Tahukah anda bahawa apal-kapal mengelak pelabuhan Melaka yang berada dibawah pentadbiran Portugis? Selama hampir satu abad, Portugis memonopoli perdagangan di Melaka. Anehnya, pentadbiran Portugis dilihat jauh lebih buruk daripada pengurusan orang Melayu sebelum ini, kerap kali berlaku masalah ketidakcekapan dan rasuah yang teruk. Ini menyebabkan pengurangan jumlah perdagangan ditambah pula faktor serangan dari Aceh. 
Sekitar abad ke-16 dan 17, Belanda berusaha untuk memasuki perdagangan rempah. Sebelumnya, mereka telah membeli produk Timur daripada Portugis, tetapi telah diusir keluar dari pelabuhan Portugis pada tahun 1594. Ini menyebabkan Belanda bertekad untuk mengambil alih Melaka yang bukan sahaja membolehkan mereka untuk memonopoli perdagangan di Selat Melaka daripada Portugis, tetapi juga memberikan mereka pengaruh dan hasil daripada negeri-negeri Melayu. 
Melaka jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641, tetapi mereka mendapati ia sukar untuk menguatkuasakan monopoli mereka. Kebanyakan kapal dari Eropah kini mengelak Melaka dengan belayar di Selat Sunda (antara Jawa dan Sumatera).
Pedagang Melayu yang berdagang dengan orang India dan Timur Tengah dari segi pengeksportan timah dan rempah serta pengimportan kain akan mengelak tol Melaka dengan belayar di laluan alternatif, menghantar barangan melalui darat dan juga mengelak sekatan Belanda di Selat Melaka.
Orang-orang Sepanyol dan Portugis yang berasal dari Semenanjung Iberia itu begitu berjaya dalam hal-hal penjajahan di benua Amerika serta di Filipina namun karier mereka tidak lama di Selat Melaka. Jika dikatakan Sepanyol lebih gah kuasa tenteranya jika dibandingkan dengan Portugis, mengapa tidak mereka meluaskan pengaruhnya di Selat Melaka sementelah jaraknya bukanlah jauh dari Filipina? 
Apa yang terjadi ini berpunca dari sepak terajang politik yang kompleks di Selat Melaka, tambahan pula entiti-entiti politik Melayu di sekitar selat ini lebih superior dari segi pengalaman berpolitik, teknologi dan kemahiran mempertahankan kelangsungan berbanding kawasan-kawasan lain yang dijajah lama oleh para conquistador itu meskipun sesama mereka sendiri tiada kesatuan yang utuh.
Oleh: Srikandi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *