka tidak boleh untuk mempunyai cita-cita. Mereka hanya perlu terima hakikat kehidupan mereka”. FN sentiasa berharap akan ada seseorang datang untuk membantu dan memberi sinar baru dalam kehidupan beliau suatu hari nanti. 
FN tidak mempunyai tv di rumah tetapi semuanya bermula apabila seseorang menunjukkan video perlawanan tinju Mike Tyson kepada beliau di telefon. Terus FN memasang cita-cita untuk menjadi seorang peninju walaupun tahu segala kekangan yang beliau ada. Orang sekeliling termasuk ibu dan keluarga FN kata beliau gila dan tak masuk akal nak jadi seorang peninju kerana mereka sekeluarga susah dan di Batié tidak ada peluang sebegiturupa. FN tahu untuk menjadi peninju hebat beliau harus ke Amerika dan untuk ke Amerika bukan sesuatu perkara yang mudah. Tetapi FN percaya dengan sebuah cita-cita dan usaha.
Ayah FN jatuh sakit dan kerana mereka tidak mempunyai duit untuk menghantar ke hospital, ayahnya meninggal dunia. Perkara ini telah menggesa FN untuk berbuat sesuatu kerana tidak mahu nasib yang sama menimpa ibunya. FN mula mengatur strategi dan mengorak langkah. Untuk ke Amerika, FN terlebih dahulu perlu ke Eropah dan malangnya dari Cameroon untuk ke Eropah beliau tidak boleh melalui pintu hadapan. FN perlu melalui pintu belakang yang penuh onak dan duri. Untuk mereka yang tidak tahu, ada dua wilayah Sepanyol di Morocco iaitu Ceuta dan Melilla dan FN merancang untuk memasuki ke wilayah tersebut untuk membolehkan beliau ke Eropah. Untuk ke sana tidak semudah yang dirancang. FN perlu melalui Nigeria, Niger, Algeria dan Morocco. Dan paling mengerikan adalah FN perlu merentasi padang pasir terbesar di dunia iaitu Sahara. Bagaimana beliau merentasi gurun tersebut?
Semua mereka yang ingin mencuba nasib ini akan membayar penyeludup untuk membawa mereka merentasi Sahara. Lebih kurang 25 orang akan di sumbat ke dalam sebuah toyota Hilux dan mereka harus bertahan di belakang kereta tersebut sepanjang perjalanan. “Saya pegang sekuat hati saya di belakang kereta tersebut kerana tidak mahu jatuh, kalau saya terjatuh, mereka tidak akan berhenti untuk menyelamatkan saya. Kalau saya lepas genggaman tangan bermaksud saya melepaskan cita-cita saya”. Mereka juga perlu berdoa supaya kereta penyeludup tidak rosak di pertengahan jalan kerana jika ianya berlaku bermaksud mereka akan mati kelaparan dan kehausan. Suhu di gurun Sahara lebih kurang 40 celcius pada siang hari dan akan jatuh ke -4 celcius pada belah malam. Kemungkinan juga boleh terserempak dengan penyeludup-penyeludup lain yang mungkin menyeludup dadah dan sebagainya. Untuk mengelakkan diri beliau di rompak, FN membalut duit yang ada pada diri beliau dan menelannya ke dalam perut.
Kesemua 25 mereka kehausan kerana air tidak mencukupi dan bekalan yang dibawa kehabisan. FN terjumpa telaga air tetapi airnya kotor, ada bangkai burung dan pelbagai kotoran lain di dalamnya. “Saya mungkin akan mati kalau minum air kotor ini, tetapi saya juga akan mati kehausan jika tidak minum, jadi saya memilih nasib untuk minum je”. Nasib menyebelahi beliau dan beliau selamat sampai ke Algeria. Dari Algeria beliau menyeludup masuk ke Morocco dan dari situ tinggal satu lagi destinasi sebelum beliau boleh ke Eropah. Akan tetapi semua pendatang seperti beliau tahu yang Morocco adalah mimpi ngeri kerana jika mereka ditangkap, mereka akan di buang ke Sahara balik. FN menyorok di Forest Of Tangier, tempat yang terkenal di Morocco sebagai hentian terakhir oleh pendatang-pendatang dari Afrika. Untuk makan pula, FN terpaksa keluar dari tempat penyembunyian pada lewat malam untuk ke pekan terdekat dan pergi ke mana-mana tong sampah untuk mencari makanan yang ada. “Kadang-kadang saya bergaduh dengan tikus, hey tikus, tomato busuk itu bukan kau yang punya, itu aku yang punya, berambus kau dari sini”.
Untuk memasuki ke wilayah Melilla ada dua jalan samada menempuhi beberapa siri pagar dawai kawat tajam sepanjang 11km dan setinggi 6meter atau melalui jalan air. FN memilih untuk meredah dawai kawat. Percubaan pertama beliau adalah gagal. Beliau cedera teruk dan dibawa ke hospital dan selepas itu di buang ke gurun sahara. Setiap kali gagal beliau mencuba dengan strategi baru yang dibaik pulih. Setelah beberapa kali gagal akhirnya beliau memilih jalan air pula. Perkara sama berlaku ketika menempuhi jalan air apabila bot kecil mereka di kesan pihak penguasa. Akhirnya FN mendapat idea untuk membalut bot kecil mereka dengan aluminium foil bagi mengelak dikesan oleh radar. “Saya buat perkiraan ada tiga ombak yang perlu dihadapi. Yang pertama ombak dan kedua di harungi tanpa masalah. Tiba ombak ketiga lain ceritanya. Ombak tu terlalu besar seperti di dalam movie. Bot kami terbalik dan saya berpaut sekuat-kuatnya untuk terus hidup. Setelah berjaya menyelamatkan diri, saya dapati dua rakan telah hilang, dan kedua mereka itulah yang memegang pendayung bot. Bagaimana kami nak mendayung tanpa pendayung? Untuk hidup terpaksalah kami dayung dengan menggunakan tangan je.”
Selepas percubaan keseluruhan sebanyak 6 kali, akhirnya FN berjaya masuk ke perairan wilayah Melilla. Beliau di tangkap dan dimasukkan ke penjara Sepanyol. Selepas dua bulan beliau di bebaskan dan diberikan status pelarian. Kini beliau sudah berada di Eropah, selepas membuat percaturan samada ingin ke UK ataupun ke Jerman dari Sepanyol, beliau akhirnya memilih untuk menaikki keretapi terus ke tempat yang menjadi permulaan baharu buat FN iaitu Paris. Hari pertama beliau sampai di Paris beliau buat 3 perkara iaitu belajar dimana ingin cari makanan, belajar dimana untuk tidur dan yang terakhir cari boxing gym untuk berlatih. “Saya bagitahu pemilik gym yang saya baru sampai di Paris dan saya tidak ada duit dan tidak ada apa-apa tetapi apa yang saya mahu hanyalah tempat untuk berlatih kerana suatu hari nanti saya akan jadi juara dunia”.
Walaupun terpaksa menjadi gelandangan selama tiga bulan dan tidur di tempat letak kereta, FN tidak merungut malah bersyukur dengan peluang baru yang beliau ada berbanding dengan kehidupan di Cameroon dan juga segala yang beliau terpaksa tempuhi untuk sampai ke Paris. “Saya lihat ramai orang sentiasa merungut setiap hari tentang pelbagai perkara disini, bagi saya tempat ini penuh dengan peluang kehidupan jika kita pandai melihatnya”. Akhirnya FN bekerja di tempat perlindungan gelandangan ‘Lo Chorba’ sebagai pemotong sayur-sayuran. Dari situ, pengarah Lo Chorba memperkenalkan beliau kepada Didier Carmont yang mempunyai boxing gym di Paris. Jurulatih boxing disitu menyarankan beliau untuk mencuba MMA dan FN tidak mengetahui apa itu MMA dan tidak berminat, beliau hanya ingin jadi seperti Mike Tyson. Akhirnya beliau mendengar nasihat tersebut dan beliau diperkenalkan kepada Fernand Lopez di Gym MMA Factory. Selepas tiga bulan mencuba dan berlatih MMA, FN menyertai perlawanan pertama beliau pada tahun 2013 dimana beliau menang dan membawa pulang 2000 euro. Beliau amat gembira kerana itu adalah gaji terbanyak yang beliau pernah dapat seumur hidup beliau. Tidak lama selepas itu FN mendominasi arena MMA di Perancis.
FN mendapat tawaran kontrak dari organisasi perlawanan MMA terbesar di dunia yang berpangkalan di Amerika iaitu UFC pada tahun 2015. Mengorak langkah demi langkah dengan 6 kemenangan berterusan, pada tahun 2018 beliau berlawan untuk kejuaraan dunia Heavyweight menentang Stipe Miocic dan berpeluang untuk mencapai cita-cita  yang beliau pasang dari Cameroon dahulu. Malangnya nasib tidak menyebelahi kerana beliau tewas dalam perlawanan tersebut. Tidak berputus asa dan belajar dari kekalahan, beliau berpeluang untuk mencuba nasib kembali di perlawanan rematch pada 2021. Berbekalkan kecekalan dan kemahuan yang tinggi, beliau menewaskan Stipe Miocic dengan knockout di pusingan kedua dan pada usia 34 tahun FN telah mencapai cita-citanya selepas dinobatkan sebagai juara dunia dalam kategori Heavyweight.
“My childhood memory in Africa wasn’t the best but i couldn’t make it here if it wasn’t like that. The future doesn’t make sense without the past. My friend, you have to make your own destiny!”
-Francis Ngannou.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *