Meskipun telah merdeka, pada hujung tahun 60 an hingga tahun 70-an anasir komunis masih lagi menjalar di seluruh pelosok tanah air. Pada masa itu Parti Komunis Malaya (PKM) telah pun berpecah kepada tiga kelompok.
Salah satunya PKM Proper yang diketuai oleh Chin Peng. Komunis menyusup ke dalam hutan rimba yang tebal demi melaksanakan impian kononnya mahu menubuhkan Kerajaan Demokratik Rakyat Malaya. Hakikatnya kerajaan ganas komunis!
Chong Chor salah seorang anggota komunis yang ditunjuk untuk mengemudi Unit Penggempur Ke-6 Chin Peng dan pemimpin tertinggi PKM mengagumi kelicikan Chong Chor sebelum itu yang mengepalai masuk anggota Malayan National Liberation Federation (MNLF) meyusup dalam hutan dari satu tempat ke satu tempat dengan selamat tanpa terbunuh.
Unit Penggempur Ke-6 ini ditugaskan untuk bergerak di hutan Pahang. Maklumat sampai kepada pasukan perwira negara. Operasi khas diwujudkan bagi menghapuskan unit tersebut yang dianggap berbahaya kepada keselamatan negara.
Chong Chor komunis paling bernasib baik berbanding anggota bawahannya dalam Unit Penggempur Ke-6. Unit tersebut berperanan menyediakan laluan untuk pergerakan anasir komunis yang dinamakan sebagai MNLF.
Raub dan Sungai Ruan sudah dikepung, Chong Chor mempunyai cara lain untuk bergerak iaitu dengan berjalan kaki meredah hutan tebal, melintasi gaung dalam dan meniti tebing curam daripada Tanjung Malim menuju ke Cameron Highlands, Pahang.
Kedinginan udara tanah tingg tidak menghalang Chong Chor dan Unit Penggempur Ke-6 meneruskan perjalanan sampai ke Gunung Korbu sebelum tiba di Sungai Ruan, Raub Pahang. Setibanya Chong Chor di sana pasukan perwira negara sudah menanti dengan senjata api dan meriam.
DAMMM! DAMMMMMMM! Pertembungan tidak dapat di elakkan lagi. Tembakan bergema. Chong Chor menggunakan kaedah perang gerila. Bagi Chong Chor pertempuran dengan pasukan perwira negara bukanlah suatu tindakan yang bijak.
Chong Chor hanya ditugaskan untuk menyediakan laluan kepada MNLF anasir komunis yang bergerak dengan lebih lancar dan besar. Anasir komunis ini juga menyamar di kalangan rakyat biasa dan tinggal di bandar-bandar di seluruh negara. Chong Chor terpaksa berundur.
Serangan pasukan perwira negara amat hebat. Tembakan meriam sudah cukup menggetarkan hati mereka. Chong Chor dengan anak buahnya menempuh pengunduran balik ke hutan hingga mereka terpaksa melompat gaung.
Sesiapa yang tidak bernasib baik terhempas ke dasar gaung yang dalam. Beg berisi makanan pula berciciran. Ada yang terpaksa dibuang bagi memudahkan pelarian. Chong Chor dan anggotanya akan disambut hujan peluru sebalik mendekati pinggir hutan. Akibatnya mereka terkepung di tengah hutan dan kekurangan bekalan makanan.
Pahang, tidak selamat lagi untuk diduduki! Chong Chor merumuskan kesukaran mereka tempuh hari itu. Chong Chor terpaksa memecahkan unitnya seramai 35 anggotanya itu kepada dua bahagian bagi mengelakkan pergerakan mereka dapat dikesan.
“Kita kena balik ke Tanjung Malim, Perak!” kata Chong Chor Dalam perjalanan ke Tanjung Malim itu bekalan makanan telah kehabisan langsung, Sumber makanan dari hutan tidak banyak membantu memulihkan tenaga. Sepatutnya Chong Chor sudah menemui ajalnya!
Betapa jauhnya jarak perjalanan dari Pahang ke Tanjung Malim dengan meredah hutan tebal khatulistiwa. Seorang demi seorang anak buahnya tumbang di denai hutan akibat kelaparan dan kepenatan Chong Chor memang tidak berperikemanusiaan meninggalkan anak buahnya terlantar begitu sahaja!
Setiap kali anak buahnya mahu menembak monyet untuk dijadikan makanan Chong Chor melarang Ini kerana setiap satu tembakan akan menghasilkan bunyi sejauh 10 batu! Kedudukan akan dapat dikesan dengan mudah oleh pasukan perwira negara yang berada di mana-mana sahaja.
Sampai suatu ketika, anak buah Chong Chor tidak dapat bertahan lagi! Chong Chor mengambil keputusan untuk berehat lebih lama di satu kawasan. Lalu dia membenarkan anak buahnya mencari makanan dengan bebas.
Sehinggalah salah seorang dari pada mereka menemui sebuah pokok yang berbuah lebat. Monyet di atas pokok memakan buah itu tanpa apa-apa berlaku. Lalu dengan gembiranya anak buah nya mengerumuni pokok itu lalu memakan buahnya. Rupa dan rasa manis itu seakan-akan buah nangka, Chong Chor pada masa itu telah berjaya membunuh seekor kera. Daging kera menjadi hidangan mengisi perutnya. Manakala anak buahnya. melahap buah tersebut semahu-mahunya hingga terbaring kekenyangan. Chong Chor memakan nya juga sebanyak sepuluh biji.
Pengganas berbogel selepas makan buah
Selepas mengisi perut masing masing mereka semua tertidur hingga menjelang malam “Arghhh!”
Tiba-tiba jeritan anak buah Chong Chor memecahkan keheningan malam. Ada yang muntah-muntah dan bergulingan di atas lantai hutan. Tidak habis di situ, mereka kehilangan akal berlari tidak tentu arah sambil mengoyakkan seragam komunisnya hingga berbogel.
Keesokan paginya Chong Chor terkejut melihat enam orang anak buah Chong Chor bergelimpangan mati. Berkemungkinan akibat daripada memakan buah seperti nangka pada petang tadi.
Chong Chor dan tujuh lagi anak buahnya meneruskan perjalanan mencari MNLF bagi mendapatkan bantuan. Dalam perjalanan itu mereka bertembung dengan pasukan perwira negara lagi. Bagi yang tidak bernasib baik mati di muncung senjata. Bakinya termasuk Chong Chor bercempera lari masuk ke hutan.
Takdir menentukan segala galanya. Chong Chor, isterinya dan dua orang wanita komunis masih terus bernyawa. Namun salah seorang anggota wanita komunis bertindak melarikan diri daripada Chong Chor lalu menyerah diri kepada kerajaan.
Dia menulis sebuah buku berjudul I Want to Life yang menceritakan keperitan menjadi buruan pasukan perwira negara. Kengerian meredah hutan tebal. Melompat gaung dalam dan gelap. Dihujani peluru dari pelbagai arah. Melihat darah dan nyawa melayang sekelip mata. Histeria selepas memakan buah beracun dan mati dengan mata terbuntang menggambarkan perjuangan komunis yang sia-sia!
Walau bagaimanapun Chong Chor, isteri dan seorang lagi anggota komunis wanita selamat tiba di Pahang dan meneruskan tindakan subversif hingga tahun 80-an.
Nasib tidak selalunya menyebelahi manusia. Pada tahun 1988, Seorang lelaki Cina tua ditahan oleh sepasukan polis Unit Cawangan Khas (SB) di Kuala Lumpur. Lelaki tua itu dipercayai cuba berhubung dengan ejen-ejen PKM yang masih wujud. Lelaki tua itu sebenarnya, adalah Chong Chor melarikan diri daripada pasukan perwira negara selama 40 tahun. Walaupun Chong Chor tidak seperti anggota unitnya yang bernasib malang mati di tengah hutan rimba. Rupa-rupanya takdir telah menetapkan Chong Chor tewas di tangan undang-undang sebuah negara berdaulat dan merdeka! ‘Kematian’ terindah untuk pengganas komunis yang bernasib baik seperti Chong Chor!
Nama Chong Chor tidaklah sehebat Chin Peng, sifunya. Tiada siapa yang kenal beliau tetapi peranannya sebagai Ketua Unit Penggempur Ke-6 PKM telah banyak mengacau bilau keselamatan dan mengancam kedaulatan negara. Akhirnya nama Chong Chor dan sifunya Chin Peng terkambus dalam lipatan sejarah negara.
NOTA: CERITA benar ini berdasar kan ceramah anggota polis Cawangan Khas (SB) Mior Roslan Mior Mohd. Jaafar yang kini sedang menyiapkan tesis peringkat ijazah ke doktoran (Ph.D) berkaitan Chong Chor anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Sumber – Mastika