Ramai di antara peneroka memilih kawasan Pasir Panjang kerana di bahagian kuala Pasir Panjang tanahnya dipenuhi belukar sahaja. Selebihnya ditempatkan di Sungai Leman. Peneroka datang secara berkumpulan, setiap kumpulan ada ketuanya sendiri. Pada setiap hari saya terpaksa membawa peneroka ke dalam hutan untuk menunjukkan kepada mereka kawasan yang telah ditetapkan untuk mereka seperti di dalam pelan yang dibekalkan oleh Pejabat Daerah Kuala Selangor. Pekerjaan mengatur peneroka ini memakan masa hampir dua bulan.
Setelah selesai mengatur peneroka dan mereka telah tahu kawasan masing-masing, mereka pun mula bekerja menebang pokok yang besarnya hingga dua tiga pemeluk. Ramai di antara peneroka ini tinggal di rumah panjang yang dibina di kuala Parit 8 Sungai Leman. Pada mulanya mereka terpaksa merintis jalan masuk ke dalam hutan di setiap Parit. Pada ketika itu kawasan ini ditenggelami oleh air hingga ke paras lutut kerana parit belum dibuat. Kerja merintis ini sungguh sulit dan susah kerana terpaksa mengharung air.
Di Parit 8 kerja ini senang sedikit kerana ada lorong bekas orang menarik nibong ke luar ke pintu air Sungai Haji Sirat. Pintu air Sungai Haji Sirat ini memang telah sedia ada berpuluh tahun dahulu, di bina oleh kerajaan.
Ketibaan Penghulu Wan Hassan
Penghulu Mukim Tajung Karang yang baharu telah pun dilantik, nama beliau Raja Abd. Hamid, penolong beliau Wan Hassan telah dihantar bertugas di Pasir Panjang pada 4 Januari 1947. Beliau ditugaskan untuk mengatur ketua-ketua Parit dan memerhatikan keadaan peneroka di Pasir Panjang dan Sungai Leman. Lebih kurang sebulan beliau bertugas di Pasir Panjang, beliau telah mengadakan mesyuarat untuk melantik Ketua (Sidang) tiap-tiap Parit, perlantikan ini telah dipersetujui oleh semua ketua-ketua kumpulan dan peneroka.
Di Pasir Panjang seramai enam orang telah dilantik.
1. Parit 12 di ketuai oleh Sidang Dahali
2. Tali Air 11 Sidang Haji Mat Rawi
3. Parit 11 Sidang Haji Azhari
4. Tali Air 10 Sidang Mahmud
5. Parit 10 Sidang Abu
6. Tali Air 9 Sidang Hj. Said.
Di Sungai Leman seramai enam orang juga telah dilantik.
1. Parit 9 diketuai oleh Sidang Sultan
2. ParitTali Air 8 Sidang Mohd. Akib
3. Parit 8, saya Sidang Haji Anang bin Haji Salleh
4. Parit Tali Air 7 Sidang Basri bin Hassan
5. Parit 7 Kawsan Gambut Sidang Haji Abdul Rahman
6. Parit 7 Sidang Mat Basar
Senarai nama sidang-sidang ini dihantar ke Penghulu Tanjung Karang dan seterusnya dipanjangkan ke Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor. Lantikan ini telah diberi tauliah dalam tahun 1952.
Semua Sidang yang telah dilantik bersama dengan Penghulu Tanjung Karang dan Penolong Penghulu Wan Hassan mengadakan mesyuarat di Kuala Selangor. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah baharu, nama beliau Tuan Safmohbel. Mesyuarat yang pertama ini membincangkan bagaimana hendak menyalurkan bantuan kepada peneroka. Mesyaurat telah memutuskan Sidang Haji Said bin Haji salleh dan Sidang Anang bin Haji Salleh dilantik memegang amanah menerima bantuan dan diberi kuasa mengagihkan bantuan ini kepada peneroka.
Barang bantuan seperti atap, papan, paku, beras, tepung gandum, gula dan lain-lian dibeli di Kuala Selangor dan dihantar ke Kuala Pasir Panjang menggunakan tongkang. Barang-barang ini ditempatkan di kuala Pasir Panjang di rumah kedai kepunyaan Sidang Haji Said. Saya dan Sidang Abu bertugas di kedai ini. Lebih kurang satu bulan Sidang Abu digantikan oleh Encik Hasnan bin Haji Sidek, ipar sidang Abu. Kami bekerja tidak mengira masa, siang dan malam bertungkus-lumus membahagikan bantuan kepada peneroka di dua kawasan Pasir Panjang dan Sungai Leman yang berjumlah beribu orang. Barang-barang bantuan ini diagihkan melalui Sidang masing-masing. Pekerjaan ini kami lakukan selama dua tahun iaitu dari tahun 1948 hingga tahun 1950. Semua Sidang memeriksa sama ada peneroka mengusahakan tanah mereka atau pun tidak. Setiap bulan Sidang membuat laporan dan bantuan diberi berdasarkan laporan sidang-sidang ini. Kami bekerja dengan sukarela sahaja tidak menerima apa-apa gaji hanya saya dan keluarga saya dapat tinggal di kedai tersebut dan mendapat makanan dari kedai dengan percuma.
Bersambung…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *