Kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada Ogos 1945 telah membawa kehadiran semula pemerintahan British ke Tanah Melayu melalui British Military Administration (BMA). Bagi meneruskankan penguasaan British di Tanah Melayu, satu perlembagaan baru diwujudkan bagi menggantikan BMA yang dikenali sebagai Malayan Union pada 1 April 1946.
Malayan Union dilihat satu ancaman kepada ketuanan Melayu apabila secara mutlak menzahirkan penjajahan British dan hilangnya saki baki kekuasaan Raja-Raja Melayu. Dasar kewarganegaraan berteraskan prinsip Jus Soli secara jelas ancaman kepada demografi orang Melayu di tanah leluhurnya. Kaedah paksaan dan ugutan oleh British kepada Raja-Raja Melayu untuk mempersetujui perjanjian Malayan Union dianggap sebagai satu tindakan biadap dan penghinaan kepada orang-orang Melayu.
Kongres pemimpin persatuan Melayu di Istana Besar Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946
Kongres dan perjumpaan tokoh-tokoh Melayu membincangkan ancaman kepada masa depan anak bangsanya merupakan reaksi balas kepada pembentukan Malayan Union. Persatuan Melayu Sabak Bernam di mana ketika itu Dato Haji Lope Salleh bin Long@Zainal Abidin salah seorang pemimpinnya antara 29 persatuan Melayu yang dijemput ke Istana Besar Johor Bahru sempena Kongres Melayu pada 11 dan 12 Mei 1946 (gambar di atas).
Api kemarahan orang Melayu terhadap Malayan Union diluahkan dalam himpunan besar-besaran
Hasil sebulat suara keputusan kongres tersebut telah menyaksikan tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PERKEMBAR) atau dikenali sebagai UMNO. Nama beliau diabadikan sebagai salah seorang yang menandatangani dokumen persetujuan penubuhan UMNO di mana Dato Onn Jaafar dipilih sebagai Yang Di Pertua UMNO yang pertama.
UMNO diwujudkan sebagai wadah penyatuan seluruh persatuan-persatuan Melayu sebagai barisan hadapan menentang Malayan Union. Slogan “Hidup Melayu” bergema menggerakkan setiap pemuda-pemudi Melayu di seluruh negara bersatu mempertahankan maruah bangsa. Desakan dan siri himpunan bantahan orang-orang Melayu menyaksikan British terpaksa akur untuk tidak lagi meneruskan hasratnya menanam cengkaman kuku penjajahannya di Tanah Melayu melalui Malayan Union yang akhirnya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Dato Haji Lope Salleh dan Tan Sri Dato Haji Mustaffa bin Haji Abdul Jabar antara anak watan Sabak Bernam yang berjuang bersama pimpinan UMNO berserta umat Melayu seluruhnya menentang Malayan Union. Dato Haji Lope Salleh merupakan anak Melayu berketurunan Banjar dari Kalimantan Selatan pernah menjawat jawatan Ketua Kampung (Sidang) Sabak pada tahun 1949, Pemeriksa kira-kira Persatuan Pelajar Dewasa Selangor Cawangan Sabak Bernam, Setiausaha Kesatuan Melayu Sabak Bernam, Naib Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam dan Pengerusi Kesatuan Ketua Kampung Se Malaya Cawangan Sabak Bernam.
Surat Perlantikan Dato Lope Salleh sebagai Ketua Kampung Sabak (Batu 40)
Kepimpinan beliau meletakkannya untuk memikul amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Sabak kedua selepas Tan Sri Dato Haji Mustaffa bin Haji Abdul Jabar bermula tahun 1964 sehingga 1978 atas tiket Perikatan seterusnya dikenali Barisan Nasional. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibawah portfolio Pertanian, Agama dan Kebajikan. Dato Haji Lope Salleh menjadi ahli Exco dibawah dua orang Menteri Besar iaitu Dato Seri Harun Idris dan Dato Hormat Rafie.
Beliau bersama Dato Taiban Hassan yang ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Besar antara saksi hidup yang memperjuangkan kewujudan daerah Sabak Bernam sehingga permasyhurannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 1 Julai 1960.
Ketokohan beliau diuji ketika isu panas perpindahan ibu daerah Sabak Bernam dari Pekan Sabak ke Pekan Sungai Besar mula membahang. Kematangan beliau untuk akur mematuhi arahan pimpinan dalam isu ini walaupun wujudnya pertentangan antara ahli-ahli UMNO telah meletakkan beliau sebagai seorang pemimpin yang dihormati dikalangan ahli-ahli UMNO dan masyarakat.
Sesungguhnya, jasa dan bakti beliau sepanjang mewakili rakyat di kawasan Sabak sangat memberi kesan bagi mereka yang melalui zaman bersamanya. Kewujudan Sabak Bernam berdiri sendiri sebagai daerah ke tujuh Selangor akan terus memahat nama beliau dan rakan-rakan seperjuangannya dalam riwayat sejarah bangsa. Pada tahun 2001, sampailah janji Allah kepadanya untuk pulang ke asal. Dato Haji Lope Salleh bin Long@Zainal Abidin menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 82 tahun dan jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Batu 40 Sabak Bernam. Kepulangannya ke alam abadi meninggalkan lapan orang anak dan seorang balu.
Perginya sebagai seorang “Putera Berjasa” Sabak Bernam wajar terus dikenang sebagai tanda memperingati perit dan lelah orang-orang terdahulu mempertahan maruah bangsa dan tanah pusaka.
Dato Lope Salleh bin Long@Zainal Abidin
1919 – 2001
Deskripsi gambar :
Gambar pejuang-pejuang Melayu dari Selangor yang terlibat menentang Malayan Union menghadap DYMM YDP ke tujuh Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah sempena ulang tahun kemerdekaan ke 26 tahun 1983.
Dato Haji Lope Salleh nombor sembilan (9) dari kiri berdiri
Menerima pingat darjah kebesaran daripada DYMM YDP Agong ke tujuh Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah
Menerima pingat darjah kebesaran daripada DYMM YDP ke sepuluh, Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Menerima pingat darjah kebesaran daripada Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamudin Alam Shah
Deskripsi Gambar :
Sumpah ahli UMNO Sabak Bernam 1974
Terjemahan tulisan jawi :
Dengan nama Allah, kami ahli-ahli UMNO dari semua peringkat di dalam Bahagian Sabak Bernam, dengan tulus ikhlas bersumpah dan berikrar dengan penuh taat setia bagi memperjuangkan tugas-tugas UMNO di kawasan Sabak Bernam khasnya dan seluruh Malaysia amnya di bawah pucuk pimpinan Yang Amat Berhormat Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussien (Presiden UMNO Malaysia) dan patuh segala keputusan yangcdibuat oleh ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia.
Dengan penuh kesedaran dan keinsafan dari sebarang penyelewengan yang kami lakukan sama ada berterang-terang atau berselindung-selindung adalah satu penderhakaan terhadap agama, bangsa dan negara.
Dato Haji Mustafa bin Haji Abdul Jabar
bagi pihak ahli-ahli UMNO Bahagian Sabak Bernam dari semua peringkat.
25 Mei 1974
Perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang tahun 1977.
Dato Haji Lope Salleh nombor tiga dari kiri dan Dato Ghazali Kantan (Adun Sungai Besar) nombor empat dari kanan barisan tengah.
Dato Haji Lope Salleh mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam bergambar beramai-ramai pada tahun 1947 dihadapan rumah persatuan.
Dato Haji Lope Salleh nombor tiga dari kiri (duduk)
Haji Long@Zainal Abidin, ayahanda Dato Haji Lope Salleh paling kanan (duduk).
Dato Haji Lope Salleh nombor tiga dari kiri (duduk)
Haji Long@Zainal Abidin, ayahanda Dato Haji Lope Salleh paling kanan (duduk)
Nota : Haji Long@Zainal Abidin juga pernah menyandang jawatan Ketua Kampung Sabak (Batu 40).
Deskripsi gambar :
Bergambar beramai-ramai di hadapan rumah Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam sempena majlis perpisahan Encik Abdul Rahman S.O tahun 1947.
Dato Haji Lope Salleh nombor dua dari kiri (duduk) dan disebelah kiri beliau berserban adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Kamil.
Dato Haji Lope Salleh bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Kamil
Deskripsi gambar :
Gambar menunjukkan pemimpin Melayu berkumpul di Bangunan Kelab Sultan Sulaiman. Gambar bawah dalam bulatan merah adalah Dato Haji Lope Salleh yang turut sama Dato Onn Jaafar bersama pemimpin-pemimpin Melayu yang lain berkumpul di Bangunan Kelab Sultan Sulaiman ketika itu.
Terjemahan tulisan jawi :
Kongres Orang-orang Melayu pada 1 hingga 4 Mac, tahun 1946 di Sulaiman Kelab Kuala Lumpur yang membawa kepada penubuhan UMNO. Kongres ini dihadiri oleh 107 orang wakil dan 56 orang pemerhati termasuk kaum ibu dan orang-orang asli.
Ketika kongres ini berlangsung tentera British telah mengepung bangunan Kelab, tetali kongres itu tetap terus berjalan hingga tamat. Nombor lapan dari kanan dibarisan hadapan ialah Dato Onn bin Jaafar.
Puncak kejayaan Tunku Abdul Rahman – Apabils brliau melaungkan “merdeka” di Melaka sempena terlepasnya negara ini daei cengkaman penjajah. Ketika ini UMNO berada dikemuncaknya dan Tunku disanjung diseluruh tanah air sebagai ” Bapa Kemerdekaan”.
Deskripsi gambar :
Gambar beramai-ramai pemimpin Melayu di Istana Besar Johor Bahru 11 Mei 1946 untuk memuktamadkan penubuhan UMNO. Gambar bulatan merah adalah Dato Haji Lope Salleh mewakili Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam dan anak panah menunjukkan Dato Onn bin Jaafar.
Terjemahan tulisan jawi :
Inilah tarikh yang patut diingati oleh Orang Melayu, penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Kelihatan Allahyarham Dato Onn Jaafar dibarisan belakang sekali di tengah-tengah (anak panah).
Masa itu mahu publisiti dan bermegah-megah. Itulah sebabnya Allahyarham berdiri dibelakang.
Gambar ini diambil bersama-sama Sultan Johor, nombor lapan dari kanan dibarisan hadapan (Ketika itu masih Tengku Mahkota Johor).
*Tengku Mahkota Johor ketika itu adalah Tengku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Keratan akhbar Utusan Melayu 11 Mei 1976, mengenang 30 tahun tertubuhnya UMNO.
Deskripsi gambar :
Gambar beramai-ramai mesyuarat yang pertama penggal persidanfan yang ke enam Dewan Negeri Selangor yang ke dua pafa 12 Februari 1969.
Dato Haji Lope Salleh nombor lima dari kiri (berdiri).
Gambar Dato Haji Lope Salleh yang digunakan di dalam poster kempen pilihan raya
Isteri (balu) kepada Dato Haji Lope bin Salleh, Datin Noraini binti Dool yang kini berusia 92 tahun
Dato Lope Salleh bersama isteri dan anak-anak beliau, Ahmad Zulkifli (tiga dari kiri) dan Muhammad Tawaf (dua dari kiri) adalah anak Dato Lope Salleh yang banyak memberikan makluman didalam artikel ini
Sijil kematian Dato Haji Lope bin Salleh.
Dilahirkan pada 23 Julai 1919 dan meninggal dunia pada 25 Mac 2001 di Institut Jantung Negara.
*No KP 190723-10-5149
Rumah kediaman Dato Haji Lope Salleh di Batu 40 Sabak Bernam
Nama Dato Lope Salleh diabadikan di sebatang jalan di Sabak Bernam
Keratan-keratan akhbar :
Rombongan Dato Haji Lope Salleh bersama rakan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor ke luar negara
Berita Harian 16 September 1965
Dato Haji Lope Salleh dipilih sebagai Naib Ketua UMNO Sabak Bernam
Berita Harian 21 Jun 1968
Dato Haji Lope Salleh pernah menjadi Pengerusi Ketua Kampung Se Malaya Cawangan Sabak Bernam
Berita Harian 29 September 1965
Dato Haji Lope Salleh ketika menjadi Setiausaha Kesatuan Melayu Sabak Bernam bersama rakan-rakannya membatalkan hasrat mengadakan bantahan di hadapan Pejabat Daerah Sabak Bernam
Berita Harian 16 September 1963
Dato Haji Lope Salleh melepaskan jawatan sebagai Ketua Kampung Batu 40 (Sabak)
Berita Harian 28 September 1965
Dato Haji Lope Salleh dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor
Berita Harian 16 April 1976
Dato Haji Lope Salleh juga aktif dalam Persatuan Pelajar Dewasa Selangor Cawangan Sabak Bernam
Berita Harian 27 Februari 1958
Penghargaan kepada semua waris Almarhum Dato Lope Salleh bin Haji Long@ Zainal Abidin yang telah berkongsi maklumat yang diperlukan
Terima kasih