Sesetengah pendapat mengatakan, asal nama Sabak Bernam tiadalah dapat diketahui dengan sahnya. Begitu juga di mana tempat asal Sabak Bernam hari ini tidak diketahui. Cerita mulut dan lisan penduduk di sini mengatakan bahawa Pekan Sabak yang ada pada hari ini merupakan pekan yang sengaja atau kebetulan dipanggil Sabak Bernam. Tempat asal Sabak Bernam dikatakan tidak berapa jauh dari Kuala Sungai Bernam iaitu di kawasan yang dikenali hari ini sebagai Sungai Lang (Sang Lang) iaitu di sebelah hilir Kampung Parit Baru.
Ada juga kisah yang mengaitkan nama Sabak Bernam dengan perkataan ‘Sebab Berenam’ iaitu berkaitan dengan enam (6) orang pelayaran yang masuk ke kuala Sungai Bernam dan seterusnya mereka berpecah-pecah membuka kampung di enam (6) buah daerah. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa Sabak Bernam berasal dari perkataan ‘Sahabat Berenam’ iaitu merujuk kepada enam (6) sahabat tadi yang mula-mula meneroka daerah ini. Lama-kelamaan, perkataan ‘sahabat’ itu bertukar menjadi ‘Sabak’ dan berenam pula menjadi ‘Bernam Rangkai kata asal ‘Sahabat Berenam’ tadi telah diringkaskan oleh kecepatan sebutan menjadi Sabak Bernam.
Terdapat juga kisah yang mengatakan, pada masa Tanah Semenanjung kaya dengan pengeluaran hasil hutan dan hasil bumi, ramai golongan pendatang dari Sumatera yang berhijrah ke Semenanjung untuk mencari penghidupan dan membuka kampung.
Daerah Sabak Bernam yang merupakan kawasan baru juga tidak ketinggalan menjadi tumpuan kumpulan perantau ini Antara ramai penghijrah termasuklah enam (6) orang berketurunan Bugis yang masuk melalui kuala Sungai Bernam pada masa kini. Enam (6) sahabat ini mendapati di kawasan tepi sungai itu, kawasannya becak kerana sering ditenggelami air laut yang pasang dan surut Hanya ada suatu kawasan sahaja yang berkedudukan tinggi dan tidak ditenggelami air
Mereka yang berenam tadi telah naik ke darat dan mendirikan pondok di kawasan tersebut. Apabila mereka memasak makanan, mereka masih menggunakan cara yang digunakan di kampung asal mereka iaitu menggunakan tungku yang diperbuat dari tanah berlubang iaitu tanah yang ditebuk di bahagian rusuk dan atasnya. Tungku sebegini dinamakan sabak dan dari cara memasak menggunakan sabak tersebut maka dipercayai asal perkataan Sabak hari ini. Sementara itu, oleh kerana mereka berenam maka dinamakan kawasan tersebut ‘Sabak Bernam Berdasarkan cerita di atas dapat disahkan bahawa yang mula-mula meneroka kawasan ini ialah enam (6) orang sahabat, dan dari enam (6) orang inilah juga timbulnya nama Sabak Bernam itu.
Dalam masa mereka berpondok itu, maka didapati di sebelah hulu tempat mereka mendirikan tempat itu kelihatan banyak sarang Helang Laut bertaburan di setiap pokok kayu bakau di situ. Tempat itu lalu dipanggil Sarang Lang yang kemudiannya menjadi Sang Lang. Setelah itu ditemui mereka sebuah anak sungai di situ. lalu dinamakan Sungai Lang
Seterusnya, setelah mendirikan kediaman. mereka telah berpecah untuk mencari damar, rotan dan buah-buahan hutan dengan memudiki sungai itu. Akhirnya, mereka telah keputusan air. Nasib mereka agak baik kerana terjumpa anak sungai yang airya tawar, lalu mereka namakan tempat itu Sungai Air Tawar
Walaupun mereka berpecah di waktu siang, mereka tetap balik ke pondok mereka di waktu malam. Lama kelamaan, apabila mereka telah mendapat tempat yang lebih baik dan sesuai untuk tempat tinggal, mereka pun membawa sanak saudara mereka dari kampung asal mereka di Sumatera ke kawasan baru ini. Antara sahabat berenam ini, ada yang sampai ke suatu tempat bernama Sepong (mungkin dari sebutan buah sepam). Sementara salah seorang daripada mereka telah mudik ke hulu lagi sehingga sampai ke suatu bukit yang terdapat banyak buah Keranji. Tempat itupun dinamakan Keranji. Ada juga di kalangan mereka yang sampai di kawasan pantai Kampung Kemboja dan meninggal dunia di sini. Dari mana asal perkataan Kemboja itu tidak pula dapat dipastikan hingga kini.
Dalam beberapa banyak kampung yang diteroka oleh mereka. hanya dua (2) buah kampung sahaja yang kekal masih ada ramai penduduk hingga sekarang. Kampung-kampung itu ialah Kampung Sungai Panjang dan Kampung Dato’ (Tok) Khalifah. Lama kelamaan mereka ini meninggal dunia dan kubur mereka itu dikenali sebagai keramat hingga hari ini. Keramat keramat tersebut ialah :
  1. Keramat Pantai Landu (Keramat Tuan Syed Ahmad)
  2. Keramat Kemboja (Keramat Sharifah Intan/Mastura)
  3. Keramat Lubuk Pusing (Keramat Sharifah Robiah)
  4. Keramat Sepong (Keramat Haji Salim)
  5. Keramat Keranji (Keramat Datuk Dalang)
  6. Keramat Teluk Rubiah (Keramat Datuk Menteri).

Sumber gambar : Blog Cikgu Zhaf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *